Buat kali pertamanya, lima parti komponen Barisan Nasional Selangor mengambil inisiatif untuk mengadakan konvensyen, melaungkan slogan "STOP, Selangor Takeover Plan", menjelang pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kira-kira 1,500 perwakilan daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP menghadiri konvensyen yang dimulakan pada 9:30 pagi, semalam. Apabila Pengerusi Barisan Nasional, yang juga Perdana Menteri Najib Abdul Razak hadir di sebelah petangnya, kehadiran menghampiri 2,000 orang. Namun, dalam upacara perasmian di sebelah paginya, Sekreteriat BN Selangor yang bertanggungjawab untuk mengadakan konvensyen ini hanya menyediakan kerusi untuk empat orang pemimpin UMNO di atas pentas, termasuklah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Noh Omar yang mewakili UMNO dan Pengerusi Penganjur Mohd Zin Mohamed, yang juga ahli parlimen Sepang. MCA keluar dewan Selain itu, Naib Presiden MCA Donald Lim Siang Chai yang terpilih baru-baru ini, Timbalan Presiden MIC G.Palanivel dan Presiden PPP Kayveas, hanya duduk di bawah pentas untuk mendengar ucapan perasmian Noh Omar dan Mohd Zin Mohamed. Bagaimanapun, Mohd Zin Mohamed mendakwa bahawa dirinya tidak menyedari peristiwa itu, ketika ditanya wartawan kemudiannya. Malah beliau berkata, beliau sudi meminta maaf seandainya beliau sedar bahawa MCA tidak berpuas hati. Pada masa yang sama, Mohd Zin Mohamed menjelaskan kepada media, "Ini konvensyen pertama BN, disertai MCA, MIC dan parti komponen yang lain. Namun, jawatankuasa majlis ini adalah ahli UMNO terutamanya. Jadi, saya berpendapat adalah sesuatu yang biasa jika dimainkan lagu UMNO pada sebelah paginya. Tapi, hanya lagu BN dimainkan semasa PM datang pada sebelah petang." Mengkaji faktor kekalahan BN Namun demikian, dalam dua ceramah yang bertemakan politik dan ekonomi, enam orang panelis hampir tidak menyentuh isu teras, atau mengemukakan dasar politik dan ekonomi, tetapi lebih tertumpu untuk mengkaji faktor kekalahan BN dalam PRU ke-12. Antaranya, Normah Omar dari UiTM menuding jari kepada perang siber Pakatan Rakyat ketika mengupas faktor kekalahan BN di Selangor. Beliau mengambil contoh bahawa seandainya dimasukkan istilah "Ekonomi Selangor", carian di internet kebanyakannya akan menemui laman yang berhubung-kait dengan ahli politik PR. Di samping itu, panelis yang lain mengulangi hujah lama, misalnya penjenayahan yang berleluasa, kenaikan harga minyak, masalah rakyat gagal diselesa Najib: Rakyat harapkan perubahan PM Najib pula menegaskan bahawa pengundi tidak menolak BN, tetapi berharap agar BN akan berubah. Jadi, kekalahan PRU ke-12 hanyalah pengajaran pengundi kepada BN. Menurut Najib, jikalau BN ikhlas untuk berubah, maka pengundi akan kembali kepada BN. Oleh itu, Najib menegur agar parti komponen mengotakan janji dan memperbaiki kelemahan yang sedia ada. Jelas, ucapan Najib di sebelah petang meraih sokongan ahli parti komponen BN, yang menyambutnya dengan tepukan dan sorakan. Walau bagaimanapun, beliau tidak menyentuh sebarang isu sensitif. Malah, apabila diajukan soalan dalam sidang media sama ada beliau akan mengikut jejak bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat untuk mengumumkan bahawa dirinya "Malaysian first", beliau enggan menjawabnya dengan alasan "ini perangkap pembangkang", dan beliau enggan terjerat ke dalam kontroversi ini. Konvensyen BN hanya selepas kehadiran Najib Pada pengamatan wartawan, konvensyen BN Selangor tanpa kehadiran Najib seolah-olah Perhimpunan Agung UMNO. Ketika Noh Omar mengulas isu ekonomi, beliau mempertikaikan mengapa duit zakat digunakan ke atas bukan Islam, dan membuka pintu UiTM kepada bukan Melayu. Walaupun Noh Omar tidak membacakan beberapa soalan dalam power point-nya, tetapi "agenda UMNO" jelas terpampang melalui skrin. Sungguhpun Najib akhirnya mengumumkan bahawa PRK Hulu Selangor akan ditandingi calon MIC, namun retorik UMNO sepanjang hari tetap kekal dalam ingatan orang ramai. Biarpun dikatakan konvensyen ini adalah cubaan sulung BN Selangor, namun apakah ia akan membawa perubahan untuk BN di Selangor? PRK Hulu Selangor akan menjawab kemudiannya. *Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang. |
0 comments:
Post a Comment