Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

26 April, 2010

Zaidel bila nak kahwin?


26 APRIL — Alkisah pada suatu hari mak saya ada bertanyakan pada saya, “Zaidel bila nak kahwin?”

Barangkali kerana abang saya sudah mula menyatakan hasrat dia untuk berumahtangga membuatkan soalan cepu emas ini ditanyakan kepada saya.
Maka dengan hati yang tenang saya menjawab, “Macam mana nak kahwin, takde orang masuk meminang?” Mak saya dengan tangkas memancung pernyataan saya dengan berkata, “Apa ni orang lelaki pulak kena minang!”
“Eeehh... Barulah ikut Sunah Nabi, Siti Khatijah minang Nabi Muhammad (s.a.w) apa.” Maka setelah mendengar jawapan yang sebegitu bernas lagi Islamik mak saya berhenti mempersoalkan perkara ini lagi dan beredar dari tempat kejadian.
Barangkali dia malas hendak bertanya kerana berpendapat agak sedikit sukar dalam zaman ini untuk ada seorang janda kaya yang akan datang meminang anaknya apatah lagi keperibadian anaknya memang jauh dari Rasulullah (s.a.w).
Namun begitulah lumrah kehidupan zaman sekarang ini yang mana semakin meningkat jumlah orang muda yang memilih untuk berkahwin lambat sedikit. Penulisan kali ini bukanlah mengenai kisah saya dalam mencari jodoh ataupun perbincangan mengenai janda yang mempunyai banyak harta, akan tetapi pandangan mengenai perkahwinan dari sudut seorang lelaki Melayu muda.
SUNNAH NABI
Sebagai seorang Muslim kami digalakkan untuk mengikut contoh dan teladan Rasulullah (s.a.w) dalam kehidupan seharian. Ianya tidaklah jatuh kepada hukum wajib, yang mana kalau nak ikut baguslah kalau rasa macam tak mampu tidak mengapalah.
Akan tetapi wajib biasanya untuk lelaki menggunakan alasan ikut sunah Nabi dalam mempertahankan tindakan mereka yang berhasrat kahwin lebih dari satu. Tapi tahukah anda yang Siti Khatijah tidak pernah bermadu? Rasulullah (s.a.w) tidak pernah berkahwin lebih dari satu sewaktu beliau beristerikan Siti Khatijah.
Hanya selepas kematian Khatijah barulah Rasulullah (s.a.w) berkahwin lebih dari satu dan itu pun dengan janda anak 12 yang lanjut umur. Jadi adalah tidak wajar untuk seorang lelaki menggunakan alasan ikut Sunnah Nabi dalam menikahi seorang anak gadis muda lagi bergetah apatah lagi merupakan seorang pelakon/penyanyi/pengacara. Bukan saya kata salah nak kahwin lebih dari satu, TAK SALAH!
Saya pun mungkin macam tu jugak suatu hari nanti tapi janganlah kita menjual nama Nabi kita hanya kerana kelemahan diri sendiri yang tidak dapat setia kepada yang satu. Akan tetapi saya lebih menyokong berpoligami dari tindakan menceraikan isteri tua hanya kerana tekanan dari perempuan muda yang jauh lebih cantik yang mahu mengahwini suami orang tapi tidak rela bermadu.
Bagi saya tindakan itu adalah sangat tidak patut apatah lagi pada masa sama cuba membawah imej ayu perempuan Melayu terakhir. Opps… tersasul pulak.
Dulu saya sering mempersoalkan kenapa banyak wanita muda yang punyai rupa sanggup dimadu, alasannya kerana harta biasa digunakan, namun saya berubah fikiran sejak baru-baru ini. Ini adalah kerana kebanyakan wanita ini mempunyai bukan sahaja rupa malah pendapatan yang agak baik dengan kerjaya yang bagus. Barangkali jawapan kepada persoalan ini boleh dirungkaikan dengan hanya memandang ke dalam cermin. Ya, kerana terdapat ramai lelaki bujang seperti saya yang tidak bersedia mahupun mempunyai kematangan untuk berumahtangga.
Kadang-kadang bagi sesetengah wanita, mereka hanya mahukan seorang lelaki yang stabil serta bertanggungjawab. Barangkali sebab itulah semakin meningkat jumlah mereka yang berpoligami.
PERMASAALAHAN
Dalam Islam perkahwinan itu mudah, hanya memerlukan mas kahwin, wali dan tok kadhi. Akan tetapi budaya serta kehidupan moden hari ini yang membuatkan berkahwin itu dilihat sebagai sukar. Mana tidaknya, zaman ini kalau hendak berkahwin (cara orang Melayu) mesti ada hantaran, kenduri, karaoke, dulang dan sesi bergambar dengan memakai baju pengantin pelbagai budaya (1 Malaysia).
Ini semua memerlukan wang, kos yang mana membuatkan banyak pasangan bercinta mengambil keputusan untuk menangguhkan perkahwinan kerana memerlukan masa dalam mengumpul dana. Bukannya saya hendak mempersoalkan budaya dan perbelanjaan perkahwinan; saya faham perkara ini adalah sekali (harapnyalah) dalam seumur hidup, oleh itu biasalah kita hendak menjadikanya meriah dan penuh dengan kenangan indah, namun janganlah sampai ianya terlalu membebankan. Ini sering berlaku terutama apabila sesuatu majlis perkahwinan itu bukan berpaksi kepada pasangan pengantin, tapi lebih kepada kemahuan dan kehendak ibu bapa kedua mempelai.
Kenduri merupakan satu majlis yang mana saudara-mara dan sahabat handai berkumpul, maka atas sebab itulah kadang-kadang ibubapa pengantin terlebih sikit seronok dari pasangan pengantin itu sendiri.
Namun permasaalahan timbul apabila sesetengahnya cuba menggunakan majlis perkahwinan untuk tujuan yang salah sehingga membebankan pasangan pengantin. Berhutang dan menekan pada perbelanjaan yang akhirnya menjadi suatu pembaziran. Memang benarlah ada pepatah orang Perak mengatakan “Bior pape asal bergaye” tapi saya fikir dari dihabiskan wang ringgit untuk nak cantik dan meriah satu hari, baik dilaburkan sebagai bayaran muka untuk membeli sebuah rumah untuk mendirikan sebuah keluarga bahagia.
SUDUT YANG LAIN
Selain dari permasaalah dana atau tidak bersedia, satu lagi sudut yang jarang diperbincangkan ialah isu kahwin campur. Isu ini agak hangat di negara kita kerana orang yang bukan Islam yang mahu mengahwini seseorang Muslim (tak kira jantina) dia perlu masuk Islam terdahulu.
Jadi ini menimbulkan permasaalahan terutama kepada keluarga pihak bukan Islam, sering ibu-bapa bukan Melayu (bukan Islam) menasihatkan anak-anak mereka untuk bercinta dengan sesiapa sahaja kecuali budak melayu. Ini kenyataan dan suka atau tidak kita perlu mengakuinya, sebab itu sering timbul masaalah apabila dua orang yang bercinta berlainan agama hendak berkahwin di negara ini. Saya tidak berapa bersetuju dengan tindakan sesetengah individu yang memeluk Islam hanya kerana mahu berkahwin.
Bagi saya cinta terhadap seseorang manusia itu hanyalah sementara dan tidak dijamin berkekalan. Takut timbul masaalah di masa hadapan terutama apabila perkahwinan itu tidak seperti yang diharapkan. Timbul isu berebut anak dan sebagainya.
Kalau hendak memeluk Islam, biarlah kerana Allah Tuhan yang maha Esa dan bukan kerana jatuh cinta dengan anak Pakcik Sulaiman.
Tetapi bagi saya untuk menyalahkan undang-undang semata-mata adalah tidak tepat kerana purata orang Melayu di negara kita ini, membuat keputusan untuk berkahwin dengan hanya mereka yang memeluk Islam.
Malah saya sendiri, yang memang cukup terbuka dalam hal ehwal wanita juga berasa tidak selesa dengan mendirikan rumah tangga tanpa mempunyai persamaan terhadap iman. Mungkin atas sebab praktikal atau mahu menjaga akidah. Tapi bagi saya sangat sukar untuk mencintai seseorang itu sepenuh hati tanpa mengambil berat tentang keadaan orang yang kita cintai itu di akhirat kelak. Saya tak sanggup buat begitu.
Memang perkara ini banyak berlaku, yang mana dua orang bercinta tapi kerana perbezaan ini menyebabkan ramai pasangan menangguhkan perkahwinan mereka, samaada memerlukan masa untuk membuat keputusan atau memerlukan masa untuk meyakinkan kedua belah keluarga.
Begitulah lumrah kehidupan zaman sekarang, malah ada yang lebih sayu yang mana percintaan ini terpaksa dipisahkan kerana perbezaan jalan yang selari tetapi tidak mempunyai titik pertemuan. Barangkali satu perbualan antara saya dan rakan menjadi contoh yang tepat
“Zaidel, hang suka ah moi eh?”
“Semua aku suka.”
“Bagus tau kalau you ada girlfriend China, depa bagus sangat, tak cemburu buta, sporting, dan kalau dia sayang you hoooh memang dia sayang betullah.”
“Oh ye ke?”
“Ye! I dulu ada Chinese girlfriend, memang cukup bagus dia jaga I baik baik.”
“Dahsyat, habis tu apa jadilah?” (Kawan saya ini sekarang sudah berkahwin)
“Nak buat macamana, dia tak nak peluk Islam.”
“Ohh.... Macam tu ka.”
“Itulah dia, dia nak peluk orang Islam je, peluk Islam dia tak nak.”
Kesimpulan
Itulah dia pandangan mengenai perkahwinan dari mata seorang lelaki Melayu di negara kita ini, tak pun dari sudut sayalah. Mungkin ada yang tidak berapa bersetuju dengan pandangan ini namun bukan perdebatan yang saya mahukan akan tetapi hanya ingin sekadar berkongsi pendapat dan pandang mengenai perkara ini.
Memang terdapat beberapa masaalah dalam perkahwinan terutama dalam zaman serba moden hari ini namun anggaplah ianya sebagai satu cabaran dalam mendapatkan kebahagiaan, sesungguhnya sesuatu yang bagus tidak mudah didapati. Sesungguhnya saya tidak mempunyai penyelesaian secara jitu dalam permasaalahan kehidupan seperti ini, rasanya tiada siapa pun ada. Namun ianya baik dijadikan panduan atau teladan buat mereka yang bakal mendirikan rumahtannga.
Akhirnya, berbalik kepada persoalan pokok iaitu, “Zaidel bila nak kahwin?”, saya jawab “Tengoklah, kalau ada Janda Kaya minang aku nanti baru aku fikirkan.”

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.