SHAH ALAM, 27 Apr – Aminulrashid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis di sini awal pagi semalam, dianggap sebagai anak yang soleh, kerap mengunjungi surau berdekatan, kata ibunya, Norsiah Mohamad.
Beliau langsung tidak percaya dengan dakwaan polis bahawa anak bongsu dari lapan beradik itu terlibat dalam kegiatan jenayah dan bercadang mengambil tindakan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau meminta siasatan telus dibuat dan meminta media arus perdana membuat laporan adil serta tidak melaporkan ‘yang bukan-bukan’ kerana dia ‘tidak sanggup membacanya’.
Norsiah pada satu sidang media di rumahnya hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan melulu anggota polis yang menembak anaknya tanpa mengikut prosedur.
“Saya tahu siapa anak saya, bukan seperti disebarkan di dalam surat khabar. Saya tahu anak saya, jadi saya minta polis siasat perkara ini, yang salah tetap perlu dihukum,” katanya.
Dalam kejadian itu, Aminulrashid Amzah ditembak mati anggota peronda polis kira-kira jam 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 Shah Alam, sekitar 100 meter dari rumah mangsa.
Mangsa yang sepatutnya menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini dikatakan memandu Proton Iswara sebelum ditembak berikutan polis mendakwa, Allahyarham disyaki sebahagian anggota kumpulan penjenayah.
“Beliau seorang anak yang taat kepada mak, saya berharap polis menjalankan siasatan lebih adil untuk saya dan arwah merupakan seorang yang aktif, sangat aktif dalam sukan dan ko-kurikulum di sekolahnya. Anak saya selalu ke surau,” katanya.
Berharap insiden berkenaan diselesaikan secara baik, Norsiah meminta satu siasatan telus dibuat oleh pihak berkuasa dalam memastikan keadilan dan kebenarannya untuk anaknya segera ditegakkan.
Dalam pada itu, kakak mangsa, Tuty Shalninza mengecam media arus perdana kerana mengaitkan adiknya dengan kegiatan samun termasuk kononnya ada parang di dalam kereta yang dinaiki Aminul.
“Bukan parang tetapi hanya payung,” katanya.
Pada masa ini, ahli keluarga mangsa belum membuat keputusan untuk melantik peguam bagi memastikan keadilan untuk mangsa walaupun menerima tawaran daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan UMNO.
0 comments:
Post a Comment