Sesudah bersusah payah memerah keringat meneroka kawasan hutan untuk program pertanian Felda, tidak salah bagi peneroka Felda Sungai Buaya memasang harapan untuk menjadi jutawan.
Namun harapan hanya tinggal harapan apabila syarikat yang membeli tanah mereka dengan licik sekali cuba memusnahkan impian mereka.
Sepanduk 'Selesaikan Masalah Tanah Kampung ini sebelum mendapat Undi Kami' menyambut setiap yang mengunjungi kawasan ini.
Masalah penjualan tanah Kampung Sungai Buaya kepada syarikat pemaju sudah berlarutan lebih 16 tahun tanpa sebarang pembelaan dari pihak yang diharapkan dapat membantu mereka.
Lebih menyedihkan lagi nasib 363 peneroka yang tergadai segala titik peluh mereka tidak mungkin terbela apabila kebanyakan mereka telah meninggal dunia ataupun uzur akibat usia.
"Sehingga bila nak ditunggu? Orang tua dah macam kupu-kupu. Dari 363, tinggal 57 orang. Perkara dah banyak didedahkan tapi tidak ada kesan," kata penduduk, Jamadi Mohamad.
Dalam jangkamasa hampir dua dekad ini, pelbagai usaha dibuat oleh peneroka namun usaha mereka bagai mencurah air ke daun keladi apabila orang yang paling diharapkan dapat membantu langsung tidak dapat menunaikan janji beliau walaupun memegang jawatan tertinggi sekali di Negeri Selangor.
"Mat Taib. Di situlah harapan seluruh penduduk peneroka ini sebenarnya, hingga perjanjian jadi caca-merba," kata Ketua Kampung Sungai Buaya, Saidin Busu.
Murnia Jaya dikatakan gagal mematuhi segala perjanjian pembayaran apabila hanya melunaskan sejumlah kecil dari harga yang sepatutnya.
Hal ini memaksa peneroka membawa perkara ini ke Makhamah hanya untuk menuntut hak mereka dari terus dizalimi.
Sesudah tujuh tahun berjuang di Makhamah Tinggi Sivil Shah Alam, pada 4 September 2009, Mahkamah memberikan Murnia Jaya selama setahun setengah untuk melunaskan baki kepada 34 daripada peneroka yang membawa kes ini.
Namun sehingga hari ini, pihak Murnia Jaya langsung tidak menghantar sebarang wakil atau memberi penyelesaian kepada penduduk.
Mangsa sebenar perkara ini ialah anak-anak dan generasi kedua peneroka bekas Felda ini kerana masa depan mereka dizalimi oleh ketamakan segelintir manusia yang hanya dahagakan wang dan kuasa.
0 comments:
Post a Comment