Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

28 April, 2010

Mangsa ribut terima bantuan awal

Mohd Shubihi Zain  

SUNGAI PETANI, 27 April: Kejadian ribut yang berlaku petang semalam telah mengakibatkan lebih 160 buah rumah di beberapa buah kampung dan kawasan perumahan di sekitar Sungai Petani mengalami kerosakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, hari ini, hadir melawat mangsa-mangsa dan menghulurkan bantuan awal di Surau Kampung Tengah, Padang Temusu, dekat sini.
Azizan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Ustazah Aishah Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Hal Ehwal Masyarakat Cina, Tan Show Kang, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Merdeka, Haji Abdullah Jusoh.
Menurut Azizan, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka yang terlibat dalam kejadian bencana ini.
"Kerajaan bersimpati dengan apa yang berlaku dan berjanji akan membantu dengan seberapa segera untuk meringankan bebanan mereka yang terlibat. Sesiapa yang terlibat dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan hendaklah dimajukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bancian kerosakan dan penyaluran bantuan dari kerajaan negeri.
"Kerajaan akan salurkan bantuan melalui agensi-agensi ini dan berharap semua pihak termasuk Unit Amal akan dapat membantu mangsa-mangsa bencana alam ini seperti yang dilakukan di Kuala Ketil baru-baru ini," katanya ketika menyampaikan bantuan kepada lebih 70 mangsa ribut di sini.
Azizan dan rombongan juga dibawa melawat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kalaimagal yang sebahagian bangunannya dihempap sebatang pokok besar dalam kejadian ribut itu.
Beliau turut mengarahkan untuk disalurkan sebarang bantuan dan tindakan segera kepada sekolah berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.