-Azizi Hj Abdullah
Gambar sekadar hiasan
“Si Pikun itulah! Si Pikun itulah…”
Aku tergamam. Kawanku berkata berulang kali kepadaku semalam, malam semalam, malam kelmarin, kelmarin dulu dan kelmarin, kelmarin dulunya lagi. “Si Pikun itulah…” demikian dia mengulangi kepadaku.
Aku sukar hendak percaya. Penekanan ‘Si Pikun itulah’ bagiku hanyalah tuduhan, andaian, tidak berasas dan sangka buruk. Aku berkata kepadanya, sangka buruk dilarang oleh agama.
Maka kawanku pun melenting mendadak, dengan keremot muka dan mencebik bibir, dia meludah sekali. Lalu diseranahnya aku; “Jika engkau mewakili seluruh bangsa Melayu, benarlah kata Si Pikun itu, bahawa Melayu mudah lupa. Tapi aku percaya, engkau bukan mewakili bangsa Melayu, malah engkaulah sebenarnya Melayu seperti Melayu mereka itu.
“Tidak, aku bukan Melayu! Aku bangsa Malaysia. Aku sudah disintuk limau dan Melayuku sudah ditalqin. Aku One Malaysia.” Aku membentak dengan kuat, sehingga tersembur air liur, sehingga dua mataku berbianglala dan terasa dua telinga capangku bergerak-gerak.
“Jika begitu, benarlah Si Pikun itu. Si Pikun itulah!” katanya dengan sinis dan kemudiannya dia berlalu.
Memang celaka dan haram jadah kawanku yang berstatus akademik ini. Dia ku anggap macam babi sondol pokok pisang; setelah kenyang terus berlalu begitu saja. Memang pun orang seperti ini jadah namanya. Dia melontar edia kemudian meninggalkan analisanya begitu-begitu. Tapi aku pun jadah juga dan adakah jadah aku ini lebih dari jadah Si Pikun yang dikata oleh kawanku tadi. Apakah aku jadah kerana tidak percaya tentang dakwaan kawanku bahawa Si Pikun itulah.
Jika dia membuat rumusan aku ini seorang Melayu di antara jutaan Melayu Malaysia yang haram jadah, apa alasannya?
‘Si Pikun itulah…’ demikian aku masih terdengar cemikannya di hadapan aku tadi.
Sah! Bukan aku yang jadah, bukan bangsa Melayu yang jadah, bukan bangsa One Malaysia yang jadah, tapi Si Pikun itulah yang jadah. Mungkin. Mungkin Si Pikun itulah.
Untuk mengenali Si Pikun itu bukanlah susah. Dalam dunia ini si pikun memang banyak tetapi di Malaysia si pikun hanyalah satu. Si Pikun itulah. Tidak syak lagi. Sahih! Soalnya mengapa Si Pikun itu, tidak si pikun yang lain? Hendakkan jawapan yang mudah, aku rasa kenalah rujuk kepada kawanku atas sifat sebagai seorang penganalisa politik dan bangsa. Disiplin akademik memerlukan pemerhatian secara berentetan dan berkesinambungan.
Si Pikun itulah… maka aku pun segera percaya lalu aku memutar kembali anggapan jadah. Memang bangsaku jadah apabila mereka tidak melihat secara rentetan dan berkesinambungan jadah Si Pikun itu.
Memang Si Pikun itulah yang jadah. Lalu aku cepat-cepat membuka Kamus Dewan mencari makna jadah agar aku tidak tersalah meletak hamun makiku. Jadah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat muka 594 bererti kata makian bagi menunjuk kemarahan. Yeeaahh, sahlah sudah bahawa makianku ini tepat dan betul. Memang Si Pikun itulah jadah. Si Pikun itulah,Tidak syak lagi.
Bangsaku kini semakin bercelaru. Memang kerana Si Pikun itulah. Tapi bangku memang jadah kerana tidak mau melihat jadah Si Pikun itu. Bangsaku macam melepas rantai beruk dan dibiarkan beruk itu berlalu begitu sahaja.
Satu ketika dulu bangsaku hampir jadi gila sawan apabila bahasanya diterbalik keramatnya. Lalu apabila melihat anak bangsa menjadi korban, desakan kembali ke pangkal asal pun berlaku. Sampai demo berdemo. Tapi jadahnya bangsaku tidak peduli pada Si Pikun, sedangkan Si Pikunlah yang memulakannya.
Satu ketika dulu, mertabat dan kedaulatan raja-rajaku tergugat. Bangsaku memang jadah. Tidak pun dipeduli akibat dan tidak pernah melihat masa depan. Tiba-tiba apabila raja-rajaku menjadi tidak bertaring dan sebahagian imuniti dicabut, bangsaku sampai jadi macam ayam kena hawar. Tiba-tiba berlaku sesuatu, Sampai raja-rajaku dipermain. Jadahnya bangsaku tidak pernah mencari punca dari apa yang dilakukan oleh Si Pikun itu. Mereka asyik menyalah engkau dan mereka.
Satu ketika dulu berlaku agamaku dihina. Segala peruntukan ditarik macam agama aku ini kerbau keweh yang hanya layak berkeliaran di hutan. Sekarang timbul isu-isu agama. Jadahnya bangsaku, asyik berpusing sasau menuduh engkau mereka pada hal Si Pikun itulah yang mula melakukannya.
Kini hebuh tentang royalti dan ehsan. Jadahnya tidak seorang pun yang mencungkil dari mana sebab musabab. Yang berlaku asyik polimik, asyik kata boleh dan tidak boleh. Padal hal Si Pikun itulah yang mula mencipta istilah jadah itu.
Kenapa tidak mau berkata kerana engkaulah wahai Si Pikun. Engkaulah yang memulakannya. Maka sebagai balasan Si Pikun itu mestilah bertanggung jawab. Setidak-tidaknya tangkap Si Pikun itu, berkas di pokok belimbing buluh, biarkan kerengga gigit telur dan kemaluannya. Biar dia rasa pedih dan sakit walaupun tidak sama pedih dan sakit seluruh bangsanya.
“Heee, aku mau jumpa kau, sekejap pun jadi. Mustahak!” pintaku melalui HP.
Kawanku yang megah dengan akademik dan analisanya ketawa terbahak-bahak. Tentu anak lidahnya terkodek-kodek. Sehabis ketawa dia pun bertanya, bila, di mana. Tapi malam ini tidak boleh, katanya kerana ada forum tentang minyak yang masih bangsa Malaysia bengung dan bahlol mencari sebabnya. Lalu dia bercadang malam lusa. Tapi sebelum itu kawanku ini meminta aku cuba mencari pengenalan diri dulu, apakah aku sudah kenal pasti Si Pikun itu.
Memang aku yakin Si Pikun itulah. Tidak ada yang lain lagi dalam negaraku ini. Dan Si Pikun inilah juga yang dianggap wira maha jagat, negarawatiwali, pelingkuparawan dan bla-bla lagi. Maka aku sangat mudah temuinya. Dia kini berlinglong-linglong mencari kemegahan melalui kritik dan hentam, menyalah salah orang lain, merasmi sidang-sidang yang penuh dengan perwakilan yang suka kentut. Dia amat senang dikenali kini kerana dia sudah kurus, berseluar dengan tali pinggang dijerot sampai habis lubang. Dia amat mudah dikenali kerana kini bola matanya terbeliak macam mata pokka.
“Jadahnya kita, kerana kita tidak pernah kerobek kerosek, berbalik kepada punca dan keputusannya,” kata kawanku di hadapan segelas jus limau di Restoran Salamon. “ lalu kita berkelahi tak habis-habis seolah-olah soal royalti, wang ehsan, PPSMI, kedaulatan, agama, rasuah, tidak telus, politik wang itu terjadi dengan sendiri. Jadahnya kita kerana menyalah mereka yang melanjut apa yang Si Pikun lakukan dulu. Adilkah?” sambung lagi kawanku yang entah kenapa dia memakai tengkolok tapi berkot dan bertali leher, menyisip keris di bengkong sampinnya, berkain pelekat dan berkasut ala cowboy.
“Jangan hairan, aku sudah hilang Melayu,” katanya berseloroh.
Aku tidak peduli itu. Yang aku mahu alasan yang dilakukan oleh Si Pikun itulah.
“Pertama di antara seribu sebab,” kata kawanku,” Siapa yang melantik peguam bagi membenar kesalahan dari orang yang tak bersalah? Siapa yang membenar pemalsuan bukti setiap perbicaraan? Siapa yang mengkartunkan alasan lebam mata si pulan sehingga sistem kehakiman bercelaru? Siapa yang mengarah sepi senyapkan kes-kes berprofail tinggi? Siapa yang mendaulatkan bahasa lain sedangkan dia sendiri bukan dari bangsa bahasa itu? Siapa yang menyumbat puluhan ke dalam Kem Kemunting? Dan sekarang soal royalti, soal wang ehsan, siapa yang memulakan dan siapa yang menamakan istilah itu?”
“Si Pikun itukah?” aku bertanya.
“Si Pikun itulah!”
Memang benar bangsaku jadah. Dan lebih jadah lagi semua sokong apa yang diucap oleh Si Pikun, seolah-olah dia tidak pernah lakukan masa lalu. Aku sungguh harian, kenapa Pas mahupun PKR, DAP asyik menyalahkan pemerintah Umno atau BN setahun dua yang lalu apabila sesuatu projek dan berlaku ketirisan, sedangkan orang yang memulakan puncanya tidak dicungkil kerobek?
Dari mana mereka belajar mencari kesalahan sedangkan orang yang buat salah itu tidak disebut?
Memang jadah! Memang pun jadah! Si Pikun itulah yang menyebabkan jadah bangsaku.
“Dah kenal siapa si pikun itu?” tiba-tiba kawanku bertanya sinis.
“Berdasarkan ucapan Tengku Razaligh, bukan Si Pikun itu,” kataku.
“Ku Li juga penakut. Tak berani. Dia asyik mendedahkan fakta,undang-undang,perjanjian. Pada hal Si Pikun itulah yang memula melanggar undang-undang, melanggar perjanjian!” kata kawanku yang baru kini aku akui sebagai penganalisa terbaik.
Memang aku sedar dan seluruh bangsaku sedar, memang Si Pikunlah yang memula mengguna istilah ehsan. Tapi bangsaku ketika itu pengecut, jadah dan percaya kepada system undang-undang pada hal Si Pikun sudah lama menghancurkan system undang-undang.
Malam itu tidak ada keputusan tapi aku berpuas hati kerana aku diberitahu siapakah Si Pikun jadah yang menyebabkan bangsaku menjadi celaru. Kawanku pulang meninggalkan sinis yang melampau. Barangkali dia menganggap aku dan bangsaku sungguh jadah menghadapi isu-isu yang berentetan ini. Seluruh bangsaku kini tidak tahu undang-undang yang mana boleh pakai dan undang-undang yang mana mengarut. Kadang-kadang undang-undang seperti budak-budak main ceki dan acilut. Selalu cup-cup kemudian batal. PSRM yang dianggap mewakili ketelusan mengkeramatkan undang-undang sering main keremot muka dan memuncung mulut kemudian mengenyit mata.
Tiba-tiba HPku berbunyi.
Tiba-tiba HPku berbunyi.
“Hallo,” katanya.
Aku hanya mendengar
“Kau dengar ke?”
Memang aku dengar.
“Si Pikun itulah. Jadahnya bangsa kita tetap tidak peduli kepada Si Pikun itu.”
“Habis, apa yang boleh kita lakukan?”
“Si Pikun itulah. Jadahnya bangsa kita tetap tidak peduli kepada Si Pikun itu.”
“Habis, apa yang boleh kita lakukan?”
“Dakwa saja Si Pikun itu.”
“Siapa yang mahu memulakannya?”
“Si Pikun itulah,” katanya dengan keras dan kemudian HPnya putus.
“Jadah!” itu yang dapat aku melepas marah.
0 comments:
Post a Comment