Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

16 April, 2010

Israel di PDRM: Jawapan kerajaan makin mengelirukan

Abdul Aziz Mustapha  


KUALA LUMPUR, 15 April: Penjelasan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang cuba menggambarkan warga Israel tidak begitu terlibat dalam projek Police Reporting System (PRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja gagal meyakinkan malah semakin mengelirukan.


Ketika mempertikaikan penjelasan mengelirukan itu, Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution mempersoalkan dakwaan Abu Seman kononnya siasatan polis pada bulan Jun 2008 mengesahkan tidak ada elemen ataupun penglibatan Israel.


"Saya cuba fahamkan kronologinya berdasarkan kepada penjelasan Timbalan Menteri. Bulan Jun 2008, Timbalan Menteri sebut tadi siasatan polis mengesahkan tidak ada elemen ataupun penglibatan Israel. Itu fakta jawapan tadi.


"Kenyataan muka hadapan Star yang saya rujuk ialah 5 Ogos 2008, yang menyebut bahawa IGP (Ketua Polis Negara - KPN) sebut ‘We informthe Home Ministry as soon as we learned about the Israeli involment’. Ini 5 Ogos 2008," kata Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR.


Beliau mempersoalkan, apa yang mendorong KPN mengeluarkan kenyataan mengenai penglibatan Israel dalam PDRM jika benar sebelum itu, iaitu pada bulan Jun 2008, siasatan sudah mengesahkan tidak ada penglibatan Israel dalam PDRM.  


Dakwaan Abu Seman lebih tidak meyakinkan apabila Saifuddin juga membangkitkan pada pada bulan November 2008, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar meminta Masterplan Consulting Sdn. Bhd memberikan penjelasan tentang penglibatan Israel sehingga menyebabkan Masterplan menamatkan kerjasama mereka dengan Asiasoft.


"Kenapa ditamatkan kalau tidak ada penglibatan yang mencurigakan ini melalui ikatan syarikat Asiasoft tadi?" Ahli Parlimen Machang itu mempersoalkan.


Menurut pengakuan Timbalan Menteri Dalam Negeri sendiri, 51 peratus saham Asiasoft Global Pte Ltd "dimiliki oleh Top Image Systems Limited (TIS), yang mana dua daripada anggota lembaga pengarahnya adalah rakyat Israel". 49 peratus lagi dimiliki Toh Kian Hong, rakyat Singapura.


Abu Seman juga menjelaskan, pembangunan sistem PRS ianya dilaksanakan melalui empat fasa mengikut zon.


Setakat ini, katanya lagi, projek tersebut telah dilaksanakan sehingga ke fasa tiga dan jumlah kos bagi ketiga-tiga fasa adalah bernilai lebih kurang RM119 juta bagi tempoh 2001 dan 2007.


Menurut beliau lagi, Masterplan yang memperolehi projek itu  telah melantik subkontraktor iaitu Syarikat Asiasoft Malaysia Sdn. Bhd. bagi melaksanakan sebahagian aplikasi sistem PRS di mana 70 peratus dari saham syarikat itu  daripadanya dimiliki oleh rakyat Malaysia dan bakinya 30% dimiliki oleh Syarikat Asiasoft (Singapore) Pte Ltd.


Selepas Ogos 2007, 100% saham milik Syarikat Asiasoft (Singapore) Pte. Ltd. telah diambil alih oleh syarikat Asiasoft Global Pte Ltd.


Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila Saifuddin juga mendedahkan keterlibatan Asiasoft jauh lebih lama dari itu apabila PRS 1, PRS 2 dan PRS 3 kesemua menggunakan perisian (software) Asiasoft.


Abu Seman tidak menafikan pendedahan Saifuddin yang menunjukkan PRS menggunakan perisian syarikat yang turut didominasi Zionis Israel itu.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.