Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

27 April, 2010

Remaja 15 Tahun Mati Ditembak, Kakak Yakin Adik Bukan Penjenayah


SHAH ALAM, 27 APR: Kakak kepada remaja lelaki yang ditembak mati oleh anggota peronda polis awal pagi semalam, bingung mengapa adiknya ditembak malah yakin mangsa bukan penjenayah seperti yang didakwa.

Norazura Amzah, 39, berkata beliau hanya mengetahui adiknya Aminulrashid, 15, mati ditembak ketika ingin membuat laporan kehilangan adiknya yang tidak pulang semalam.
"Ibu telefon pagi tadi memaklumkan adik tidak pulang ketika keluar dengan kereta Proton Iswara milik seorang lagi kakaknya.
 "Saya tidak sedap hati dan bergegas ke rumah ibu sebelum kami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan dimaklumkan ada kejadian tembak membabitkan seorang remaja berdekatan rumah ibu di Seksyen 11," katanya.
Kejadian tembak itu juga dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 2 pagi tadi , kira-kira 100 meter dari rumah mangsa.

Norazura yang beberapa kali terhenti bercakap kerana menahan sebak berkata, mereka bergegas ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang tetapi dihalang dari masuk.
Katanya, seorang daripada pegawai bertugas di bilik mayat itu mengesahkan mayat remaja berkenaan menyamai paras adiknya, anak bongsu daripada lapan beradik dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini.
"Maaf, saya sangat kecewa dan sedih, apalah salah seorang remaja seperti adik saya, jangan membuat tuduhan melulu dan cuba fikirkan apa rasanya andai dia berlaku kepada kita," katanya.
 Tinjauan Bernama di perkarangan masjid di Seksyen 11 di sini mendapati lebih 200 rakan Allahyarham dan saudara mara berkumpul untuk menunaikan solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.
Turut kelihatan ialah Ahli Parimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.
Van jenazah polis turut disediakan bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan yang diiringi unit kawalan motosikal polis.
Jenazah Aminulrashid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini selepas solat Maghrib tadi.
Sementara itu, Khalid berkata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar memberikan jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
"Allahyarham seorang remaja yang dikenali di kawasan ini dan kemungkinan melakukan jenayah adalah tidak mungkin sama sekali," katanya.
Seorang pemilik kafe siber, yang dikenali sebagai Amin berkata Allahyarham ialah seorang remaja yang mudah didekati dan penyayang serta sering mengunjungi premisnya.
"Kali terakhir saya menemuinya petang semalam ketika dia melayari internet di sini dan bergurau dengan anak-anak saya, kemudian selepas bermain bola di padang berhampiran dia sempat melambaikan tangan ke arah saya dan isteri," katanya sebak.  
TV Selangor difahamkan, Khalid Samad akan mengadakan sidang media mengenai insiden itu kira-kira jam 9.30 pagi ini.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.