Salhan K Ahmad
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Inc dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.
Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel.
"Isu ini membongkar rundingan sulit pihak tertentu hingga maklumat strategik negara terdedah kepada ejen Israel dan tercalarnya maruah umat Islam di negara ini," katanya.
Turut didedahkannya ialah peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggunjawab memperkenalkan Apco kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya lagi, kontrak dengan Apco ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.
"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. (Proses menandatangani perjanjian) ini disaksikan setiausaha akhbarnnya sendiri, Datuk (Tengku) Sharifuddin (Tengku) Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.
Anwar membuat penjelasan itu bagi menjawab tuntutan yang dikemukakan wakil Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu Anwar dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen kerana menyamakan slogan 1Malaysia dengan 1Israel.
Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.
0 comments:
Post a Comment