Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

11 March, 2010

Tarik balik rang undang-undang GST - Mahfuz


Dzulfikar Mashoor   
SHAH ALAM, 11 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) akan membawa usul menuntut kerajaan menarik balik rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) daripada dibaca untuk kali yang kedua di Dewan Rakyat pada 16 Mac ini.

Ini kerana, katanya mengambil kira realiti beban yang bakal ditanggung oleh konsumer di tanah air apabila rang undang-undang itu dilaksanakan.
“Oleh itu, saya menuntut kerajaan pada 16 Mac ini akan membawa usul di sidang Parlimen untuk menarik balik rang undang-undang GST,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Sehubungan itu, beliau menganggap pendirian Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) meminta kerajaan menangguhkan hasrat melaksanakan GST sebagai ‘undi tidak percaya’ pada polisi percukaian itu.
“Tuntutan FMM itu boleh disifatkan sebagai undi tidak percaya oleh ‘masyarakat perniaga’ terhadap kerajaan BN (di bawah) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri),” jelas beliau ketika menghubungi Harakahdaily pagi tadi.
Menurut Mahfuz, sekiranya pengusaha kilang sendiri secara terbuka menolak cukai tersebut, maka ‘masyarakat konsumer’ lebih-lebih lagilah menolak cukai yang nyata menambahkan beban hidup rakyat terbanyak di Malaysia.
Penolakan oleh ‘masyarakat peniaga’ dan ‘masyarakat konsumer’ terhadap cukai itu, mungkin disebabkan mereka tidak percaya dengan tahap integriti yang ada pada kepemimpinan Najib hatta kerajaan sendiri.
Sehubungan itu, beliau mengulangi desakannya sebelum ini, iaitu menggesa kerajaan membatalkan niat untuk membaca rang undang-undang berkaitan GST untuk kali kedua di Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 15 Mac depan.
Mewakili PAS serta Ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat, beliau turut menyatakan sokongan padu terhadap pendirian serta inisiatif yang disuarakan oleh FMM.
Bagi beliau, pendirian FMM itu adalah selari dengan ketetapan yang dibuat di majlis meja bulat Lajnah Pengguna PAS Pusat sebelum ini.
Pun begitu, Mahfuz menegaskan bahawa usaha mendesak kerajaan menangguhkan penguatkuasaan GST tersebut bukanlah disebabkan sistem cukai tersebut dinilai tidak adil.
Tegasnya lagi, pendirian Majlis Pakatan Rakyat menolak GST juga bukanlah disebabkan bukanlah disebabkan sistem cukai tersebut dianggap tidak saksama, adil dan menguntungkan rakyat.
Sebaliknya, menurut Mahfuz, desakan tersebut ekoran PAS serta Pakatan Rakyat melihat kerajaan gagal dalam menguruskan masalah pengurusan kewangan negara sehingga berleluasanya budaya pembaziran dalam perbelanjaan sektor perkhidmatan, rasuah, ketirisan dan amalan kronisme yang membabitkan beberapa pusat janakuasa bebas (IPP) serta syarikat konsesi lebuh raya.
Menyedari hakikat itu, kata Mahfuz lagi, sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang menggantikan Umno memerintah tanah air, beliau mencadangkan tender terbuka dalam jual beli permit import (AP) kenderaan.
Dengan berbuat demikian, beliau malahirkan rasa yakin bahawa kerajaan boleh mencapai pendapatan yang lebih tinggi daripada konsumerisme rakyat, sebelum membuat perhitungan akhir untuk melaksanakan GST atau tidak.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik kaedah beberapa pemimpin kerajaan memperbodohkan rakyat dengan alasan yang dangkal, iaitu pendirian Malaysia mahu melaksanakan GST kerana mengikut sistem percukaian kebanyakan negara-negara maju.
Sedangkan, kata Mahfuz, kerajaan tidak pula menjelaskan bahawa pendapatan di negara-negara maju terbabit sebenarnya jauh lebih tinggi dan lumayan, jika dibandingkan dengan pendapatan kebanyakan rakyat di Malaysia.
Tambahnya lagi, daripada 12 juta pekerja di Malaysia, hanya 15 peratus sahaja yang mencapai kadar pendapatan yang melayakkan mereka untuk dikenakan cukai pendapatan sebagaimana pendapatan pekerja di negara-negara maju.
Di samping itu, kata Mahfuz, daripada 28 juta penduduk Malaysia, hanya 6.4 peratus sahaja diketegorikan sebagai konsumer yang layak dikenakan cukai jika diukur pada tahap pendapatan perkapita seperti di negara-negara maju.
Manakala, 93.6 peratus penduduk Malaysia yang lain tidak mempunyai pendapatan pada paras yang memerlukan mereka membayar cukai pendapatan seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju.
Dengan erti kata yang lebih mudah, menurut Mahfuz, jika GST dilaksanakan di Malaysia, bermakna 93.6 peratus rakyat yang sepatutnya tidak layak dikenakan cukai kerana pendapatan rendah, akan dibebankan dengan cukai GST.
Semalam, Ketua Unit Tugas GST FMM, Datuk Lee Kim Auw turut menyarankan kerajaan menunda hasrat melaksanakan GST sehingga pendapatan rakyat terbanyak rata-ratanya lebih tinggi dari realiti pendapatan rakyat tempatan sekarang.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.