Harakahdaily
Inilah yang mereka laungkan di Stadium Mini Kuala Kubu Bahru dekat sini malam tadi selepas SPR mengumumkan kemenangan berpihak kepada BN walaupun maklumat awal tersebar PKR akan menang dalam pilihan raya ini.
Pada jam 9.20 malam tadi, pengurus pilihan raya kecil itu, Nur Hisham Ahmad Dahlan mengumumkan calon BN P Kamalanathan mendapat 24,997 undi, manakala calon PKR Datuk Zaid Ibrahim memperolehi 23,272 undi. Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi.
Calon Pakatan, Datuk Zaid ketika berucap kepada para penyokongnya malam tadi berkata, amat sukar untuk pihak lain menang dalam pilihan raya di negara ini selagi pembelian undi dihalalkan.
"Kita tewas kerana membeli undi itu halal dalam negara ini".
Zaid juga mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membelanjakan lebih RM40 juta dalam pilihan raya kali ini.
"Membeli undi di tengah malam itu halal, membeli undi di tengahari itu halal," katanya.
Suasana diselubungi suasana sebak dan sugul di kalangan pimpinan Pakatan yang berkumpul di stadium itu.
Kalau malam sebelumnya lebih 20,000 penyokong berkumpul, malam tadi hanya sekitar 500 penyokong tegar Pakatan ada dalam stadium itu.
Zaid turut ditemani isteri dan anak-anaknya di samping para pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.
Antaranya Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, tokoh DAP Lim Kit Siang, dua naib presiden PKR Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah, ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin serta pengarah pilihan raya PKR Fuziah Salleh.
Dalam ucapannya, Zaid menambah, politik Machiavelli yang diajar oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selama 23 tahun, telah terhenti sebentar apabila pentadbiran negara diambil alih oleh Datuk Seri Abdullah.
Namun ia bersambung semula selepas ia diambil alih oleh Najib.
Katanya, Abdullah cuba memberikan kebebasan dan reformasi yang menyebabkan keputusan pilihan raya 2008 memihak kepada rakyat.
"Walaupun terhad tetapi dia mencuba," katanya sambil meminta penyokongnya terus menuntut pilihan raya yang bebas dan bersih "kerana kerja kuat sahaja tidak mencukupi."
0 comments:
Post a Comment