Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

06 April, 2010

Subra: Bukan saya sabotaj Palani, Samy cari 'kambing hitam'


Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 5 April — Bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam membidas dakwaan akhbar milik keluarga Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa beliau mahu mensabotaj penggantinya Datuk G. Palanivel daripada diturunkan di Hulu Selangor.

Sebaliknya Subramaniam berkata, rencana-rencana yang disiarkan terus-menerus olehTamil Nesan menunjukkan Samy Vellu, Presiden MIC, semakin terdesak untuk berkonspirasi mencari “kambing hitam dan alasan-alasan” awal jika MIC tewas pada pilihan raya kecil ini.
“Samy Vellu sedia mengetahui kekalahan di Hulu Selangor atau kegagalan BN untuk menguasai undi masyarakat India di Hulu Selangor hanya menggambarkan kegagalan kepimpinannya dalam MIC memandangkan beliau perlu banyak menjawab berhubung skandal Maika Holdings, MIED dan universiti AIMST dan usaha-usaha oleh beberapa orang perseorangan untuk merampas aset-aset bernilai MIED,” katanya.
Subramaniam yang dua kali tewas di tangan Palanivel yang mendapat restu bagi jawatan timbalan presiden mengulas laporan Tamil Nesan, akhbar milik keluarga Presiden MIC, mendakwa beliau bekerja keras untuk mensabotaj Palanivel daripada diturunkan semula oleh BN.
Subramaniam tewas dua kali berturut-turut di tangan Palanivel yang mendapat restu Samy Vellu. “Presiden parti (MIC) berhadapan dengan situasi yang amat sukar untuk mengemukakan nama (Palanivel) selaku timbalan presiden untuk bertanding semula.
“Ketika pucuk kepimpinan bekerja keras untuk menangani situasi ini, bekas timbalan presiden dan bekas timbalan menteri Datuk Subramaniam mengambil segala langkah secara terbuka dan bijak untuk memastikan Palanivel tidak diberikan peluang bertanding semula,” kata rencana hampir satu halaman akhbar Tamil Nesanterbitan kelmarin.
Di sebalik kegagalan dan kehampaan, jelas Subramaniam, Samy Vellu masih mahu berkempen seorang diri di Hulu Selangor bagi pihak MIC dan bertungkus-lumus mahu menyelamatkan kepimpinannya dalam parti dengan meletakkan kesalahan ke atas orang lain kecuali dirinya.
Tegas Subramaniam, Samy Vellu yang tewas dalam pilihan raya umum di Sungai Siput juga bimbang dengan kemungkinan kekalahan di Hulu Selangor akan memaksa beliau meninggalkan parti itu lebih awal dan tidak boleh lagi mencari alasan untuk terus kekal sebagai presiden MIC ketika tekanan semakin meningkat.
“Banyak pihak secara kategori menyatakan bahawa kehadiran Samy Vellu akan membawa masalah besar kepada BN di Hulu Selangor dan  malah laporan The Malaysian Insider juga menyebut Samy Vellu adalah masalah kepada BN.
“Dalam keadaan seperti ini, sebarang usaha oleh keluarga Samy Velly untuk mengaitkan saya dengan perkembangan di Hulu Selangor adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat dan saya mengecam dakwaan sedemikian,” katanya.
Kata Subramaniam, sejak pengumuman pilihan raya kecil Hulu Selangor terdapat banyak rencana yang ditulis oleh penulis-penulis samaran dalam akhbar milik Samy Vellu dengan mendakwa beliau dan penyokongnya tidak menyokong pencalonan semula Palanivel di Hulu Selangor.
“Rencana-rencana ditulis dengan motif berniat jahat untuk mencetuskan perasaan benci dan tidak senang di kalangan penyokong MIC dan BN.
“Daripada menggunakan pilihan raya kecil Hulu Selangor sebagai satu peluang menyatuhkan pelbagai puak dalam MIC dan untuk membawa mereka bekerjasama bagi menang kerusi ini, apa yang dilakukan ialah memburukkan suasana di kalangan penyokong pemimpin MIC, dengan itu menjejaskan lagi peluang BN untuk menang di Hulu Selangor,” katanya.
Subramaniam juga menambah, rencana-rencana yang disiarkan Tamil Nesan bertujuan melancarkan serangan ke atas beliau dan penyokongnya.
Kata Subramaniam, rencana-rencana itu mendakwa beliau bertindak untuk memastikan kerusi tersebut tidak diberikan kepada MIC ataupun Palanivel dicalonkan semula selepas tewas dua tahun lalu.
“Semua orang tahu bahawa sebenarnya permintaan ini datang daripada Umno dan pemimpin-pemimpinnya dan sebab yang diberikan mereka dengan jelas menunjukkan MIC dan kepimpinannya tidak kuat untuk mendapatkan semula kerusi ini.
“Pemimpin-pemimpin Umno yang mendakwa MIC lemah, yang popularitinya di kalangan komuniti India adalah paling rendah pada hari ini; adalah sebab mengapa kerusi ini harus diberikan kepada Umno memandangkan mereka berpendapat Umno berbanding MIC mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi ini dalam suasana semasa.
“Dengan mengaitkan saya dengan kenyataan-kenyataan dibuat pemimpin Umno, Tamil Nesan sebenarnya bertindak menghina kebijaksanaan dan kematangan politik pemimpin-pemimpin Umno,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.