Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

15 April, 2010

Calon: BN lalui jalan sukar di Hulu Selangor

KUALA LUMPUR, 15 April: Kehangatan dan pergolakan dalaman Barisan Nasional (BN) semacam tidak dapat disembunyikan lagi yang memungkinkan mereka akan menempuh jalan sukar dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, kata Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak, Khalil Idham Lim (gambar).

Malah, katanya media arus perdana semacam membuka pekung di dada dengan menyiarkan secara meluas pertelingkahan dalaman BN terutama kemelut yang berlaku dalam parti komponen yang mewakili orang India, MIC.
Beliau berkata, apapun Pakatan Rakyat membuktikan kemantapan gabungan dan semangat setia kawan yang tinggi sehingga lebih awal mengumumkan calonnya tanpa jalan sukar dan berliku seperti yang ditempuh BN.
Katanya, Datuk Zaid Ibrahim ditabalkan sebagai calon PR tanpa ada isu besar sebagai mana BN walaupun masih ada usaha untuk melagakan oleh beberapa pihak tetapi ternyata gagal.
Secara sini, ujarnya, berpeluh dahi Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam memutuskan calon BN daripada MIC di Hulu Selangor.
“Malah saya melihat kesukaran menentukan calon yang akan mewakili BN sekali ini mendedahkan kepada rakyat bahawa gabungan BN dan semangat setiakawan antara mereka sudah retak menunggu belah. Pergolakan dalaman BN sudah sampai di kemuncaknya,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong di dalam blognya, http://idhamlim.blogspot.com.
Apapun beliau yakin kemelut itu akan memberi nilai tambah untuk memenangkan calon PR kerana rakyat sudah dapat menilai bahawa Pakatan Rakyat adalah wakil mereka untuk menyelamatkan negara di masa akan datang.
“Tambahan pula luka dalam BN sudah berdarah, siapapun yang akan dipilih oleh BN dan akan diumumkan oleh Muhyiddin pada jam 4.00 petang ini, mesti ada pihak yang tidak berpuas hati dan ada unsur cantas mencantas, jatuh menjatuhkan dan undi protes akan berlaku,” ujarnya.
Katanya, paling menarik apabila berbicara sedikit mengenai Umno yang sejak awal tidak bepuas hati yang beliau jangka mereka akan mengundi dan membantu serta memihak kepada calon Pakatan Rakyat.
“Kerana dengan itu sahaja MIC dapat diajar supaya tidak bertanding lagi di Hulu Selangor pada masa akan datang,” ujarnya.
Sehingga semalam, berlaku beberapa insiden apabila 18 ketua bahagian MIC di Selangor tampil mendesak pucuk pimpinan BN supaya mengesahkan pemilihan Datuk G Palanivel sebagai calon sepertimana yang diperakukan oleh presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu.
Selain itu sebahagian daripada ketua-ketua cawangan MIC Hulu Selangor memberi kata dua kepada kepemimpinan BN agar mencalonkan Palanivel yang juga timbalan presiden parti itu atau menghadapi pembubaran cawangannya.
Dalam perkembangan yang berkaitan timbalan pengerusi MIC Bahagian Hulu Selangor, VS Chandran akan bertanding sebagai calon bebas.
Kemucak pergolakan dalaman MIC kelmarin apabila mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat MIC di ibu negara memutusakan timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan berdepan dengan kemungkinan dipecat dari parti itu sekiranya dia dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.