Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

10 March, 2010

Selangor peruntuk RM56 juta untuk laksana program MES


Harakahdaily   
SABAB BERNAM, 10 Mac: Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM56 juta bagi pelaksanaan program “Merakyatkan Ekonomi Selangor” (MES) fasa 1 yang bermula tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Khalid Ibrahim berkata, peruntukan itu disediakan untuk membiayai tujuh program teras di bawah MES ini.

Khalid berkata demikian ketika berucap di majlis pertemuan beliau dengan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daerah ini baru-baru ini.

Tujuh projek itu adalah Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas),  Program Bekalan Air Percuma sebanyak 20 meter padu, Program Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mesra Usia Emas, Program Meningkatkan Hasil Batuan dan Mineral, program Pusat Khidmat Krisis Sehenti dan Program Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang.

Menurut Khalid, untuk Tawas,  Pada tahun 2009, seramai 11,858 orang anak kelahiran negeri Selangor menerima RM100 setiap seorang untuk program tersebut, yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM13.5juta.

Kerajaan negeri, katanya, amat prihatin terhadap keperluan pendidikan awal kanak-kanak kerana mereka merupakan tonggak pembangunan modal insan bagi negeri tercinta ini.

Kerajaan negeri juga turut memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan taraf institusi taska di Selangor melalui latihan dan bimbingan kepada pengusaha dan pengasuh taska, beritahu beliau.

Untuk Program Bekalan Air Percuma sebanyak 20 meter padu kepada semua meter individu pula, Khalid berkata, bantuan ini ternyata dapat membantu mengurangkan beban kewangan rakyat sebanyak RM10.40 setiap bulan dalam perbelanjaan utiliti yang semakin meningkat.

Hitungan perbelanjaan yang ditanggung kerajaan negeri berjumlah RM9.8 juta sebulan, katanya.

"Oleh itu, saya menyeru agar rakyat Selangor menghargai dan menggunakan air dengan cermat di rumah dan pejabat kerana inilah sumber alam yang tidak ternilai daripada Allah kepada kita," katanya.

Kerajaan negeri juga, katanya, memberikan hadiah sebanyak RM1,000 kepada anak Selangor yang mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Program melalui program Hadiah Anak Masuk Universiti.

Bantuan ini bagi membantu ibu bapa miskin menampung keperluan kewangan semasa pelajar mendaftar di IPT tersebut.

Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pula dilancarkan bagi membantu mengurangkan beban kewangan waris warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Selangor.

Sebanyak RM2,500 disumbangkan oleh Kerajaan Negeri kepada setiap orang yang mendaftar dan layak menerima bantuan.
Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri  membelanjakan RM21.6j dan disampaikan kepada 9,778 waris, beritahu beliau.

"Skim Mesra Usia Emas ini bakal diteruskan untuk peringkat seterusnya dengan pengenalan kad keahlian pelbagai guna kepada warga emas dan OKU yang berdaftar untuk mendapatkan kemudahan manfaat kesihatan, makanan dan diskaun tertentu," beritahu beliau lagi.

Kerajaan juga, katanya, menjalankan program meningkatkan hasil batuan dan mineral. Peningkatan pendapatan daripada sumber alam ini, seperti pasir, dapat disalurkan semula kepada seluruh rakyat Selangor, ujar beliau.

(15) Keenam, program Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC).  Sehingga kini juga, sebanyak enam pusat Khidmat Krisis Sehenti ditubuhkan di enam hospital di seluruh Selangor bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan rawatan.

Pusat ini bukan sahaja memberi bantuan kepada mangsa tetapi juga memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, bantuan kepada rumah pelindungan wanita dan kaunseling.

Melalui Program Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang pula, sumbangan ditawarkan kepada anak-anak untuk menyambung pelajaran dalam kursus kemahiran teknikal di INPENS.

Setakat ini, seramai 130 orang pelajar sedang mengikuti kursus tersebut dan diharap mereka dapat membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan apabila mendapat pekerjaan kelak, tambah beliau.

Menurut Khalid, program dan aktiviti serta insentif dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor atau “MES” fasa 2 dan fasa 3 bakal diteruskan pada tahun 2010 ini.

Pada tahun 2009 agenda MES fasa 2 memberi insentif kepada golongan pekerja awam.

"Wanita pekerja awam yang bersalin diberi suti 90 hari. Suami yang isterinya bersalin diberi cuti 14 hari manakala isteri yang kematian suami diberi cuti sebulan. Kerajaan Persekutuan dilaporkan kelmarin baru menimbang untuk memberi kelulusan cuti bersalin 90 hari," tambah beliau.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.