Wong Meng Chuo
Barisan Nasional berjaya mengembalikan kerusi parlimen Hulu Selangor dengan majoriti 1,725 undi, dalam PRK yang ke-10 selepas PRU tahun 2008. PRK Sibu yang bakal menyusul pada 16 Mei, kini menjadi tumpuan baru seluruh negara. Sebelum ini, pengundi Sibu, terutamanya penyokong Pakatan Rakyat (PR) ataupun pendukung sistem dua parti, bertanggapan bahawa keputusan PRK Hulu Selangor bakal mempengaruhi PRK ke-11 ini. Nampaknya mereka menaruh harapan agar angin perubahan akan bertiup ke Sarawak. PRK Hulu Selangor yang telah melabuh tirai mungkin satu tamparan yang bukan kecil buat PR. Pada hakikatnya, sebagaimana yang saya perhatikan, "angin perubahan" agak sukar untuk merentasi Laut China Selatan, dan mendarat di Sabah dan Sarawak yang berada di Pulau Borneo. Pengundi Sibu agak konservatif Sebagaimana yang sedia maklum, kestabilan majoriti BN sebenarnya bergantung kepada kelebihannya di Malaysia Timur. PRK Batang Ai yang berlangsung pada April 2009 dilihat sebagai kayu uji PR untuk bertempur dengan BN. Mungkin ada yang akan mempertikaikan bahawa kawasan DUN Batang Ai adalah kawasan luar bandar, dan pengundi mudah terpikat dengan pembangunan yang ditawarkan BN. Walaupun kira-kira 70% pengundi di kawasan pengundian Sibu tinggal di bandar yang seketika dahulu kedua terbesar dalam negeri ini (kini rankingketiga), namun suasananya amat polos dari dulu hingga sekarang. Majoriti penduduknya ialah warga tua, di mana pengundi yang berumur 40 tahun ke atas mencakupi 62.5%. Secara umumnya, pendirian politik penduduk di sini lebih cenderung kepada konservatif. Apa yang beza adalah, dua pertiga daripada pengundi Sibu ialah Cina, dan majoriti pengundi di Batang Ai pula ialah kaum Iban. Sememangnya, lebih daripada 60% pengundi Cina (pengundi Cina mencakupi 2/3 daripada jumlah pengundi Sibu) mengundi pembangkang dalam PRU ke-12 pada tahun 2008, berbanding dengan 33% pengundi Melayu dan 26% pengundi Iban yang menyokong pembangkang. Maka secara teorinya, PR mempunyai kelebihan dalam PRK ini, terutamanya ketiga-tiga parti pembangkang telah bersekutu, dan keadaan di mana penamaan dua calon dari pembangkang (DAP dan PKR) tidak akan wujud lagi. Dikuasai pembalak Pembangkang biasanya akan menuding jari kepada undi pos apabila kalah dalam pilihan raya. Daripada 3,235 undi majoriti yang diperolehi BN, 2,712 undi adalah undi pos. Pada masa yang sama, agak pelik apabila senarai daftar pemilih yang diumumkan terbaru ini memperlihatkan lonjakan nisbah pengundi Iban daripada 15% kepada 22%. Seandainya kecenderungan pengundi Iban adalah sama dengan PRU ke-12, maka BN masih mempunyai peluang untuk menang. Ini kerana pilihan pengundi Cina dan Melayu agak stabil dari dulu hingga sekarang. Ia dijangkakan tidak akan mengalami perubahan besar kali ini. Sibu adalah medan yang dikuasai pembalak. Beberapa kumpulan ini memainkan peranan dalam mengekalkan kestabilan. Hanya dengan mewujudkan peluang pekerjaan, dan menyumbang dalam penjanaan jentera kempen wang, ia sudah memadai untuk menangkis undi tidak puas hati, dan menghalang undi ini daripada terus bertambah. Dalam keadaan di mana pengaruh PKR atau PAS yang agak lemah di sini, angin perubahan masih belum cukup kencang. Keputusan PRK Hulu Selangor kali ini nampaknya menyebabkan mereka kehilangan peluang perubahan, sekali lagi. Kepentingan kaum asli terjejas Namun, PR masih berpeluang untuk menemui "cahaya" di kawasan Iban. Ini kerana terdapat sebidang tanah di kawasan Sibu yang diperuntukkan untuk kegunaan pembangunan ladang kelapa sawit, tetapi didapati pula sebahagian besarnya adalah tanah yang tidak sesuai untuk penanaman kelapa sawit. Malah, ia membabitkan tanah adat, yang mencabul hak penduduk tempatan. Orang asli akan sedar apabila merasai ancaman daripada pembangunan tanah, sebagaimana yang berlaku di kawasan lain di Sarawak, malah mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap pencabul hak mereka. Di Sibu, terdapat satu ladang kelapa sawit yang seluas 2,700 hektar, dan berkaitan dengan KTS yang melibatkan 19 rumah panjang dan 560 keluarga. Orang yang bertanggungjawab dalam syarikat ini kebetulannya adalah calon SUPP, iaitu Robert Lau Hui Yew. Robert Lau Hui Yew adalah sepupu kepada mendiang Robert Lau Hoi Chew, mewakili kepentingan kerabat KTS. Adalah cabaran kepada Robert Lau Hui Yew sama ada beliau dapat mengimbangi konflik antara kepentingan kerabatnya dengan politiknya, sementara untuk memenuhi impian sepupunya. Namun, PR nampaknya gagal meningkatkan kesedaran politik pengundi dalam tempoh kempen yang singkat ini. Limpahan wang yang ditaburkan mungkin membuat PR tergelincir sekali lagi di Sibu. Dari segi makna ini, nampaknya habuk Hulu Selangor telah melayang merentasi Laut Cina Selatan dan mendarat di Sibu. *Wong Meng Chuo ialah penduduk Sarawak. Diterjemah dari artikel yang disiarkan di kolum MerdekaReview, edisi Cina. |
0 comments:
Post a Comment