Forum keadilan untuk adik Aminulrasyid (Bahagian Kedua, tamat)
Segala-galanya bermula dari "kesilapan ringan".
Keluar malam, mengambil kereta kakak dan memandu tanpa lesen, bergeser dengan kereta lain...hampir setiap kesilapan itu pernah dilakukan oleh orang biasa. Namun, ia berakhir dengan sesuatu perkara yang serius, apabila tembakan bertalu-talu dilepaskan oleh polis ke arah seorang budak yang usianya belum mencecah 15 tahun.
"You are dealing with a 14-year-old frightened boy, you are not dealing with Bruce Willis in the Die Hard movie! (Anda berdepan dengan seorang budak berusia 14 tahun yang berada dalam ketakutan, anda bukan berdepan dengan Bruce Willis dalam filem Die Hard!)"
Demikianlah luahan daripada peguam keluarga arwah Aminulrasyid, N.Surendren ketika berucap dalam forum keadilan untuk adik Aminulrasyid, bertemakan "Bersatu pertahan Hak Asasi Rakyat", anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.
Selain N.Surendren, ahli panel yang diundang termasuklah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Wong Chin Huat dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Raja Badrol Hisham. Moderator forum ini ialah Presiden PKPIM, Mohammad Faisal Abd Aziz. Forum ini dimulakan dengan bacaan puisi berjudul "Jeritan Senja September" oleh sasterawan negara, A. Samad Said (gambar atas, kiri).
Bagai penggambaran filem...
Namun, apa yang berlaku pada awal pagi 26 April cukup mendebarkan, seolah-olah penggambaran filem, sebagaimana yang disifatkan oleh salah seorang saksi kepada N.Surendren. Tembakan dilepaskan bertubi-tubi oleh polis ke arah kereta arwah Aminulrasyid, semasa kejar-mengejar, tanpa amaran oleh polis melalui pembesar suara.
Menurut N.Surendren (gambar kanan), seorang lagi saksi kejadian mendakwa dirinya mendengar bunyi tembakan, dan disusuli bunyi hentaman yang kuat kemudiannya (kereta arwah melanggar tembok), lantas menyangkal dakwaan polis bahawa arwah Aminulrasyid cuba merempuh polis dengan mengundur keretanya ke arah polis. Seandainya mengikut versi polis, maka saksi akan mendengar bunyi hentaman dan kemudian disusuli tembakan.
Malah, peguam yang berpengalaman dalam pembelaan mangsa keganasan polis ini berkata, setiap kali berlakunya kejadian sebegini, pihak polis atau kerajaan akan mengeluarkan kenyataan yang sama (same standard statement), menuduh bahawa senjata seperti parang atau kapak ditemui dalam kereta mangsa tembakan. Beliau juga menyelar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abd Jalil yang cuba mengalihkan kesalahan kepada keluarga kerana tuduhan "membiarkan anak keluar lewat malam".
Turut hadir semalam, mangsa keganasan polis, Norizan bt Salleh (baris ketiga dari depan, kedua dari kanan, gambar kiri)yang terkena lima das tembakan polis pada awal pagi 30 Oktober 2009. Tuduhan yang hampir sama turut dilemparkan terhadap ibu tunggal ini, tetapi tiada pendakwaan ke mahkamah setakat ini. Bahkan, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein pernah berjanji untuk menyiasat aduan Norizan, namun belum memperlihatkan hasil siasatannya sehingga hari ini.
Tragedi yang menunggu untuk berlaku
N.Surendren tidak terkejut dengan kejadian arwah Aminulrasyid, apabila memulakan ucapan dengan berkata, "Kes Aminulrasyid ini, adalah satu tragedi yang hanya menunggu masanya (untuk berlaku)."
Beliau menjelaskan, peguam hak asasi manusia, NGO, pembangkang telah berjuang bertahun-tahun, malah berdekad-dekad untuk memastikan pihak polis tidak menyalahkan kuasa ketika menggunakan senjata api, tetapi tidak diendahkan.
N.Surendren mengungkit satu peristiwa yang berlaku sekitar pertengahan tahun 1990-an, apabila bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addruse tegas mengkritik penembakan sebegitu. Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad (gambar kanan) menyatakan kepada media, "Apakah perasaan Raja Aziz jikalau penjenayah mengajukan pistol pada kepalanya?"
N.Surendren berkata, "Soalnya bukan sama ada penjenayah meletakkan pistol pada kepalanya, tetapi soalnya jika ada penjenayah di sana, apakah cara pihak polis perlu (gunakan) untuk menangkap mereka? Adakah dengan cara menembak sewenang-wenangnya? Bermakna kita tak perlu mahkamah, tak perlu peguam bela, tak perlu DPP, tak perlu hakim...terus sahaja menghukum?"
Keresahan ini turut dikongsi bersama oleh Raja Badrol Hisham yang memperingatkan, "Seorang penjenayah pun ada hak untuk dilindungi dalam perlembagaan. Hanya undang-undang yang boleh mengambil hak itu, termasuk hak nyawa. Hak nyawa (yang dirampas) dalam undang-undang ialah gantung sampai mati, kalau didapati salah. Tetapi apa yang berlaku di sini ialah polis bertindak sebagai hakim."
"Mereka (polis) memutuskan siapa hidup siapa mati," tambah beliau.
Institusi berperangai suka menyeksa
Ketika merumuskan kes keganasan negara, yang berlaku sama ada dalam bentuk pembunuhan di luar hukum atau kematian dalam tahanan, yang mana mangsanya merentasi kaum, Wong Chin Huat menuding jarinya ke arah "institusi yang berperangai suka menyeksa".
"Kalau arwah Aminulrasyid seorang berketurunan India, maka saudara Uthayakumar (pemimpin Hindraf, Setiausaha Agung Parti Hak Asasi Manusia) akan berkata ini adalah institutional racism, kerana 'polis suka tembak orang India'. Tetapi arwah Aminulrasyid bukan orang India, puan Norizan bukan orang India, polis tembak juga, kan?"
"Saya kira itu institutional sadism, perangai suka menyeksa yang sudah bersifat institutional," katanya. Malah, Wong Chin Huat (gambar kiri) menganggap masyarakat Malaysia sebenarnya bermasalah, kerana mempunyai budaya menerima keganasan - menolak hanya seksaan terhadap warga baik, tetapi membutakan diri apabila keganasan berlaku terhadap penjenayah.
Wong Chin Huat kemudiannya mengajak hadirin untuk mengkaji masalah institusi polis, "Masyarakat kita tak kurang orangnya, yang setiap kali institusi negara dikecam kerana melanggar hak asasi manusia, ada orang yang kata, ini adalah ancaman kepada institusi Melayu, kerana institusi polis itu adalah majoritinya Melayu. Institusi kerajaan itu Melayu dan sebagainya..."
"Saya rasa adalah penting bagi kita untuk melihat bahawa kalau kita ada satu institusi yang berperangai suka menyeksa, maka tak kira apa warna kulit kita, apa kepercayaan kita, kita mempunyai peluang yang sama untuk menjadi mangsa," simpulnya.
Siasatan bermula selepas setiap tembakan
Menurut Wong Chin Huat, mereka yang mati dalam tahanan polis atau penjara dari tahun 2002 hingga 2009, mencatat angka 1,704 orang. Malah, statistik juga menunjukkan United Kingdom yang mempunyai populasi hampir satu kali ganda lebih daripada Malaysia, mencatat angka dua orang ditembak mati, berbanding dengan Malaysia, 39 orang yang ditembak mati (menurut rekod NGO), pada tahun 2009. Lebih mengejutkan, tiada rekod tembakan polis yang menyebabkan kematian pada tahun 2007 dan 2008 di UK.
Keadaan ini berlaku kerana setiap tembakan yang dilepaskan oleh polis di UK, akan disusuli dengan penyiasatan secara automatik, tidak kira tembakan tersebut salah atau betul dari sisi undang-undang. Untuk Wong Chin Huat, kita memerlukan satu mekanisme pemantauan dalam institusi polis, misalnya IPCMC untuk memastikan agar arwah Aminulrasyid menjadi mangsa terakhir.
Pengasingan kuasa
Untuk Wong Chin Huat, kuasa tunggal ke atas institusi polis yang dipusatkan kepada kerajaan persekutuan adalah antara faktor yang menjurus kepada masalah institusi polis hari ini. Sambil mengakui masalah tekanan yang dihadapi polis, beliau menegaskan bahawa kritikan terhadap institusi polis tidak harus dilihat sebagai memusuhi polis secara individu.
Malah, Raja Badrol Hisham (gambar kiri) juga bersetuju dengan pandangan untuk membantu agar institusi polis diperbaiki, setelah berlakunya tragedi hitam sebegini. "Di negeri lain, mereka menggunakan kesilapan atau kesalahan untuk memperbaiki institusi tersebut. Tetapi di Malaysia, kesilapan satu-satu institusi itu cuba diselindungi."
Wong Chin Huat mengupas dari rangka politik, memperlihatkan bagaimana dengan pemusatan kuasa pada kerajaan persekutuan, institusi polis menjadi perkakas politik kepada kerajaan persekutuan. Gambarannya cukup jelas apabila tenaga polis dikerah untuk menjadi perisik (special branch), dan menghalang "perhimpunan haram". Sebaliknya, salah laku polis terus dilindungi kerajaan kerana berkhidmat untuk kepentingan politiknya.
Justeru itu, beliau menyarankan agar kuasa terhadap polis diasingkan (decentralized) antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Dengan kata lain, polis akan mempunyai dua "bos", satu di Putrajaya, dan satu lagi di ibu negeri masing-masing. Keadaaan ini akan menjurus kepada keadaan di mana kerajaan negeri perlu mengambil perhatian, seandainya kerajaan persekutuan enggan mengendahkan aduan rakyat terhadap polis. |
0 comments:
Post a Comment