Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

03 April, 2010

Dun Perak kecoh kerana tidak ikut peraturan - Nik Aziz

Muhammad Yusri Amin  

KOTA BHARU, 3 April:  Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak tidak akan menjadi kecoh sekiranya anggota dewan khususnya mematuhi perlembagaan negeri yang sedia ada, namun yang paling utama ialah mematuhi perlembagaan diselaraskan dengan Al-Quran.
Serentak dengan itu, beliau yang juga Menteri Besar mempertikaikan ahli Dewan Negeri yang ‘dibawa masuk’ (menjadi anggota Dewan) melalui mahkamah, namun beliau akur bahawa perjalanan Dewan Negeri termasuk di Perak perlu berdasarkan peraturan.
“Dalam dewan ada peraturan, dan menjadi peraturan dewan (bahawa) mereka yang menganggotai dewan itu mesti wakil rakyat.
“Dan kalau nak jadi wakil rakyat mesti melalui undi (malalui proses demokrasi), itulah peraturannya.  Tetapi sekiranya (ahli yang menjadi anggota Dewan itu) sebahagiannya melalui undi, dan sebahagiannya pula melalui tok hakim (mahkamah), mana boleh demikian,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang disifatkan sesetengah pihak sebagai dalam ‘zoo’ sedangkan padanya termasuk di negeri Perak, ada peraturannya.
Beliau mendakwa kekecohan yang berlaku  dalam dewan itu di mana golongan yang cerdik yang tidak boleh tunduk kepada perbuatan zalim, manakala mereka yang satu pihak lagi merasakan dizalimi, mereka melawan.
“Itu tanda mereka cerdik, tetapi kalau dikhianati namun mereka buat senyap saja itu tanda tak cerdik.  Bagaimana pun, perbalahan itu mesti ada punca, takkan sebelah A lawan B dengan tidak ada sebab, tidak begitu.  Mesti B buat masalah pada A dan A kena lawan atau pun A buat masalah pada B dan B kena lawan.
“Islam pun mengajar demikian.  Demokrasi pun ajar, jadi jangan nampak benda kekecohan dalam Dewan lalu diburukkan lagi keadaan.  Mesti ada sebab, kita kena tengok kepada sebab, kekecohan itu kerana apa termasuk dalam Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya.
Beliau mendakwa, kekecohan itu disebabkan rakyat yang mengundi memilih calon A ke dalam dewan, namun orang lain pula membawa masuk orang lain melalui mahkamah.
“Mana boleh, sepatutnya memberi peluang kepada rakyat.  Ini kerana membawa masuk wakil dalam dewan pun rakyat, hendak membawa masuk calon lain pun terlebih dahulu mesti tanya rakyat.
“Itu yang kita sebut beri peluang kepada pilihanraya semula, ini bendanya.  Orang bawa masuk wakil rakyat melalui dewan, kita (pihak tertentu) mengubahnya,” katanya.
Mursyiyul Am menasihatkan bahawa semua perkara hendaklah bertindak dengan betul mengikut peraturan.
“Dari segi agama mestilah mengikut Islam.  Kalau tak mahu agama, ikutlah perlembagaan, tetapi perlembagaan itu setakat di dunia sahaja.  Apabila masuk kubur (mati) tidak berguna lagi.
“Oleh sebab itu kita di Kelantan mempastikan bahawa proses perlaksanaan perlembgaan selaras dengan Quran, dengan itu dalam kubur nanti (di akhirat)  kita selamat , dan atas dunia pun kita jadi selamat, insya Allah,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.