Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

17 March, 2010

Pilihanraya PBT: SPR jangan terikat pendirian Najib


Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 17 Mac: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingatkan agar tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak dalam membuat keputusan berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disyorkan oleh kerajaan negeri, Pulau Pinang dan Selangor.


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof perlu membuktikan suruhanjaya itu benar-benar bebas termasuk tidak terpengaruh dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof perlu membuktikan bahawa SPR benar-benar bebas, tidak dipengaruhi oleh seorang Perdana Menteri,” jelasnya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Abdul Aziz semalam mengumumkan SPR akan membuat keputusan berhubung perkara itu minggu depan.

Katanya SPR perlu meneliti dari aspek Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum menyatakan pendirian.

“Sebelum keputusan dibuat (oleh SPR), eloklah kita (kerajaan negeri Pulau Pinang) berjumpa dengan SPR supaya suruhanjaya itu masih dilihat bebas,” jelas Guan Eng lagi.

Najib sebelum ini berkata, pilihanraya PBT tidak perlu dilaksanakan semula atas alasan akan mewujudkan banyak politiking.

Guan Eng ketika mengulas perkara itu berkata, beliau tidak bersetuju dangan alasan perdana menteri itu malah berpegang kepada apa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Perkara 113(4), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihanraya lain daripada Pilihan Raya Umum.

Berdasarkan peruntukan tersebut juga, kerajaan negeri Pulau Pinang berhak mengadakan pilihan raya untuk memilih ahli-ahli majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

“Sebagai sebuah kerajaan (negeri) yang sah, kita (Pulau Pinang) berhak memberi kuasa pada SPR untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan,” ujarnya.

Pilihan raya PBT mula diperkenalkan pada tahun 1956 di Majlis Perbandaran George Town manakala kali terakhir pilihanraya PBT diadakan adalah pada 1963.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.