Maruah hanya boleh dikembalikan dengan keluar Barisan Nasional, demikianlah pandangan Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin, sambil menambah "kini masa terbaiknya untuk Gerakan keluar dari BN." Beliau menyambung, "Kini, setelah dua tahun bertenang, dan sudah jelas keadaannya, maka perlulah kita meninggalkan BN secara berstrategi. Alasannya, senario tidak berubah, BN juga tidak berubah. Sudah tiba masanya untuk tinggalkan BN." Demikianlah kata-kata yang diluahkan oleh Lim Si Pin ketika mengetuai rombongan lawatan ke pejabat Sin Chew Daily, pada 3 Mac yang lalu. Walau bagaimanapun, ini hanyalah "pandangan peribadi" Lim Si Pin, yang enggan dipetik atas kapasiti "Ketua Pemuda Gerakan". Mungkin gagal bertanding di Batu ![]() Baru-baru ini, BN Bahagian Batu yang asalnya dipengerusikan Gerakan, diambil alih oleh Ketua UMNO Bahagian Batu, Yahya Mat Ghani. Perkembangan ini memberi isyarat bahawa BN mungkin meletakkan calon UMNO di Batu, lebih-lebih lagi Tian Chua kini disabit dengan hukuman penjara 6 bulan dan denda RM3,000, yang mungkin memberi laluan kepada PRK, seandainya rayuannya tidak diterima. Bagaimanapun, Lim Si Pin menganggap dirinya masih berpeluang untuk bertanding di Batu, seandainya UMNO menghormati "semangat bermusyawarah" dalam BN. Sekiranya UMNO mengambil alih Batu dari Gerakan, ia bakal mencungkil keraguan parti komponen BN yang lain, kecuali UMNO sanggup menggantikan Batu dengan kawasan pengundian yang lain, katanya. "Kalau UMNO masih menghormati semangat BN, kawasan pengundian akan diberikan kepada pemilik asalnya. Penyokong akar umbi telah menunjukkan ketidakpuasan. Seandainya calon disingkir dengan cara sedemikian, ia bermaksud perkhidmatan sejak dua tahun lalu menjadi sia-sia begitu sahaja," jelasnya. Malah, beliau tidak senang dengan khabar kononnya Pengerusi baru BN akan menubuhkan pusat perkhidmatan baru. "Dua pusat perkhidmatan BN dalam satu kawasan pengundian, keadaan ini akan mengelirukan pengundi," katanya. Mana pendirian Gerakan? "Jadi, anda tengok, ahli parlimen Gerakan tidak bersuara ketika mesyuarat bersidang, kerana khuatir semakin banyak yang diperkatakan, semakin banyak pula kesilapan yang dilakukan. Isu-isu seperti GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), kalimah 'Allah', apakah pendirian kami (Gerakan) ?" ![]() Pada bulan yang lalu, Lim Keng Yaik menarik perhatian apabila meramalkan bahawa Gerakan tidak akan berjaya untuk merampas semula kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang, dalam satu wawancara bersama Edge Financial Daily. Bagaimanapun, kenyataan Lim Si Pin "sudah tiba masanya untuk keluar BN" tidak mencetus perbincangan yang hangat setelah seminggu dilontarkan, memandangkan ia bukan sesuatu yang baru. Cadangan ini pernah dilontarkan oleh Gerakan, malah Presiden MCA sekarang, Ong Tee Keat, tetapi tidak berbuahkan hasil. *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. |
0 comments:
Post a Comment