Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

10 April, 2010

Perlembagaan Persekutuan tentukan kerakyatan, bukan Umno

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 9 April: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) berkata, soal kerakyatan bukan Melayu sudah
lama selesai dan generasi Cina, India dan kaum bukan Melayu yang menjadi warganegara telah diberikan kerakyatan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, bukan Perlembagaan Umno.
Justeru, katanya PAS kesal dengan ucapan perkauman Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang membangkitkan isu kerakyatan kepada bukan Melayu di negara ini yang didakwa perlu berterima kasih kepada Umno.
Malah, katanya selepas lebih 52 tahun negara ini merdeka, rakyat bukan Melayu telah memberikan banyak sumbangan kepada pembangunan negara dan mereka seharusnya tidak dijadikan bahan politik untuk dihina demi untuk menunjukkan Umnolah juara rakyat sebenarnya.
“Ucapan Noh ini bukan pertama kali keluar dari mulut pemimpin Umno. Februari lepas Datuk Nasir Safar, pegawai khas Perdana Menteri turut membakar kemarahan kaum bukan Melayu dengan menggelarkan kaum Cina dan India di negara ini sebagai pendatang,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Tegasnya, PAS menolak sebarang ucapan, slogan atau kempen perkauman yang diterapkan oleh Umno dan BN kerana jelas ia hanyalah merugikan rakyat.
Tambahnya lagi, isu perkauman dan kewarganegaraan tidak seharusnya berbangkit dan PAS berharap kaum Melayu dan bukan Melayu dapat hidup dengan harmoni di negara ini serta menghormati hak masing-masing.
“PAS menyeru komponen BN menilai kedudukan mereka dalam BN kerana akhir-akhir ini Umno sudah kembali menunjukkan dasar perkaumannya. Umno hanya menjual slogan demi slogan bagi menarik sokongan rakyat,” ujarnya.
Malah, ujarnya lagi dalam konvensyen yang Noh berucap itu, hanya lagu BN dan Umno sahaja yang dinyanyikan seolah-olah dalam BN hanya ada parti Umno sahaja.
Katanya, jawapan pengerusi penganjur konvensyen, yang mendakwa tidak melihat sebarang isu dalam hal itu menjelaskan lagi sikap Umno yang memandang kecil kehadiran komponen lain BN semasa majlis itu.
Malah, beliau menambah Umno sampai hari ini tidak pernah berhenti menyalahkan MIC dan MCA di atas kekalahan teruk mereka di Selangor.
“Oleh itu, PAS melihat komponen BN bukan Melayu kini ibarat anak tiri yang sudah kematian bapa. Sudah kalah, Umno pun tak pandang,” ujarnya.
Beliau berkata, PAS juga yakin, rakyat akan menghukum BN dalam Pilihan raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno dan komponen lain yang masih bacul untuk meninggalkan BN kerana menjaga periuk nasi mereka.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.