Oleh Syed Mu’az Syed Putra
HULU SELANGOR, 22 April — “Jangan risau, kita boleh lakukan (menang di Hulu Selangor).” Demikian kata-kata ringkas tapi yakin keluar daripada Datuk Zaid Ibrahim ketika menyambut seorang peminatnya yang datang dari luar kawasan Hulu Selangor, di pusat media PKR di Kuala Kubu Baru di sini, petang semalam.
Zaid melahirkan keyakinan itu di sebalik serangan bahawa beliau ‘kaki sosial’ termasuk minum dan menggadai bangunan Umno Kota Baru yang dianggarkan bernilai kira-kira RM9 juta.
“Itu semua cerita-cerita lama,” kata Zaid yang mewakili Parti Keadilan Rakyat di Hulu Selangor untuk mempertahankan kerusi ini.
Di sebalik keyakinan itu pengundi-pengundi Hulu Selangor dilihat semakin menerima kehadiran Zaid, calon Pakatan Rakyat, dengan melihatnya sebagai seorang wakil yang mampu membawa sinar baru untuk perubahan besar di Hulu Selangor.
Pengundi-pengundi mengakui kempen yang dijalankan Zaid membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berkebolehan dan berwibawa selain mampu memikul tanggungjawab untuk berkhidmat untuk rakyat.
Ketika ditanya mengenai lawatan beliau menemui pengundi, Zaid, 59, berkata, “saya pasti sudah mengunjungi lebih ramai daripada kunjungan mereka (jentara BN).”
Salah satu risalah yang diedarkan PKR tertera mesej “Datuk Zaid Ibrahim, Bersama Selamatkan Malaysia”.
Dalam Gagasan Buat Hulu Selangor, Zaid berkata, “anda (pengundi Hulu Selangor) memerlukan prasarana yang mudah, lebih ramai pasukan polis, lebih banyak klinik untuk memelihara kesihatan anda dan anak-anak anda.”
“Prasarana, keselamatan dan kesihatan adalah hak asas untuk kesemua rakyat Malaysia. Hulu Selangor memerlukan pemimpin untuk menjuarai keperluan anda. Jika rakyat Hulu Selangor memberikan saya peluang, Insya-Allah, saya percaya saya boleh menjadi pemimpin yang diharapkan itu,” kata Zaid dalam gagasan itu.
Tinjauan The Malaysian Insider mendapati selain berkempen rumah ke rumah, beliau turut meluangkan masa melawat kedai-kedai dan kawasan komersial untuk beramah mesra dengan pengundi. Kempen Zaid juga turut disertai isteri beliau.
“Kempen rumah ke rumah yang dilakukan beliau (Zaid) memang bagus kerana selain berjumpa dengan pengundi, kami juga dapat melihat calon yang akan bertanding secara berdepan.
“Saya melihat beliau seorang yang berkebolehan dan mampu membawa perubahan kepada penduduk Hulu Selangor.
“Selain itu, saya pasti beliau juga mengetahui semua masalah yang dialami rakyat lagipun beliau juga merupakan seorang peguam, mustahil beliau tidak tahu,” kata penduduk Kampung Sungai Choh, Rostam Omar, 55.
CALON TERBAIK
Senada dengan Rostam, seorang pesara, Kapli Kundan, 75, berkata, sebagai pengundi dia hanya mahukan calon terbaik yang dapat menjalankan tanggungjawab untuk rakyat.
“Sejak dari kecil saya sudah duduk di sini dan saya dah melihat ramai wakil rakyat tetapi saya rasa Datuk Zaid adalah seorang individu yang baik dan berwibawa.” katanya.
Kapli memberitahu, semua pengundi mahukan yang terbaik jadi dan berharap Zaid akan berpegang kepada janji dan membantu rakyat sekiranya menang Ahad ini.
“Kalau beliau menang perkara pertama yang saya mahu minta adalah supaya beliau dapat membaik pulih rumah saya yang sudah uzur,” kata Kapli.
Seorang lagi pesara, Ibrahim Sidek, 74, juga berpendapat Zaid boleh membawa perubahan besar kepada rakyat Hulu Selangor.
“Tadi beliau jumpa saya dan bersalaman dengan saya. Soal menang atau kalah saya tidak boleh cakap kerana ia terpulang kepada pengundi tetapi sebagai rakyat, saya pasti mahukan calon yang terbaik,” katanya.
Peluang menemui secara bersemuka telah membolehkan seorang suri rumah Shamsiah Abdul Samad, 45, melihat sifat sebenar Zaid.
“Hari ini, baru dapat jumpa beliau semasa menjalankan kempen rumah ke rumah,” katanya.
Kawasan Parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pengundi di tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.
Daripada jumlah itu, DUN Batang Kali mencatatkan jumlah pengundi tertinggi iaitu 29,026 pengundi diikuti Kuala Kubu Baru (18,040) dan Hulu Bernam (17,434). Orang Melayu merupakan majoriti dengan 53 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan 26 peratus dan 19 peratus.
Selain itu, majoriti pengundi berpendapat bahawa kempen rumah ke rumah yang dijalankan memberikan kesan kepada pemilihan calon yang bertanding semasa hari pengundian nanti.
Pemandu lori, K. Marimuthu, 43, berkata, kebanyakan isu yang dibawa dalam kempen rumah ke rumah penting kepada pengundi-pengundi Hulu Selangor terutamanya tentang ekonomi, pembangunan dan juga isu nasional.
“Bukan sahaja isu ekonomi ataupun pembangunan rakyat penting tetapi isu nasional seperti MEB (Model Ekonomi Baru) dan juga APCO Worldwide. Bukan semua orang faham mengenai isu ini, saya sendiri pun kurang memahaminya.
“Bila mereka datang ke rumah dan menerangkan secara terperinci mengenai isu-isu tersebut baru saya faham apa yang berlaku sebenarnya begitu juga dengan isu ekonomi dan pembangunan di sini.
“Banyak maklumat yang saya dapat melalui kempen rumah ke rumah, saya sudah tidak perlu untuk ke ceramah-ceramah lagi kerana banyak yang saya sudah dapat,” kata anak kelahiran Serendah itu.
MAKLUMAT
Sementara itu, seorang peniaga Phang Kei Chan, 39, mengakui banyak masalah terpaksa dilalui di Hulu Selangor, namun disebabkan kekurangan sumber maklumat majoriti pengundi tidak mengetahuinya.
“Jadi bila ada pilihan raya kecil ini semua maklumat dapat disalurkan dengan mudah melalui kempen rumah ke rumah.
“Kesemua maklumat yang diberikan kepada pengundi memang penting kerana ia akan mempengaruhi mereka untuk mengundi siapa ketika hari pengundian nanti,” katanya.
Kakitangan awam, Mohd Zulkifli Muda, 31, berkata, isu-isu yang dibawa sama ada parti BN ataupun pembangkang dalam kempen rumah ke rumah amat penting kepada pengundi.
“Saya tidak kisah sekiranya yang datang itu dari BN atau pembangkang kerana isu yang dibawa mereka itu lebih penting.
“Isu seperti ekonomi, pembangaunan, masalah rakyat dan isu nasional seperti MEB dan APCO Worldwide sebenarnya penting kepada pengundi-pengundi.
“Apabila mereka sudah mengetahui apa yang berlaku maka mereka akan membuat keputusan untuk memilih siapa sebagai wakil rakyat mereka nanti,” katanya.
Suri rumah, J. Saraswathy, 42, berkata, banyak isu yang dibawa melalui kempen rumah ke rumah samada dari parti BN ataupun pembangkang.
“Mereka akang datang dan memberikan penerangan tentang isu-isu yang berkaitan dengan Hulu Selangor seperti pembangunan, pendidikan, isu semasa dan juga nasional termasuk MEB, APCO Worldwide.
“Selain itu, mereka turut memberikan penerangan tentang calon mereka. Apa keistimewaan calon, apa yang calon boleh buat dan apa janji calon kepada pengundi disini.
“Kempen sebegini bagus kerana saya tidak perlu keluar untuk mendapatkan maklumat sebaliknya mereka yang datang dan memberikan penerangan kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batang Kali dekat sini.
Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak. Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.
Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor ini menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara BN dan Pakatan Rakyat.
0 comments:
Post a Comment