Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

03 May, 2010

Ibrahim Ali kena minta maaf kepada semua raja, kata PAS


Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, 3 Mei — Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya memohon ampun kepada semua raja negara ini di sebalik isu penggunaan masjid untuk berpolitik.

Gesaan itu sebagai reaksinya terhadap kenyataan Ibrahim, Presiden Perkasa, memohon ampun kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas kemurkaan baginda terhadap Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan mengingkari larangan menggunakan masjid sebagai gelanggang politik.
“Pada pandangan saya tok guru sebenarnya tidak menyanggah titah tuanku Sultan Selangor, dia (Nik Aziz) cuma menyatakan pandangan dari sudut agama, yakni makna Islam dan politik tidak boleh dipisahkan.
“Sememangnya kita tidak boleh mengehadkan perbincangan di masjid itu hanya dalam aspek agama yang sempit kerana politik itu sendiri adalah sebahagian daripada Islam.
“Lagipun tok guru bercakap dalam konteks umum, tidak merujuk kepada larangan sultan, maka pada pandangan saya dakwaan kononnya tok guru mengingkari perintah sultan itu tidak berbangkit,” katanya ketika ditemui di surau Nur Al-Muttaqin, di sini.
Mengulas lanjut tindakan Ibrahim yang mendakwa kononnya sebagai mewakili rakyat Kelantan memohon ampun kepada Sultan Selangor itu dalam nada yang sinis Mohd Amar mempersoalkan integriti Ibrahim dalam menghormati institusi raja-raja Melayu.
“Dia (Ibrahim) sepatutnya kena minta maaf kepada semua raja atau sultan kerana dialah antara orang yang kuat mengkritik raja-raja Melayu.
“Selain mendedahkan apa yang disebut sebagai keaiban raja-raja Melayu dalam ucapan dia di Parlimen semasa Dr Mahathir pinda perlembagaan dulu.
“Rekod itu masih kekal lagi di Parlimen. Adakah dia pernah minta maaf di atas keceluparan dia kepada raja-raja dulu itu?
“Mungkin dia tidak sedar bahawa tahi yang dia berak dulu sampai ke hari ini masih lagi berbau busuk,” tambahnya.
Ibrahim dilapor bertindak demikian selepas melihat tidak ada sebarang tindakan permohonan ampun dilakukan Nik Aziz.
Sementara itu ketika menyentuh pendedahan blogger Kickdefella mengenai keterlibatan anggota PAS dalam menyalurkan peruntukan RM4 juta untuk operasi gerak saraf bagi memburukkan imej mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi beliau mencabar penulis berkenaan mendedahkan perkara itu, beliau berkata, “kalau dia kata nak dedah, saya pun nak tahu juga.”
“Sepanjang penglibatan saya dengan pimpinan PAS negeri, peruntukan RM4 juta ini tak pernah dibincang dan parti tidak pernah buat keputusan.
“Jadi saya pun tertanya juga, hairan bila dia (Kikdefella) kata PAS menyediakan peruntukan itu,” katanya.
Kelmarin Kickdefella membuat kenyataan tidak teragak-agak akan mendedahkan perkara itu bila sampai masanya nanti.
Ditanya sama ada isu tersebut akan dibawa ke mesyuarat Dewan Harian PAS, Mohd Amar berkata ia bergantung pada keputusan semasa.
“Kerajaan Negeri tidak banyak membincangkan isu-isu yang dibawa oleh blogger tersebut memandangkan tulisannya bersifat dakwaan yang tidak mempunyai asas kukuh.
“Sebab itu kita tak respons, sebaliknya secara peribadi bagi saya Kickdefella ini seorang yang kecewa,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.