Oleh: Lim Hong Siang
"Itu berbohong namanya!..." Akhirnya, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bersuara setelah sekian lama mendiamkan diri, melihat kerenah Zulkifli Noordin sejak kebelakangan ini.

Saifuddin Nasution menyandang jawatan Setiausaha Agung PKR secara rasminya mulai 1 Februari 2010, menggantikan Salehuddin Hashim yang meletak jawatan dan melangkah keluar parti. Beliau berkata sedemikian ketika mengulas isu Zulkifli Noordin dalam satu wawancara bersama MerdekaReview di ibu pejabat PKR, hari ini.
"Sungguh memalukan!"
Mengimbas kronologi kes ini, Saifuddin berkata, beliau selaku Setiausaha Agung telah menghantar surat kepada Zulkifli pada 1 Februari tahun ini, disusuli surat daripada Lembaga Disiplin PKR pada 8 Februari. Zulkifli diminta untuk menghadap Lembaga Disiplin pada 18 Februari, dan membalas surat ini dalam lima hari.

"Dalam masa lima hari tak jawab surat. Tapi muncul pada 17 haribulan, sehari sebelum berlepas ke Korea. Kemudian, (Zulkifli berkata) 'saya pergi ke Korea kerana dihantar oleh parti. Parti tahu saya tak ada dalam negara tapi parti tetapkan tarikh'..."
Saifuddin bersambung, "Itu berbohong namanya! It's a great lie! Great lie bukannya seorang good muslim. Parti tidak menghantarnya ke Korea. Dia sendiri memilih untuk pergi ke Korea. Beza tu!"

"Saya pun dapat (email itu). Saya memilih untuk tidak pergi. Kawan-kawan saya ada yang pergi. Zul (Zulkifli) memilih untuk pergi. Itu bukan dihantar oleh parti," katanya.
"Nampak? Kamu (Zulkifli) tak jawab dalam masa lima hari, satu bab. Kamu hanya hantar beberapa jam sebelum anda hendak berlepas. Kamu buat PC (sidang media), kamu kata 'parti tahu tapi parti hantar. Parti ada niat jahat untuk bertindak'..."

Bukan dihukum kerana berbeza pendapat
Saifuddin yang tercabar kesabarannya, dengan tegas menafikan bahawa tindakan diambil kerana ahli parlimen Kulim Bandar Baharu itu berbeza pendapat dengan pendirian rasmi PKR. Justeru itu, beliau menolak tuntutan Zulkifli untuk diadili anggota Lembaga Disiplin yang beragama Islam.
"Kita tak hukum dia kerana perbezaan pendapatnya dengan parti, tetapi the momentkamu (Zulkifli) buat laporan polis ke atas parti sahabat, itu menjejaskan kerjasama pakatan, then you already cross that red line, and we take action against you on that(kamu telah melewati batas dan kami mengambil tindakan terhadap kamu kerana itu).
Itu saja." jelasnya.
Itu saja." jelasnya.
Disiplin parti: PKR diasak pelbagai pihak
Walau bagaimanapun, pertikaian penggunaan kalimah "Allah" ini bukanlah kontroversial pertama yang dicungkil oleh Zulkifli Noordin. Beliau menjadi tumpuan media kerana tindakannya "menceroboh" ke dalam satu forum agama anjuran Majlis Peguam Negara pada Ogos 2008, yang menurutnya, bersikap anti-Islam.
PKR telah didesak untuk mengambil tindakan terhadap Zulkifli Noordin, memandangkan tingkahlakunya itu telah melanggar fasal 5.4 dalam perlembagaan PKR sendiri, iaitu "menjamin kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan kepada semua."

"Ada sesetengah kes yang berlaku, kita fikir bukan masa untuk kita imposedisiplin yang dalam buku, misalnya. So, apa prosesnya?" Setiausaha Agung PKR ini menjelaskan bagaimana seseorang individu dipanggil, ditegur, dipujuk untuk mengubah pendekatan jika dianggap keterlaluan, dan berbincang melalui saluran dalam parti.
"Ini saya panggil proses, kerana kita mengendalikan satu organisasi politik." Setelah proses ini dilalui, sambil merujuk kepada kes Zulkifli Noordin, "...Sampai satu batas,enough is enough (cukuplah). Kamu telah melangkaui batas. Jadi kami panggil dia. Walaupun begitu, kita masih beri dia due process (proses rayuan mengikut saluran undang-undang)."
Buku bukan satu-satunya penyelesaian
Jelas, Saifuddin amat menyedari harga yang dibayar PKR untuk memberi laluan kepada proses ini. Setelah mengulas kes Zulkifli, beliau berkata, "Mengendalikan satu parti politik, buku (perlembagaan) sebagai panduan. Tetapi buku bukan satu-satunya penyelesaian. Sebab itu, proses berbincang, memberi nasihat itu berlaku. Kerana proses itu dilakukanlah, maka kita diasak di luar sana tak ada prinsip, berlengah-lengah...semua tu."

Dalam wawancara lebih daripada satu jam ini, Saifuddin menafikan bahawa pendirian rasmi PKR kesemuanya ditentukan oleh Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim secara berseorangan. Ruang perbincangan dibuka dan semua pendapat diambil kira. Untuk Saifuddin, seseorang anggota parti harus mengakur kepada pendirian parti setelah perbincangan dilalui.
"(Ini namanya)...Disiplin organisasi. Dalam PAS kita panggil disiplin jemaah. Disiplin harakah. Kalau kamu tidak bersedia untuk diikat dengan keputusan parti, lebih baik kamu buat keputusan untuk bersama kami, atau tidak lagi bersama kami," dengan cermat Saifuddin Nasution menyampaikan mesejnya.
0 comments:
Post a Comment