Akhirnya, Zaid Ibrahim, calon PKR-Pakatan Rakyat tewas kepada calon MIC-Barisan Nasional, P.Kamalanathan dengan beza 1,725 undi. P.Kamalanathan memenangi 24,967 undi, sementara Zaid Ibrahim memperolehi 23,272 undi, dengan 731 undi rosak.
Dengan kata lain, BN berjaya mencapai kemenangan ketiganya dalam 10 pilihan raya kecil selepas PRU ke-12. Juga, kekalahan PKR-PR ini menjadikan bilangan kerusi Dewan Rakyatnya menurun kepada 77 kerusi. Seandainya berlaku lompatan tiga orang lagi dari PR, maka PR akan undur dan bertahan pada paras satu pertiga (74 daripada 222 kerusi). Pilihan raya kecil Hulu Selangor ini mencatat kadar pengundian setinggi 75.87%, dengan 48,935 orang keluar mengundi, pada hari ini. Hulu Selangor merupakan kawasan pengundian parlimen luar bandar, dengan jumlah pengundi sebanyak 64,500 orang (termasuk 799 orang pengundi pos), terdiri daripada 52.7% Melayu, 26.3% Cina, 19.3% India, 1.1% orang asli dan 0.59% lain-lain.
Pada PRU ke-12, dengan kadar pengundian 75.24%, Allahyarham Zainal Abidin Ahmad yang menyarung jersi PKR memenangi 23,177 undi (48.7%), menewaskan G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Bagaimanapun, ketiga-tiga kerusi DUN di bawah kawasan parlimen ini dirampas oleh BN, dengan jumlah majoriti 6,176 undi. Oleh yang demikian, calon MIC, G.Palanivel dianggap sebagai punca kekalahan BN pada PRU ke-12, memandangkan jumlah majoriti yang lebih daripada 6000 undi ini sebenarnya memihak kepada BN. Maka, PRK Hulu Selangor ini bermula dengan pergelutan dalam BN dalam isu pemilihan calon. Peringkat awal: Pemilihan calon BN berdepan dengan masalah calon pada awalnya, apabila sebahagian ahli UMNO menuntut agar UMNO meletakkan calonnya untuk bertanding dalam PRK Hulu Selangor. Bagaimanapun, setelah Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Najib Razak memberi laluan kepada MIC, BN pula berdepan dengan dilema, sama ada meletakkan semula G.Palanivel pilihan Samy Vellu ataupun calon lain. Secara luaran, proses pemilihan calon PR berjalan dengan licin, berbanding dengan BN. Cuma, imej Zaid Ibrahim (gambar kanan) yang "liberal" dipertikaikan dan dianggap tidak sesuai untuk kawasan pengundian luar bandar seperti Hulu Selangor. Bagaimanapun, Zaid Ibrahim yang sudah "terkenal", dan tidak perlu untuk diperkenalkan lagi, dianggap boleh meningkatkan undi Cina dalam perhitungan PKR-PR. Pertengahan: Kempen Bagaimanapun, setelah PRK membuka tirai secara rasminya pada hari penamaan calon, Zaid Ibrahim berdepan dengan serangan peribadi. Pemimpin PR diasak oleh media kawalan UMNO untuk "mengesahkan" sama ada Zaid Ibrahim seorang "kaki botol". Perkembangan selanjutnya menyaksikan bagaimana Zaid Ibrahim terjerat ke dalam perangkap apabila kaki botol, kaki judi dan sebagainya dilempar terhadapnya. Malah, konflik antara Zaid Ibrahim (ketika berada di UMNO) dengan PAS diperbesarkan, meletakkan PAS dalam dilema untuk mempertahankan calon PKR yang "liberal" Ini. Walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan, namun tiada bukti, iaitu foto yang menunjukkan Zaid Ibrahim mengambil alkohol. Bahkan, "gambar Zaid minum arak" sebagaimana yang diedarkan adalah gambar yang diubahsuai. Zaid Ibrahim yang membuat pengakuan terlebih dahulu terus diheret mengikut rentak BN, sehingga terkurung dalam keadaan "mengawal". PR gagal terkeluar dari perangkap ini. Isu yang besar tidak ditonjolkan dengan jelas. Sungguhpun sijil pengajian P.Kamalanathan dipertikai, gambarnya mencium tangan TPM Muhyiddin Yassin dihebahkan dan sebagainya, namun, dari apa yang diperhatikan, tiada tema yang jelas dan nyata ditonjolkan oleh PR sepanjang tempoh berkempen ini. Apa yang lebih mengejutkan, PR mendapati bahawa Zaid Ibrahim tidak begitu "terkenal" di kalangan komuniti Cina di Hulu Selangor sebagaimana yang dijangkakan. Keadaan semakin terdesak untuk PR apabila Najib (gambar kanan) yang baru menamatkan lawatannya di Amerika Syarikat dan Jepun, mendarat di bumi Hulu Selangor dengan taburan janji dan wang. Malah, antara janji-janji yang ditaburkan, pengumuman seperti "RM3 juta akan diperuntukkan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Rasa seandainya BN menang" mengandungi unsur rasuah. Di akhir-akhir tempoh kempen, PR mengadakan satu perhimpunan yang besar di stadium Kuala Kubu Bharu semalam, yang dibanjiri puluhan ribu orang. Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang menggulung ucapannya menegaskan bahawa PRK ini pertarungan untuk mengembalikan maruah rakyat, dan menegaskan bahawa pengundi harus bangkit untuk menolak pembelian undi yang akan menggadaikan kepentingan bangsa. Akhir: Zaid tewas Bagaimanapun, PR akhirnya gagal mematahkan serangan daripada BN. Keputusan sedemikian semestinya menyuntik semangat kepada BN, dan bakal diterjemah sebagai penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia yang diutarakan Najib Razak. PRK Sibu kini menanti di depan. Seandainya BN berjaya mengekalkan kemenangan ini, maka tidak mustahil Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan dan PRU ke-13 akan diadakan dalam tempoh yang lebih dekat. |
0 comments:
Post a Comment