Chan Wei See
Tempoh kempen selama tiga minggu. Semua parti politik bebas mengadakan ceramah umum masing-masing. Malam sebelum hari pengundian, di Kota Melaka sahaja, 12 ceramah diadakan serentak. ![]() Walaupun keluar parti pada tahun 1963, dan menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Melaka sebagai anggota "bebas" (tanpa parti), beliau tetap bangga dengan prestasi Barisan Sosialis (Socialist Front) pada zamannya. Untuk Koo Eng Kuang, 12 ceramah politik yang berlangsung serentak, disarat penuh dengan kesesakan orang awam, merupakan satu rekod yang gagal ditandingi mana-mana parti politik selepas itu. Demokrasi tempatan pada kemuncaknya Gambaran sedemikian bukan sekadar nostalgia untuk mereka yang terlibat dalam pilihan raya kerajaan tempatan ketika itu. Pengkaji kerajaan tempatan, Goh Ban Lee mengulas sebegini, "Pada awal tahun 1960-an, demokrasi tempatan Malaysia berada pada kemuncaknya." ![]() Namun demikian, pilihan raya kerajaan tempatan bukan sekadar permainan parti politik, tetapi keterlibatan rakyat jelata dalam pengurusan hal-ehwal kehidupan harian dan pembangunan komuniti mereka. Keterlibatan rakyat "Makanan dan minuman, jalan raya, kebersihan; segala-gala yang berkaitan dengan alam, sungai, pengaliran, pengangkutan, tempat rekreasi, gelanggang sukan, sekolah dan sebagainya, semuanya dipertanggungjawabkan kepada diri mereka. Semua orang terlibat. Penduduk mengemukakan cadangan yang konkrit kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)," kata Tan Kai Hee, yang pernah terpilih sebagai ahli Majlis Perbandaran Johor Baru ketika itu. ![]() Bekas Pengerusi Majlis Tempatan Jinjang, Foo Seong Foh turut mengeluh apabila mengenangkan kegirangan yang semakin lenyap, lantaran pemansuhan pilihan raya tempatan sejak pertengahan tahun 1960-an. Secara puratanya, kegiatan gotong-royong akan diadakan sekali setiap dua bulan semasa Foo Seong Foh menyandang jawatan. Mereka akan mengumpulkan antara 200 hingga 300 orang penduduk kampung untuk membersihkan longkang dan kawasan sekitar. Penduduk setempat dikerah dan bersatu-padu ketika menyelesaikan masalah. ![]() Tan Kai Hee yang bertapak di Selatan Semenanjung juga menambah, "Gotong-royong diadakan begitu kerap. Misalnya, Majlis Perbandaran dan Tempatan yang dikuasai Barisan Sosialis sering mengadakan gotong-royong, malah jalan diperbaiki oleh mereka sendiri." Beliau menyambung, "Ini adalah sesuatu yang baik, satu kegiatan sosial yang lumrah. Semua penduduk saling kenal-mengenal, malah seandainya berlaku bencana alam, semua orang menghulurkan tangan. Jikalau ada rumah orang miskin yang runtuh ditiup angin, mereka akan pergi membantunya. Ini namanya semangat bergotong-royong. Berkhidmat bersama. Sangat berperikemanusiaan." BN kecundang dalam pilihan raya tempatan Walau bagaimanapun, pilihan raya kerajaan tempatan telah dibekukan, berikutan darurat yang diisytihar pada September 1964 kerana "konfrontasi Indonesia-Malaysia". Namun, pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan dibaca sebagai strategi Perikatan (BN kemudiannya) untuk menyekat pengaruh pembangkang ketika itu, dengan meminjam alasan "konfrontasi". ![]() "Ringkasnya, pilihan raya kerajaan tempatan dibatalkan kerana parti pemerintah ketika itu ditewaskan berkali-kali, kehilangan kuasa di beberapa majlis perbandaran dan tempatan. Seandainya pilihan raya dilanjutkan, dari peringkat bawah hinggalah ke atas, dikhuatiri kuasa kerajaan negeri dan persekutuan akan terlepas dari genggaman mereka (pemerintah)," ulas Koo Eng Kuang. Malah, Koo Eng Kuang menceritakan pengalamannya ketika bersua dengan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja, Senator Athi Nahappan, yang bertanggungjawab untuk mengkaji semula kerajaan tempatan di Malaysia Barat. ![]() Pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan Agenda pemulihan pilihan raya tempatan dibangkitkan semula oleh pembangkang, malah diselitkan ke dalam manifesto parti masing-masing dalam PRU ke-12. Antara alasannya, ahli parlimen dan ADUN terpaksa dibebankan dengan tugas "memantau longkang", kerana ketidakberkesanan PBT lantaran pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan. Malah, pilihan raya kerajaan tempatan boleh dijadikan sebagai penilaian di pertengahan penggal sesebuah kerajaan persekutuan dan negeri. Keputusan pilihan raya tempatan yang dijalankan bukan serentak dengan pilihan raya umum akan dijadikan sebagai rujukan, sejauh manakah sokongan yang diperolehi sesebuah parti politik. ![]() *Nota editor: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menolak permintaan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan. **Tulisan ini diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari tulisan asal oleh Chan Wei See (Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina), yang disiarkan secara bersiri pada April 2008. |
0 comments:
Post a Comment