Oleh Amin Iskandar
15 APRIL — Krisis politik di Thailand tidak menampakkan kesudahannya. Perpecahan politik diantara kelompok “merah” dan “kuning” telah menyebabkan negara tersebut mempunyai dua blok politik yang kuat dan terus-terusan bertembung.
AKhir-akhir ini, protes dari kelompok “merah” yang bergabung dibawah United Front for Democracy against Dictatorship (UDD) semakin hebat untuk mendesak perdana menteri, Abhisit Vejjajiva untuk membubarkan parlimen bagi memberikan laluan untuk pilihanraya umum dilangsungkan.
Kelompok merah dikatakan menyokong kuat bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra manakala Abhisit dari Parti Demokrat dilihat rapat dengan kelompok kuning yang “anti Thaksin”.
Protes yang berterusan dari kelompok merah membuktikan bahawa pengaruh Thaksin Shinawatra masih lagi kuat dalam politik Thailand.
Terbaru, pertempuran diantara kelompok merah dan dan anggota keselamatan Thailand menyebabkan 21 orang terbunuh dan lebih 800 orang cedera. Seorang jurugambar warga Jepun diantara yang terbunuh. Tragedi ini adalah yang terburuk selepas “Black May” pada tahun 1992 dahulu.
Dalam sidang media selepas tragedy berdarah tersebut, selain mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga yang terbunuh, Abhisit bertegas tidak akan melepaskan jawatan dan membubarkan parlimen.
Akan tetapi dua hari selepas kejadian tersebut, Suruhanjaya Pilihanraya Thailand (EC) membuat pengumuman yang mengejutkan iaitu Parti Demokrat dibawah pimpinan Abhisit perlu dibubarkan sepertimana yang pernah berlaku kepada People Power Party (PPP) pada tahun 2008.
Parti Demokrat yang juga parti politik yang tertua di Thailand pada ketika ini dikatakan bersalah kerana menerima “derma haram” sebanyak 258 juta baht dari TPI Polene, sebuah syarikat semen untuk kegunaan pilihanraya tahun 2005 dan tidak mengisytiharkannya.
Selain daripada itu, Parti Demokrat juga dikatakan menyalahgunakan 29 juta baht yang diterima daripada EC untuk tujuan pembangunan politik.
Keputusan EC itu memberikan tamparan hebat kepada Abhisit yang baru sahaja memimpin negara tersebut selama 16 bulan. EC akan menghantar keputusan mereka tersebut ke Pejabat Peguam Negara. Pejabat Peguam Negara mempunyai 30 hari untuk menyemak kes tersebut.
Jika Pejabat Peguam Negara bersetuju dengan keputusan EC tersebut, ia akan merujuk keputusan tersebut kepada Mahkamah Constitusi untuk keputusan akhir. Jika tidak bersetuju pula, sebuah jawatankuasa bersama akan ditubuhkan untuk menyemak semula kes tersebut.
Jika Mahkamah Konstitusi bersetuju dengan keputusan EC tersebut, Parti Demokrat akan dibubarkan dan diharamkan untuk menyertai politik selama lima tahun.
Keputusan ini pastinya akan merumitkan lagi pergolakkan politik di Thailand. Semenjak pilihanraya umum Febuari tahun 2005 yang dimenangi oleh Parti Thai Rak Thai (TRT) pimpinan Thaksin, Thailand tidak pernah sunyi daripada pilihanraya.
Setahun selepas itu, pada bulan April 2006, sekali lagi pilihanraya umum dijalankan berikutan dengan pembubaran parlimen yang lebih awal oleh Thaksin berikutan dengan tekanan rakyat terhadap skandal kewangannya.
Pilihanraya tersebut sekali lagi dimenangi oleh parti pimpinan Thaksin. Akan tetapi keputusan pilihanraya tersebut tidak dipersetujui oleh penentang-penentang Thaksin kerana dikatakan Thaksin telah memanipulasi pilihanraya tersebut.
Penentangan terhadap keputusan pilihanraya pada April 2006 telah menyebabkan Raja Bhumibol Adulyadej mengisytiharkan bahawa pilihanraya April 2006 adalah tidak demokratik. Mahkamah Konstitusi mengisytiharkan pilihanraya April 2006 sebagai tidak sah. Pilihanraya baru seharusnya dijalankan pada bulan Oktober 2006 akan tetapi ditangguhkan oleh kerana berlakunya Kudeta dari pihak tentera.
Selepas lebih daripada 12 bulan pemerintahan tentera, sekali lagi pilihanraya umum diadakan pada 23 Disember 2007. Parti TRT telah diharamkan untuk bertanding.
Saki baki penyokong kuat Thaksin telah menubuhkan parti PPP yang memenangi 233 daripada 480 kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam pilihanraya tersebut.
Parti Demokrat mendapat tempat kedua dengan 165 kerusi, parti Chart Thai 37 kerusi, parti For the Motherland 24 kerusi, parti Ruam Jai Thai Chat Pattana 9 kerusi, parti Neutral Democratic 7 kerusi dan parti Pracharat 5 kerusi.
PPP berjaya membentuk kerajaan setelah beraliansi dengan beberapa parti kecil. Samak Sundaravej menjadi perdana menteri Thailand selepas pilihanraya tersebut.
Samak hanya bertahan menjadi perdana menteri Thailand selama lima bulan. Beliau dijatuhkan selepas dibuktikan mengambil gaji dari sebuah rancangan memasak popular dari sebuah stesen TV semasa menjadi PM.
Somchai Wongsawat, abang ipar kepada bekas perdana menteri Thaksin mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri Thailand yang ke 26. Somchai hanya mampu menjadi perdana menteri selama dua bulan lebih sebelum parti pimpinannya PPP dibubarkan oleh EC kerana dibuktikan terlibat dalam kesalahan pilihanraya.
Kajatuhan Somchai telah menyebabkan beberapa parti-parti kecil berpaling tadah untuk membentuk aliansi baru dengan parti Demokrat pimpinan Abhisit. Aliansi ini sekaligus telah mengangkat Abhisit untuk menjadi perdana menteri Thailand yang ke 27 selepas memenangi undi istimewa di Parlimen pada 15 Dis, 2008.
Sekarang giliran Abhisit pula berada dalam keadaan tersepit. Jika partinya berjaya disabitkan kesalahan, parti tertua di Thailand tersebut akan mengalami nasib yang seperti parti TRT dan PPP.
Jika pilihanraya umum diadakan semula, mampukah ianya mengembalikan kestabilan politik di Thailand? Apakah hanya dengan pengampunan Thaksin sahaja yang mampu menyelesaikan kemelut politik di Thailand? Mampukah King Bhumibol yang begitu dihormati oleh rakyat Thailand untuk menyatukan kembali negaranya?
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
0 comments:
Post a Comment