Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

17 May, 2010

“UMNO MENGUTAMAKAN KEUNTUNGAN DENGAN MENGHALALKAN CARA” - PAS


KENYATAAN RASMI DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
ISU PERJUDIAN BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2010

“UMNO MENGUTAMAKAN KEUNTUNGAN DENGAN MENGHALALKAN CARA”


Semua mengetahui bahawa judi adalah haram di sisi Islam bahkan membawa keburukan kepada manusia sama muslim atau non muslim. Tindakan kerajaan pusat meluluskan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 untuk menyekat kegiatan perjudian tanpa lesen memperlihatkan kedangkalan mereka dalam mengatasi isu tersebut. Adakah memadai untuk menghalang kemudaratan dengan cara memberikan lesen untuk melakukan kemudaratan tersebut umpama ingin menghalang orang yang mencuri dengan memberikan lesen kepada mereka untuk mencuri.

Ini mungkin satu usaha daripada pihak kerajaan yang tidak segan silu meluluskan lesen judi tersebut demi untuk mencapai matlamat MEB bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Jika itulah yang berlaku, ini mengesahkan lagi bahawa dasar pemerintahan negara ini adalah sekular melalui cabang pragmatisme dan bukannya Islam sebagaimana yang mereka war-warkan bahawa negara ini adalah negara Islam.

Kelulusan judi ini juga memperlihatkan bahawa kerajaan hanya bertopengkan Islam demi wang, politik dan kerakusan kuasa semata-mata. Di hadapan masyarakat, mereka menzahirkan bahawa mereka inginkan Islam dengan menganjurkan pelbagai program keislaman seperti forum, sambutan hari kebesaran Islam termasuk begitu vokal dalam isu larangan berpolitik dalam masjid tetapi dalam masa yang sama mereka tidak kisah untuk menghalalkan perkara yang haram di sisi Islam dengan memberikan alasan yang tidak logik. Halal bagi mereka adalah kegiatan yang berlesen, adapun haram adalah kegiatan yang tidak diberikan lesen oleh mereka. Islam Hadhari yang sebelum ini dijadikan sebagai topeng untuk mengekalkan kuasa kini tenggelam kerana slogan tersebut hanya memakan diri dan merugikan mereka.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat mendesak agar kerajaan menarik balik lesen yang diberikan untuk menghalalkan judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010. Kami juga mendesak agar semua mufti termasuk menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan agama Islam tidak mendiamkan diri dalam isu ini. Mereka tidak seharus vokal dalam isu yang memihak kepada kerajaan semata-mata tetapi menikus dalam isu yang merosakkan umat Islam demi menjaga jawatan dan kuasa semata-mata.


DEWAN ULAMA PAS PUSAT

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.