Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

19 March, 2010

Konspirasi jatuhkan MB: Nazree sedia temui PAS jika...


KUALA LUMPUR, 18 Mac — Bekas Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal tahun ini mengambil sikap berhati-hati berhubung dakwaan beliau mempunyai maklumat kononnya wujud konspirasi membabitkan pegawai kanan Presiden PAS untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor.

“Saya tidak boleh sahkan buat masa ini,” kata Nazree kepada The Malaysian Insider hari ini apabila ditanya sama ada beliau benar-benar mempunyai maklumat kononnya wujud konspirasi mahu menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Bagaimanapun kata Nazree, beliau bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak jika usaha itu difikirkan boleh membawa kebaikan kepada Pakatan Rakyat (PR) yang kini dianggotai oleh PAS, PKR dan DAP.
“Itu saya tengok dulu apa dakwaan (dalam blog itu)... kalau maklumat saya boleh membawa kebaikan, saya sedia untuk memberi keterangan, saya sedia melakukan apa sahaja.
“Bagaimanapun saya tidak mahu kenyataan saya dimanipulasikan sehingga menjejaskan imej parti dan Pakatan,” kata beliau dengan merujuk kepada nasib dialami PKR sekarang, yang telah kehilangan empat Ahli Parlimen selain menjadi serangan bertubi-tubi Umno-BN sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu Nazree menambah, beliau perlu mengadakan perbincangan dengan pucuk kepimpinan PKR sebelum mengambil langkah seterusnya termasuk keperluan memberi keterangan kepada pihak-pihak terbabit.
Kata Nazree, beliau tidak mahu kenyataan atau maklumat yang diberikan menjejaskan kestabilan PR kelak.
Bagaimanapun Nazree tidak menafikan dakwaan konspirasi itu merujuk kepada perkembangan sebelum beliau menyertai PKR.
Beliau mengulas tulisan terbaru blogger ‘Tulang Besi’ bahawa Nazree secara sukarela bersedia menawarkan diri untuk memberi keterangan kepada ibu pejabat PAS bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan Khalid yang mengetuai kerajaan negeri Selangor pimpinan PR.
“Mengikut kawan saya, kisah ini tengah heboh di kalangan mereka yang rapat dengan Pejabat (Setiausaha) Agung PAS Pusat.
“Mengikut kawan saya ini, Nazree (bekas pengerusi) Gerak telah sanggup untuk menghadap dewan harian PAS Pusat serta mendedahkan segala dokumen berkaitan dengan keterlibatan ketiga-tiga tokoh ini.
“Si Nazree tu secara sukarela menawarkan diri untuk memberi keterangan. Tak payah panggil pun,” kata blogger itu yang nama sebenarnya Abdul Rahman Talib.
Blogger itu menyenaraikan tiga nama termasuk Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar.
Ini merupakan dakwaan terbaru blogger itu selepas tiga nama pemimpin kanan dinyatakan dalam tulisannya tahun lalu.
Perkara ini didedahkan dua hari selepas blogger itu mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden Salahuddin Ayub berhubung aduannya tentang tindakan pemimpin-pemimpin PAS menyokong idea kerajaan perpaduan Umno-BN.
Ekoran pertemuan itu kata Abdul Rahman, aduannya akan dikemukakan kepada dewan harian dan jawatankuasa pusat PAS untuk pertimbangan sama ada boleh disiasat jawatankuasa disiplin ataupun sebaliknya.
Nazree yang menyertai PKR 24 Jan lalu pernah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dan juga penggantinya Khalid.
Khalid menafikan dakwaan Nazree dan telah memfailkan saman terhadapnya yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ke atas beliau.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.