Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

06 April, 2010

PAS: Langkah Najib ambil APCO seolah kerajaan undang penceroboh


Oleh Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 5 April — PAS mahu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin campur tangan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya membatalkan kontrak mendapatkan khidmat firma APCO Worldwide atas alasan keputusan kerajaan itu boleh membahayakan keselamatan dan kedaulatan negara.

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa berkata, tindakan kerajaan menjalin hubungan dengan APCO seolah-olah mengundang penceroboh untuk menjejaskan kedaulatan negara.
“Perkara ini membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara, namun tindakan Perdana Menteri mendapatkan khidmat APCO seolah-olah mengundang bahaya.
“Setelah kita membawa perkara ini dalam Parlimen dan selepas perbahasan dilakukan, kita bawa perkara ini kepada perhatian Majlis Raja-raja untuk tindakan lanjut.
“Jadi hari ini kita telah menyerahkan memorandum mengenai peranan APCO dalam pentadbiran kerajaan Malaysia kepada Majlis Raja-Raja supaya dapat membatalkan kontrak antara kerajaan Malaysia dan firma perunding APCO Worldwide.
“Kita harap Yang di-Pertuan Agong akan campur tangan dan memerintahkan supaya hubungan antara kerajaan Malaysia dengan APCO dapat dibatalkan,” katanya selepas menemui wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini.
Nasharudin menyerahkan memorandum tersebut yang ditandatangani oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kesemua Ahli Parlimen PAS kepada wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kira-kira pukul 12 tengah hari.
Kira-kira 10 Ahli Parlimen PAS mengiringi Nasharudin termasuk dua Naib Pesidennya, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
“Mengadakan kontrak dengan APCO adalah satu pencerobohan kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
“Ini bukan soal politik tapi keselamatan negara. Apabila Perdana Menteri mendapatkan khidmat APCO ia juga secara tidak langsung telah meletakkan keselamatan negara dalam bahaya,” kata Ahli Parlimen Bachok ini,
Nasharuddin juga menyifatkan tiada penjelasan konkrit daripada kerajaan berhubung perkara yang ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambahnya, bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat, kontrak perundingan dengan APCO perlu dibatalkan.
“Rakyat tahu apa itu APCO dan siapa yang berada dalam organisasi tersebut. Jadi mereka tahu apa kesan apabila mempunyai hubungan dengan Israel.
“Adakah kita mahu menjalinkan hubungan dengan pemimpin-pemimpin Israel yang tangan mereka sentiasa berlumuran darah?
“Justeru melalui memorandum ini kita harap Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara dapat campur tangan seterusnya membatalkan kontrak dengan APCO demi keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.