Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

16 March, 2010

Ku Li tidak pernah tinggal Umno

Subky Latif  
SAYA terbaca satu tulisan yang mempertikai kebijaksaan Tengku Razaleigh Hamzah menyokong kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak dari Petronas. Tulisan itu  telah mempersoal Ku Li yang dikatakan pernah keluar UMNO bagi memimpin Parti Melayu Semangat 46.


Setahu saya Tengku Razaleigh tidak pernah meninggalkan UMNO. Sama seperti Tunku Abdul Rahman Putra yang tidak pernah meninggalkan UMNO. Walau pun Tunku tidak mati dalam UMNO tetapi Almarhum tidak meninggalkan UMNO.

Mungkin Tun Hussein Onn ada meninggalkan UMNO semasa bapanya Datuk Onn meninggalkan UMNO.

Apa yang berlaku UMNO yang dianggotai oleh Tengku Razaleigh dan Tunku Abdul Rahman itu telah diharamkan oleh mahkamah.

Tunku dan Tun Hussein segera membuat permohonan untuk menubuhkan semula UMNO tetapi telah ditolak oleh pejabat pendafataran. Sebaliknya Dr. Mahathir, Presiden UMNO ketika ia diharamkan telah mengemukakan kepada pejabat pendaftaran pembentukan UMNO (Baru) sebaik saja permohonan Tunku itu ditolak.

UMNO yang dicadangkan oleh Tunku itu adalah 100 peratus seperti UMNO yang diharamkan itu. Ada pun UMNO yang ditaja oleh Dr. Mahathir adalah kalimah (Baru) selepas perkataan UMNO.

UMNO (Baru) itu telah dirancang sebelum mahkamah mengharamkan UMNO dan sekalian penyokong tegar Ku Li dihalang menyertainya.

Sekalian penasihat guaman Dr. Mahathir dipercayai telah memaklumkan kepadanya bahawa saman yang dikemukakan oleh Team B UMNO yang dipimpin oleh Ku Li tidak memihak kepada Dr. Mahathir. Maka Dr. Mahathir pun merancang untuk membentuk UMNOnya sendiri dan Ku Li serta orang-orangnya tidak akan diterima menyertainya.

Saya temui Abdullah Badawi di satu tingkat tinggi menara yang menempatkan Ibu Pejabat Takaful Malaysia sekarang seminggu sebelum mahkamah membuat keputusan itu.

Saya bagi tau Tun Pak Lah, Team B akan menang dalam kes itu tetapi Dr. Mahathir akan membentuk UMNOnya dan sekalian yang bersama Ku Li dalam pertandingan menentang Mahathir sebelum itu tidak akan diterima.

Dolah Badawi tersentak dengan maklumat saya itu. Responsnya, ‘Kalau begitu payahlah.....’

Seminggu kemudian Hakim Haron Hashim bersetuju dengan hujah peguam Sri Ram yang mewakili UMNO Team A dan Dr. Mahathir mengharamkan UMNO.

Memang UMNO terbagi dua. Memang penyokong Ku Li disekat menyertai UMNO (Baru). Dolah Badawi antara sedikit penyokong Team B yang    dibenarkan menyertai UMNO Dr. Mahathir itu.

Mungkin ia disebabkan keberadaan Dolah dalam Team Ku Li itu tidak banyak disebabkan oleh faktor Ku Li, tetapi banyak didorong oleh penyertaan Tun Musa Hitam yang ketika itu jadi regu Ku Li. Walaupun Dolah dipecat dari menjadi Menteri Pertahanan, tetapi dia tidak dilihat memihak kepada Team B selepas kekalahan Ku Li dalam pemilihan Presiden UMNO sebelum itu.

Ketika UMNO (Baru) ditubuhkan, bukan sekadar Ku Li tidak boleh menyertai parti itu, malah sukar baginya mendaftarkan parti sendiri. Justeru itu Ku Li berkeliaran ke sana sini menggunakan pentas bersama PAS untuk menerangkan mesej perjuangannya.

Apa yang dapat dibuat oleh Ku Li ialah mendapatkan khidmat penyokongnya yang tidak dikenali mendaftarkan Parti Semangat 46. Pendaftar meluluskan pula pendaftarannya. Dalam perhimpunan pelancaran parti yang baru didaftarkan itu, bagi memilih pimpinannya baru Ku Li dan rakan-rakannya muncul menjadi pemimpin parti itu.

Datuk Dr. Rais Yatim tahu sangat akan kejadian itu.

Memanglah masa itu Tengku Razaleigh tidak boleh bertentang mata dengan Dr. Mahathir. Mereka tidak boleh bersama dan mereka tidak boleh cuba disamakan.

Dengan semua keterangan dan perkembangan itu tidak ada bukti mengatakan Ku Li pernah meninggalkan UMNO tetapi apa yang berlaku UMNO itu sudah terkubur pada masa itu.

Kesemua ahli UMNO yang dikatakan 1.2 juta pada itu sudah tidak berparti. Masing-masing berlumba untuk merebut hak atas harta pesaka UMNO yang tidak bertuan masa itu. Masing-masing cuba membuktikan mendapat sokongan lebih separuh dari keahlian keseluruhannya bagi membolehkan mewarisi segala peninggalan UMNO itu.

Adalah benar pada ketika itu Ku Li tidak dapat lagi berketuakan Dr. Mahathir tetapi pada ketika yang sama Dr. Mahathir sendiri tidak mahu Ku Li ada bersasma kumpulannya kerana kemenangan Dr. Mahathir ke atas Ku Li sangat kecil.

Kiranya UMNO itu tidak mati dan tidak berpecah, maka kemungkinan Ku Li bangun mencabarnya lagi selepas itu tidak ditolak dan dalam keadaan yang dilihat sama kuat itu, tidak mustahil Dr. Mahathir boleh dikalahkan pula.

Sebab Ku Li mahu dibuang jauh-jauh oleh Dr. Mahathir ialah supaya Dr. Mahathir bebas dari sebarang ancaman.

Ku Li hanya dibawa semula ke dalam UMNO setelah dipastikan peraturan UMNO begitu ketat, payah bagi sesiapa bagi mencabarnya. Dengan undi bonus untuk calon pimpinan UMNO sukar pimpinan yang ada digugat.

Walau pun Ku Li nampak sukar baginya menembusi kubu tebal Dr. Mahathir itu tetapi keadaan dan budaya duit yang diwarisi oleh S46 dari UMNO, payah bagi Ku Li untuk menampungnya, jalan terbuka bagi Ku Li untuk dilihat orang sentiasa setia kepada UMNO ialah dengan menyertainya semula.

Dengan semua penampilannya dalam UMNO yang baru itu tidak mengikat dirinya untuk menerima buta tuli  apa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO dari semasa ke semasa. Dia bebas menyatakan apa yang dirasanya baik untuk UMNO sekali pun ia tidak disukai ketua-ketua UMNO. Penyertaan yang begitu, payah bagi menuduhnya tidak setia kepada keputusan UMNO.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.