Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

17 May, 2010

PAS desak Dasuki Ahmad dan Harusani Zakaria letak jawatan - MerdekaReview

Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan sikap cuai, acuh tak acuh serta tidak
bertanggungjawab Pengerusi Amanah Raya Berhad (ARB), Dasuki Ahmad dan Penasihat Syariah ARB, Harussani Zakaria yang juga Mufti Kerajaan Perak sehingga menyebabkan ARB terbabit dengan pelaburan dalam syarikat judi terbesar, Magnum Corporation.

Selain Dasuki yang tersohor sebagai ulama UMNO, Harussani juga amat dikenali dalam bidang agama, dan dilihat sebagai orang yang berilmu, sekalipun banyak kenyataannya dipersoalkan khususnya dalam isu-isu politik kerana menyebelahi UMNP.

Atas rasa integriti, PAS mendesak agar kedua-dua mereka meletakkan jawatan sebagai Pengerusi dan Penasihat Syariah kerana gagal memikul tanggungjawab, sebaliknya mengkhianati amanah yang diberikan bagi memulihara, mengawasi dan memantau perjalanan ARB dari terjebak dengan aktiviti dan pelaburan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.
PAS memandang serius pembabitan ARB dalam pelaburan judi, dengan mengambil kira Firman Allah SWT dalam al-Quran, surah al-Ma'idah ayat 90 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan tenung nasib dengan anak-anak panah adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya."

ARB yang menjalankan tugas memegang amanah rakyat seharusnya bebas dan bersih daripada sebarang label dalam syarikat perjudian sekalipun penyertaan ARB dalam pelaburan judi untuk mendapatklan keuntungan jangka pendek dan segera.
PAS sangat kecewa kerana individu yang dipertanggungjawabkan menjaga ARB terdiri dari orang berilmu agama, dihormati dan berpengaruh, gagal menyelia syarikat ini dan ini sekaligus menanam persepsi buruk orang ramai terhadap orang alim atau ulama yang bijak memperkatakan hukum hakam tetapi tidak praktikal.
Oleh yang demikian, kedua-dua tokoh agama ini mestilah meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggung jawab terhadap pembabitan ARB melabur dalam syarikat judi.
*Kenyataan media oleh Tarmizi Mohd. Jam selaku Setiausaha Lajnah (Biro) Pekerja dan Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.