Ahmad Nizam Hamid
Saya kira tidak pernah di dalam mana-mana Pilihan Raya - baik PRU mahupun PRK-serangan terhadap peribadi calon dilakukan secara terang-terangan. Jika selama ini, walaupun ulah sebegini sering terjadi yakni serangan memburuk-burukkan calon lawan berlaku yang bersifat peribadi, namun skalanya tidaklah secara terang-terangan tetapi lebih bersifat "bisik-bisik" atau berupa surat layang.![]() Panglima-panglima UMNO seperti Khir Toyo, Ali Rustam, Muhyidin Yassin dan yang lainnya seolah-olah dirasuk palung mendendangkan isu akhlak atau moral Zaid Ibrahim dengan pelbagai tuduhan - kaki botol, womaniser, kaki judi dan pelbagai lagi - secara terang-terangan, tanpa segan-silu. Demi sebuah kemenangan mungkin, maka UMNO/BN sanggup "stoop too low" tanpa menghiraukan etika dan adab (bukankah salah satu rukun di dalam Rukunegara ialah "kesopanan dan kesusilaan?). ![]() Pun begitu, propaganda hitam seperti ini bukanlah perkara baru. Jika ditelusuri sejarah akan dapat kita fahami bagaimana propaganda yang bersifat serangan peribadi ini dilakukan; Dato Bahaman, Mat Kilau, Imam Perang Rasu, Dato Maharajalela, Si Putum, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbung (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi pejuang dilabelkan sebagai PENDERHAKA kepada Sultan. ![]() Sewaktu Perang Dingin khususnya di era Darurat (dari sudut perundangan Malaysia tidak pernah sehingga ke hari ini diistiharkan bebas dari Darurat) propaganda tentang kejahatan Komunis diuar-uarkan. Cukup dengan tuduhan tanpa asas bahawa seseorang itu merupakan agen komunis atau penyokong komunis atau simpatisan atau berjuang di atas ideologi komunis atau dituduh komunis memungkinkan kebebasan dan hak asasi individu tersebut tercabut dan dihalalkan untuk dikurung tanpa bicara di Kamunting atau tempat tahanan yang lain baik di Malaysia mahupun Singapura. ![]() Pengalaman yang sama dialami oleh Anwar Ibrahim sewaktu beliau dilanyak tanpa ampun oleh media dan alat kerajaan seawal bulan September 1998 (dan berterusan hingga ke hari ini); propaganda sengit yang menyerang peribadi Anwar Ibrahim dibuat sebegitu rupa guna untuk mengolah persetujuan rakyat yang sekali gus untuk menghalalkan fitnah terhadap beliau. Malangnya, kali ini propaganda jelek UMNO/BN tersasar, rakyat tidak mempercayai segala tuduhan dan fitnah keji itu. Propaganda jelek ke atas Anwar Ibrahim akhirnya memakan diri UMNO/BN sendiri apabila rakyat bangun dan membuat pilihan. ![]() Tentunya yang menjadi lelucon ialah pemimpin UMNO yang membantai Zaid Ibrahim itu bukan pula yang berakhlak mulia! Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka juga punya isu moral yang dipersoalkan. Pun begitu mereka ini - Khir Toyo, Ali Rustam dan yang lainnya - mempamerkan muka tebal mereka seolah-olah mereka punya akhlak par excellence dan maksum. Saya tidak punya perkataan yang lebih lunak selain dari hipokrit! Pada masa yang sama, saya cenderung menilai permainan propaganda jelek ini dari sudut perebutan kuasa dalaman UMNO. Najib dan Muhyidin Yasin dilihat bukanlah gandingan yang punya chemistry; malah di dalam banyak perkara Muhyidin dilihat menjarakkan dirinya daripada Najib. Sudah menjadi rahsia umum Muhyiddin khabarnya sedang menyusun kekuatan beliau untuk mengambil alih tampuk kekuasaan daripada Najib. ![]() Dan inilah yang terjadi-apa yang diharapkan oleh Muhyidin menjadi-serangan balas daripada jentera PR tentunya membabitkan persoalan moral beberapa pemimpin UMNO khususnya batang tubuh Perdana Menteri/Presiden UMNO, Najib Razak. Najib Razak yang sudah sekian lama sememangnya dilihat sebagai pemimpin utama UMNO yang punya banyak baggage dan jerangkung di dalam almari. ![]() Sepupu Najib, Hishammuddin turut menjadi "mangsa" propaganda hitam akibat dari ulah Muhyiddin ini. Betapa foto-foto lama (menurut Hishammuddin sendiri sudah lebih lapan tahun berlegar di dunia maya) yang tentunya menimbulkan persoalan tentang moral beliau dimuat turunkan daripada internet. Begitulah sedikit sebanyak gambaran yang boleh diberikan. Saya menyebut Muhyidin tentunya tidak naif apabila memberikan lampu hijau kempen memburuk-burukkan Zaid Ibrahim dihalalkan. Dan Muhyiddin punya wewenang untuk menghalang serangan peribadi dari dilakukan tetapi beliau tidak mengambil pilihan itu. Beliau tidak naif kerana pastinya mengetahui atau sekurang-kurangnya dapat meramalkan tentunya akan ada serangan balas yang akan disasarkan ke arah batang tubuh PM ketimbang lain-lain pemimpin UMNO/BN. ![]() Pada hemat saya, walau apa pun keputusan PRK Hulu Selangor,yang benar-benar kalah ialah Najib Razak dan pemimpin UMNO lainnya. Buat pertama kali,saya kira, "free for all" berhubungkait dengan isu akhlak PM dan pemimpin BN lainnya diperkatakan secara terbuka dan tentunya aliran informasi yang "counter" propaganda UMNO itu menyebabkan ada makcik FELDA yang selama ini tidak mengetahui mengenai "kebejatan" moral pemimpin UMNO mula mempersoalkan integriti dan akhlak PM dan pemimpin UMNO/BN lainnya. Tahniah kepada Muhyidin Yassin di atas inisiatif ini. *Artikel ini ditulis oleh Ahmad Nizam Hamid, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Temerloh Pahang dan Penasihat Undang-undang KEADILAN Pahang. Artikel ini telah disiarkan di blog Lanai Lestari. **Nota Editor: Pada 18 April, TPM Muhyiddin Yassin menafikan bahawa UMNO yang melancarkan serangan peribadi terhadap calon PKR, Zaid Ibrahim; sebaliknya mendakwa bahawa isu ini dibangkitkan oleh media. |
0 comments:
Post a Comment