Oleh Markus Lim
20 MAC — Kuasa dan pengaruh sememangnya sukar untuk ditolak.
Lebih-lebih lagi sebagai seorang pemimpin negara dan parti, kuasa dan pengaruh yang dimiliki membolehkan pemimpin-pemimpin politik melakukan apa sahaja yang dilihat sesuai dan memanfaatkan kedudukannya.
Kuasa dan pengaruh menjanjikan prestij, status serta kemampuan untuk menikmati segala-galanya yang belum pernah dikecapi sebelum ini.
Justeru, keputusan mantan Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting awal minggu ini untuk keluar dari persaraan selepas 19 bulan menyepi dan kembali bersaing pada pemilihan parti untuk jawatan Presiden MCA pada 28 Mac depan bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Sebaliknya, tindakan tersebut hanya terus mengukuhkan pandangan sinis masyarakat umum di luar sana bahawa kebanyakan pemimpin MCA, kalaupun tidak semua nampaknya lebih berminat untuk mengutamakan kepentingan diri daripada kepentingan umum.
Hakikatnya, kuasa dan prestij amat sukar untuk dipisahkan daripada diri pemimpin politik. Seolah-olah ia sudah sebati dalam darah dan jiwa individu-individu yang bernama politikus.
Sememangnya, kepulangan Ka Ting ke persada politik MCA ‘amat’ dialu-alukan kerana penyertaan beliau untuk persaingan jawatan Presiden parti bukti kukuh bahawa semangat demokrasi masih subur dalam MCA dan tidaklah seburuk yang digembar-gemburkan oleh segelintir pihak. Ia sekaligus menidakkan imej pemimpin-pemimpin tertinggi parti adalah pemimpin diktator.
Malah ketika ditemuramah dalam Program Soal-Jawab di TV3 tempoh hari, Presiden MCA Dato’ Sri Ong Tee Keat ada menyatakan bahawa hak Ka Ting untuk bertanding tidak boleh dinafikan. Kata Tee Keat lagi, persaingan untuk merebut jawatan tertinggi dalam parti tidak akan mencetuskan perpecahan jikalau calon-calon berkenaan, bertanding secara beretika dan tidak mencemuh calon-calon lain.
Pada dasarnya tidak salah untuk Ka Ting kembali bertanding kerana menurut perlembagaan parti, setiap ahli mempunyai hak untuk berbuat demikian. Dalam semangat demokrasi, para perwakilan bebas untuk mengundi calon-calon yang dirasakan mereka layak untuk memimpin MCA.
Mahu tidak mahu, keputusan Ka Ting itu dijangka mengubah dinamika dan hala tuju pemilihan parti, sama secara langsung atau tidak langsung. Puak-puak bertelagah kini yang telah berpecah kepada tiga fraksi dilihat akan melakukan realignment semula bagi membolehkan mereka bersaing dalam keadaan yang memihak kepada mereka.
Berita mengenai kepulangan Ka Ting sudah tentu menggembirakan kalangan pemyokong, pengikut dan pemimpin setia yang menyifatkan beliau dijulang sebagai hero dan penyelamat kepada parti. Kembalinya Ka Ting ke MCA, kalangan pengikut dan penyokong setia sudah tentu boleh memasang impian untuk melobi jawatan dalam parti mahupun kerajaan.
Namun disebalik kegembiraan di atas kepulangan Ka Ting ke MCA, keputusan Mantan Presiden MCA untuk bertanding jawatan Presiden pada saat-saat yang kritikal ini mengundang pelbagai tanda-tanya.
‘Timing’ kemasukan semula beliau ke MCA untuk menyelamatkan parti bagaimanapun dilihat terlalu mendadak oleh segelintir pihak. Keputusan untuk bertanding jawatan tertinggi parti dibuat setelah mendapat sokongan daripada lebih 40 divisyen parti (yakni lebih 1/4 sokongan sahaja).
Persoalannya, mengapa sekarang? Mengapa Ka Ting? Di manakah beliau selama ini ketika krisis dalaman parti mula meletus bila mana khidmat nasihat dan tunjuk ajar diperlukan? Realitinya, jika mahu keluar dari persaraan untuk menyelamatkan parti, mengapa beliau tidak keluar jauh lebih awal dan tampil membantu?
Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek beberapa hari lalu dalam satu temuramah dengan media tempatan sempat menempelak Ka Ting dan mempersoalkan timing pengumuman niat mantan Presiden MCA itu. Soi Lek antara lain berkata:
“Beliau (Ka Ting) sudah menjauhkan diri daripada politik dan hal-ehwal parti dan hanya mendiamkan diri sejak sekian lama. Secara tiba-tiba, Ka Ting rasa dirinya boleh stabilkan semula parti dengan bergiat aktif semula dalam parti.’’
Jika dinilai secara teliti kenyataan Soi Lek, hujah beliau itu ada asasnya. Maka berpandukan kepada premis tadi, mana-mana pemimpin MCA baik yang lama dan baru selepas ini boleh kembali bertanding atas dasar menyelamatkan parti.
Namun penting untuk mereka yang mahu kembali bertanding, mereka harus ambil maklum mengenai senario semasa politik negara.Ternyata iklim politik Malaysia kini sudah berubah, Masyarakat umumnya sekarang amat dahagakan pembaharuan —satu pembaharuan yang boleh mengeluarkan parti politik seperti MCA untuk keluar dari kepompong lama yang terlalu selesa dengan amalan politik kuno. Integriti, kredibiliti serta ketelusan parti MCA kini menjadi pertaruhan.
Keputusan Ka Ting untuk bertanding jawatan Presiden MCA sesungguhnya telah menghantar satu mesej yang kurang tepat kepada masyarakat Cina dan rakyat Malaysia amnya. Ia seolah-olah menunjukkan MCA kini ketandusan barisan pemimpin pelapis yang boleh diharapkan untuk menggalas cabaran menghadapi Pilihan Raya Umum 13.
Ia turut membayangkan secara sinis bahawa parti berkenaan sudah gagal dalam melatih selain mengasah bakat-bakat terpendam yang berpotensi untuk dijadikan sebagai pemimpin satu hari nanti. Malah sudah wujud suara-suara sumbang dalam kalangan rakyat marhaen ketika ini yang tertanya-tanya rasional disebalik kewajaran seorang bekas pemimpin utama kembali bertanding.
Bukankah satu ketika dahulu mantan Presiden MCA itu pernah berjanji untuk tidak campurtangan dan terus bersara dari arena politik kepartian? Bukankah beliau juga pernah menyatakan keyakinannya terhadap barisan kepemimpinan baru (OTK dan CSL) untuk mentadbir parti?
Kita turut mendengar pemimpin-pemimpin tertinggi parti yang bertanding pemilihan selalu menyerahkan nasib mereka kepada perwakilan. Perwakilan sering kali dipuji sebagai pihak bijak yang mampu memilih dengan baik. Tetapi apabila keputusan untuk bertanding semula, ia sebenarnya boleh ditafsirkan sebagai ketidakyakinan terhadap pilihan perwakilan.
Ini bukan soal Ong Tee Keat, Ong Ka Ting atau Chua Soi Lek menang pada pemilihan parti. Hujah di sini ialah berkaitan dengan isu integriti dan kredibiliti parti MCA di mata masyarakat umum serta parti-parti komponen BN yang lain.
Kumpulan pemimpin MCA yang selama ini menentang kepemimpinan Tee Keat pernah menyatakan tekad mereka untuk mengembalikan integriti dan kredibiliti MCA. Sebuah pasukan yang diberi nama MCA Integrity Restoring Taskforce (MIRT) telah ditubuhkan bertujuan untuk mengembalikan integriti parti. Adakah dengan memujuk Ka Ting kembali bertanding itu satu usaha yang menjurus kepada mengembalikan kedua-dua elemen yang disebutkan tadi?
Belum pernah dalam sejarah mana-mana parti politik di negara ini yang menyaksikan Mantan Presidennya keluar dari persaraan dan bertanding untuk jawatan tertinggi yang pernah dilepaskannya. MCA kini menjadi parti politik pertama untuk memiliki rekod ini, satu rekod yang mungkin tidak harus dibanggakan.
Apa yang dikhuatiri sekarang adalah keputusan untuk kembali bertanding pada pemilihan parti akan mencetuskan satu precedent yang tidak baik dalam kalangan parti-parti komponen BN lain. Mungkinkah trend ini juga akan kelihatan selepas ini di UMNO, MIC, Gerakan, PPP dan parti-parti lain?
Bayangkan apa akan terjadi sekiranya trend ini berlaku?
Pada ketika MCA dan BN kini dilanda masalah kredibiliti di mata rakyat, sebarang usaha untuk memenangkan kembali calon yang sudah bersara akan menyukarkan lagi usaha murni pihak kerajaan yang serius untuk memperkasakan elemen integriti, kredibiliti dan ketelusan dalam sistem politik dan kerajaan.
Mungkin kalangan pemimpin MCA tersebut tidak sedar apa yang sedang berlaku tetapi majoriti rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina sedang memerhatikan precedent yang dicetuskan ini dengan penuh perhatian. Mereka mungkin tidak bersuara sekarang tetapi apa yang dikhuatiri suara-suara tersebut akan diterjemahkan dalam PRU 13.
Walau apapun terjadi, pemilihan parti MCA pada 28 Mac ini sudah pasti menjanjikan persaingan sengit — satu persaingan yang akan menentukan bangkitnya atau berkuburnya MCA di persada politik negara. Adalah diharapkan semua calon-calon yang bertanding akan bersaing secara sihat dan atas semangat kekeluargaan.
Perwakilan mempunyai pilihan calon yang pelbagai- semuanya mempunyai kekuatan dan keupayaan masing-masing. Perwakilan perlulah memilih calon yang benar-benar berupaya memperkasakan MCA ke era yang lebih gemilang seiring dengan senario politik semasa. Ketepikanlah sentimen berpuak-puak dan mengundi berdasarkan kepada conscience.
Peluang dan kesempatan untuk merobah serta mentransformasikan MCA kini terletak di hadapan mata pemimpin dan perwakilan parti. Manfaatkanlah peluang keemasan tersebut dengan sebaik-baiknya.
Titik-tolak dan masa hadapan MCA bermula dari saat ini.
0 comments:
Post a Comment