KOTA BHARU, 17 Mac: Ketika mengunjungi Kelantan anda bukan sekadar dapat membeli barangan berharga murah dan menikmati pelbagai jenis makanan, sebaliknya berpeluang mengikuti pengajian ilmu agama.
Pelancong berpeluang mempelajari ilmu agama termasuk di Pondok Pasir Tumbuh.
Bagi mereka yang datang pagi Jumaat peluang mengikuti kuliah agama disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bermula jam 9.30 pagi di Medan Ilmu, Jalan Datuk Pati.
Sejam sebelum itu kuliah agama disampaikan secara bergilir-gilir pengkuliah jemputan terutamanya pemimpin politik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Ngo Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, mulai tahun lepas kerajaan negeri memperkenalkan program melawat pondok sempena musim cuti persekolahan.
“Bermula cuti sekolah tahun lalu kerajaan negeri memberi peluang kepada pelancong mempelajari ilmu agama di pondok-pondok yang banyak terdapat di Kelantan,” katanya ketika meraikan rombongan pelawat dari Pulau Pinang, baru-baru ini.
Seramai 70 orang rombongan Dewan Pemuda PAS dan Nisa’ Pulau Pinang mengunjungi Kelantan baru-baru ini. Program itu dikenali ‘Jom Gi Kelate’ sempena Rehlah 2010.
Abdul Fattah berkata, pelancong berpeluang mencari ilmu agama dengan mengikuti kelas-kelas agama di beberapa pondok di negeri ini.
“Di tempat tuan-tuan mungkin tiada sistem pembelajaran begini, namun Insya-Allah di Kelantan banyak perkara dapat dimanfaatkan ketika berkunjung ke sini,” ujarnya.
Ketua rombongan terbabit, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, tujuan lawatan berkenaan untuk mendapatkan maklumat berhubung pendidikan Islam di Kelantan.
Sepanjang dua hari berada di Kelantan mereka mengunjungi Pondok Pasir Tumbuh dan pejabat Yayasan Islam Kelantan (Yik). |
0 comments:
Post a Comment