Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

30 March, 2010

MCA: Pergelutan kuasa yang terakhir?

Wong Chin Huat | Mar 29, 2010 06:58:16 pm



Akhirnya, pemilihan semula MCA melabuh tirai.  Tetapi, adakah perebutan kuasa dalaman akan dibubuh noktah?  Biarpun begitu, bilakah pula perebutan kuasa dalaman seterusnya akan berlaku?
Apakah perebutan kuasa ini adalah babak terakhir untuk MCA?  Selagi MCA masih berada di dalam Barisan Nasional, atau selagi BN mengekalkan model politik yang sedia ada, maka tanda penutup kata pergelutan hari ini akan berputar menjadi tanda pembuka kata pergelutan babak baru.

Untuk ahli MCA, ia kedengaran seperti sumpah yang terkutuk.  Namun, dari perspektif yang lain, analisa dari strukturnya adalah lebih "murah hati", kerana tertumpu kepada bagaimana percaturan politik kini menyekat pemimpin MCA, dan bukannya memperbesarkan kualiti, ciri-ciri yang ada pada individu perseorangan.

Secara umumnya, perebutan kuasa dalam parti dilihat sebagai sesuatu yang negatif.  Wajib kita persoalkan terlebih dahulu, apakah itu perebutan kuasa?  Seandainya ia sekadar pergelutan kuasa dalam parti, maka ia bukanlah sesuatu yang negatif.  Pada hakikatnya, persaingan bakal memperkasa sesebuah parti.  Pemilihan awal Presiden dalam Parti Demokratik US antara Barack Obama dengan Hillary Clinton, biarpun sengit, namun cukup memberangsangkan, sehingga pemenangnya berjaya tampil sebagai Presiden US.  Dengan kata lain, persaingan parti berkemungkinan memperkasakan parti.

Oleh itu, masalah MCA bukanlah pergelutan kuasa, tetapi pergelutan kuasa yang sering berakhir dengan perpecahan.  Persoalannya, mengapa MCA semakin lemah?  Kerana sistem politik yang tempang.

Sumber yang terhad

Kejayaan kemuncak untuk seseorang pemimpin MCA adalah menjadi menteri.  Namun, dalam jangka puluhan tahun ini, MCA kekal dengan peruntukan empat jawatan menteri, sama ada kuat ataupun lemah.  Pada tahun 2008, MCA hanya memenangi 15 kerusi parlimen daripada 40 yang dipertandingkan.  MCA tetap diperuntukkan empat jawatan menteri sungguhpun ia mencapai prestasi yang paling teruk sejak tahun 1969.

Pada tahun 2004, MCA mencatat prestasi yang terbaik dalam sejarah, dengan kemenangan 31 kerusi parlimen.  Dengan kata lain, seandainya pemimpin MCA bercita-cita untuk menyandang jawatan Menteri, maka ia bukan tercapai dengan menerokai gelanggang yang lebih luas, tetapi menggulingkan rakan separtinya dari jawatan Menteri.

Keadaanya tidak berbeza dalam politik peringkat tempatan.  Untuk pemimpin akar umbi yang tidak terjangkau sebagai calon ahli parlimen mahupun ADUN, maka prestasi yang paling kemuncak atau cenderahati yang paling penting untuk mereka adalah menjadi ahli majlis tempatan.

Namun, kuota ahli majlis tempatan kepada MCA jugalah tetap, tidak menambah walaupun pengaruh MCA mengembang, dan jarang berkurang kerana penyusutan pengaruh MCA.  Oleh yang demikian, kunci untuk menjadi ahli majlis tempatan bukanlah melalui perkhidmatannya untuk meluaskan pengaruh, tetapi memastikan diri agar berada dalam puak yang "betul", supaya nama dirinya tertera dalam senarai cadangan parti.

Dari atas hinggalah ke bawah, pemimpin MCA terpaksa melangkah mayat rakan seperjuangannya untuk mendaki ke puncak kuasa.  Apakah ini tidak cukup untuk menjelaskan mengapa berlakunya kacau-bilau setiap tiga tahun, huru-hara setiap lima tahun dalam parti?

Pergelutan kuasa yang berlanjutan untuk 18 bulan ini adalah akibat daripada terlucutnya jawatan dalam kerajaan oleh sebahagian besar pemimpin MCA.  Sumber dalam kerajaan tidak mencukupi, maka sumber parti menjadi mustahak.  Malah, peluang bertanding dalam PRU ke-13 merupakan penentu hidup matinya nyawa politik masing-masing.  Jadi, bagaimana perebutan kuasa boleh dielakkan?  Perang dalaman ini pada hakikatnya untuk menentukan siapa si-kalah, agar pemenangnya memperolehi lebih sumber, supaya survive hingga PRU yang akan datang.

Pengagihan sumber

Sebelum dan selepas pemilihan, semua puak membincangkan penyatuan.  Namun, seandainya semua orang diterima sebagai satu pasukan, mengapa pula tikam-menikam sesama sendiri sepanjang ini?  Sungguhpun pimpinan tertinggi sudi untuk menerima semua puak, namun pembesar-pembesar di akar umbi dijangka tidak akan mengangguk kepadanya.

Chua Soi Lek (gambar kanan) memenangi kerusi Presiden dengan undi 38%, malah kedua-dua puak yang lain turut mendapat tempat masing-masing, dari jawatan Timbalan Presiden hinggalah AJK Pusat.  Jadi, bersekutu dengan salah satu puak adalah satu-satunya pilihan.

Antara Ong Ka Ting dengan Ong Tee Keat, dendam Chua terhadap Ong Ka Ting lebih mendalam berikutan daripada DVD seksnya.  Lebih-lebih lagi, puak Ong Ka Ting lebih ramai orangnya.  Seandainya Chua bersekutu dengan Ong Ka Ting, sudah tentu sumber tidak cukup untuk diagihkan.  Apakah pengikut Chua yang taat setia sepanjang ini akan berpuas hati?

Dalam keadaan sedemikian, mungkin Chua akan memilih untuk bersekutu dengan Ong Tee Keat, kemudian menarik beberapa pengikut Ong Ka Ting untuk meleraikan empayarnya.  Jikalau begitu, adakah sekutu puak Chua Soi Lek - Ong Tee Keat akan berkekalan sehingga pemilihan parti pada tahun depan, seandainya pemilihan parti tidak ditunda atas alasan PRU?

Adakah puak Ong Ka Ting (gambar kiri) akan kembali untuk bertanding semula setahun kemudian?  Lain kata jikalau Chua Soi Lek mampu mengagihkan sumber secara adil dalam masa yang singkat, agar perwakilan menerima "pengagihan kuasa" oleh "pimpinan kolektif".  Jikalau keadaan ini tidak berlaku, maka pemilihan akan datang bakal menyaksikan pertarungan sengit.

Namun, nasib MCA dalam PRU ke-13 nampaknya bukan  ditentukan sama ada MCA bersatu-padu atau berpecah-belah, tetapi lebih kepada sejauh manakah MCA respon kepada senario baru selepas dilanda "tsunami politik".  Punca kepada malapetaka pergelutan MCA adalah UMNO yang mereka dan mengekalkan sistem politik yang tertutup ini, menurut analisa pergelutan di atas dari strukturnya.  Namun, pihak yang harus dipersalahkan ialah pemimpin MCA yang bergantung dan ketagih kepada sumber.

Selagi MCA gagal membebaskan diri daripada kebergantungan terhadap sumber, maka MCA tidak mungkin berkata "tidak" kepada UMNO, malah gagal menukar peraturan yang ditetapkan oleh UMNO.  Dilema MCA yang tidak terdaya mahupun tidak berani untuk menolak UMNO, adalah cabaran yang wajib diatasi MCA selepas PRU ke-12.(Bahagian pertama, bersambung)

*Artikel ini ditulis dalam bahasa Cina oleh penganalisa politik, Wong Chin Huat.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.