PRK Sibu menyaksikan betapa pentingnya "peranan" orang asli dalam menentukan kesudahannya, selepas PRK Batang Ai, Sarawak. Selain meminjam jentera rakan parti ketika berkempen, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sendiri turun ke padang Sibu, untuk melonjakkan undi kedua-dua komuniti Cina dan orang asli. Diekori SB: Amalan biasa Pada 9 Mei, Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang menyusuri Sungai Igan untuk melawat ke dua perkampungan orang Melanau dan sebuah rumah panjang Iban. Pada ketika penduduk kampung melambai tangan mengucapkan selamat tinggal kepada Lim Guan Eng, SB yang menyusul lantas menangkap gambar penduduk dengan kamera. Penduduk yang ketakutan terus memaling dan meninggalkan tebing sungai. Sememangnya, logo roket paling banyak kelihatan di rumah panjang kali ini, sekiranya dibandingkan dengan mana-mana pilihan raya yang berlangsung pada setengah abad yang lalu. Anda mungkin mendapati logo dacing dan roket menjelma berselang di perkampungan yang mempunyai beberapa dermaga. Poster DAP tertampal di rumah, dan bendera DAP berkibaran antara rimbunan belukar. ![]() Berkongsi pengalaman Pulau Pinang 15% pengundi Sibu terdiri daripada orang Iban, yang membawa kepada jumlah 8,665 orang. Hampir kesemuanya penganut kristian. Pada 9 Mei, Lim Guan Eng sempat melawat dua kawasan Melanau-Kristian dan satu rumah panjang Iban. ![]() Berbanding dengan "sambutan yang memberangsangkan" di Kg.Bungan Kecil, kebanyakan penduduk Kg.Bungan Besar didapati agak dingin. Malah, sesetengah pengundi muda menyatakan bahawa mereka sebenarnya tidak membenci Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud yang diberi gelaran "Pak Uban". Taib Mahmud yang memerintah Sarawak untuk 29 tahun telah menguasai pembanguan sosial-ekonomi negeri tersebut, menandingi kedudukan seolah-olah seorang "raja" dalam sanubari pengundinya. Pada hakikatnya, komuniti Cina mungkin juga berfikiran sedemikian. ![]() Malah, pemandu teksi juga mendiamkan diri dan enggan mengulas banyak. Bahang isu tanah lebih hangat Penduduk akan lebih berani meluahkan ketidakpuasan mereka apabila dikunjungi pemimpin pembangkang. Zepid, 40, yang tinggal di rumah panjang di lembah Sungai Igan berkata, "Masalah tanah masih menjadi kebimbangan penduduk tempatan." Jelas, tanah tanpa hak milik cukup meresahkan penduduk di situ. ![]() Tanah adalah masalah penting untuk kaum asli. Ia adalah senjata PR untuk menyerang BN, pada masa yang sama, juga alat BN untuk mempertahankan kerusi ini. Nicholas Bawin yang sibuk melawat rumah panjang sepanjang minggu ini, malah masak dengan masalah tanah memberitahu MerdekaReview, "Respon orang asli terhadap kempen kita sangat baik. Saya tahu BN memberi tekanan yang banyak, juga menabur wang yang banyak. Tetapi rakyat tahu apa yang berlaku sebenarnya. Misalnya mereka kehilangan tanah, mereka benar-benar marah." ![]() Nicholas Bawin menjangkakan peningkatan undi Iban kepada Pakatan Rakyat, "Saya yakin undi Iban akan bertambah. Kami menyuarakan masalah yang terpendam dalam hati mereka. Kamilah orang yang mempertahankan kepentingan mereka!" Jika dibandingkan dengan isu tanah, isu penggunaan kalimah Allah jelas tidak mencungkil prihatin yang luas di kalangan Iban-Kristian. "Ini kerana tiada larangan untuk menggunakan kalimah Allah di Sarawak, jadi masalahnya tidak besar," jelas Nicholas Bawin. Peningkatan undi kaum asli untuk PR PKR menggariskan matlamat undi Iban pada paras 35%, iaitu 5.5% daripada jumlah undi keseluruhan. Staf PKR yang bergiat di peringkat akar umbi, Angki anak Nigang bersikap optimis bahawa PR mampu menjangkau matlamat tersebut. Pada PRU ke-12, kedua-dua orang calon PR hanya memperolehi 20% undi Iban. ![]() Angki menganggap bahawa meskipun PR tewas dengan majoriti 1,000 hingga 2,000 undi pada akhirnya, namun ia cukup untuk dianggap sebagai kemenangan moral kepada PR. Malah, seandainya PR menang dengan majoriti 100 atau 200 undi, ini bermakna Richard Wong yang menyarung jersi PR sebenarnya menang banyak. Kawalan sosial di rumah panjang Jika dilihat kepada rekaan rumah panjang orang Iban, kita akan memahami falsafah di sebaliknya. Puluhan keluarga ditempatkan sepanjang koridor rumah panjang, dan tuah rumah (ketua) berada di tengah. Gambar yang DYMM Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Ketua Menteri digantung pada dinding. Di papan notis pula, anda akan mendapati notis daripada pemimpin Iban SUPP, Andrew Shirling. ![]() Tuah rumahnya hanya perlu melangkah keluar, menoleh ke kiri dan kanan untuk mengetahui kesemua aktiviti yang berlangsung dalam perkampungannya. Apa yang menarik di Rumah Rassau, rumah "tuah rumah" menjadi tempok persempadanan kem antara BN dengan PR. "Pada hakikatnya anda diberitahu bahawa anda sedang dipantau. Jadi, kami sebenarnya tahu seandainya anda menyokong pembangkang," Liew Chin Tong menafsir mesej yang tersirat daripada rekaan sedemikian. "Biarpun kerajaan gagal mengawasi kesemua orang, tetapi ia boleh menghukum sebahagian orang untuk menyampaikan mesej bahawa kesemua orang mungkin dipantau," katanya. ![]() Kesan keputusan PRK... Seandainya PR berjaya menembusi kubu BN di Sibu, maka kemenangan ini akan membawa makna yang cukup besar. Ia sebagai petanda bahawa kaum asli telah berani untuk menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap kerajaan. Seandainya mentaliti penduduk sini diatasi, maka ia akan membawa padah kepada BN dalam pilihan raya negeri Sarawak kelak. ![]() Selain itu, pendekatan Lim Guan Eng yang kelihatan lebih mesra berbanding Taib Mahmud mungkin membawa penambahan undi Iban kepada PR. Nicholas Bawin berkata, "Lim Guan Eng semestinya membawa impak. Latar belakangnya bersih, ada kredibiliti, berhemah. Tidak seperti Taib Mahmud, dikelilingi polis di mana beliau berada. Pemimpin politik PR semuanya mudah, mesra kepada rakyat." ![]() *Wong Shu Qi ialah wartawanMerdekaReview yang membuat liputan dari Sibu, Sarawak. Tulisan ini diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang, daripada teks asal. |
0 comments:
Post a Comment