Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

22 April, 2010

BERSIH 2.0: Pergerakan Pertubuhan masyarakat ke arah reformasi pilihan raya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (atau lebih dikenali sebagai BERSIH) mengeluarkan kenyataan bersama mereka pertama kali pada 23 November 2006.

Pada awal penglibatannya, BERSIH terdiri daripada organisasi masyarakat dan parti-parti politik dengan objektif yang sama berkempen untuk pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia.  BERSIH pada waktu itu menuntut penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda, pemansuhan undi pos kecuali bagi ahli-ahli diplomat dan pengundi-pengundi di luar Negara, dan pembersihan senarai pemilih bagi memastikan nama-nama yang tidak sepatutnya berada di dalam senarai pemilih dikeluarkan agar integriti sepenuhnya dilaksanakan.
Pada Julai 2007, BERSIH telah menambahkan tuntutan mereka iaitu kesemua pihak yang bertanding di dalam pilihan raya seharusnya diberikan akses yang sama rata di dalam media milik kerajaan, terutama sekali televisyen dan radio.
Perjalanan BERSIH telah melalui pelbagai peristiwa yang dikenang dan diingati.  Demonstrasi rakyat pda November 2007 yang menyaksikan ribuan rakyat Malaysia telah memilih jalan raya bagi menyokong pilihan raya bersih dan adil, membawa keadaan kritikal di dalam perjalanan pilihan raya.  Tidak pernah berlaku di dalam sejarah Negara kita di mana sebegitu ramai menyertai perhimpunan tersebut menyokong pra-syarat sebarang demokrasi sebenar - undi yang adil, bebas dari komplot-komplot politik yang tidak sama rata, akses yang tidak seimbang kepada radio dan televisyen yang dimiliki oleh orang awam.  Kesan daripada perhimpunan November 2007 menjadi titik infleksi kepada hasil 8 Mac 2008 dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12.
Hampir tiga setengah tahun kemudian, matlamat BERSIH masih relevan memandangkan kita sedang berada di dalam demam pilihan raya kecil untuk Parlimen Hulu Selangor dan selepas itu kita akan menyaksikan satu lagi di Sibu, Sarawak.

Kini selepas perubahan tampuk pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Perak (sepatutnya), masanya sudah tiba untuk BERSIH untuk terus berjuang ke arah pilihan raya yang bersih dan adil serta bebas dari cengkaman mana-mana parti politik.  Oleh yang demikian, BERSIH melancarkan gabungan ini sekali lagi dengan penyertaan pertubuhan-pertubuhan masyarakat yang tidak ada pertalian dengan mana-mana parti politik.  Matlamat kami ialah untuk memantau kedua-dua belah pasukan politik.
PRK Hulu Selangor
Walau bagaimana pun, penumpuan kita untuk jangkamasa ini ialah kepada kempen pilihan raya yang sedang rancak berlaku di Hulu Selangor dan dakwaan berkaitan dengan ketidakpuasan hati tentang pusat pengundian untuk para pengundi membuang undi pada Ahad, 25 April 2010.
Kami dimaklumkan bahawa hampir 14,000 pengundi berdaftar di parlimen Hulu Selangor telah dipindahkan ke pusat-pusat pengundian yang berbeza dengan pusat pengundian yang ditetapkan semasa pilihan raya umum2008.  Tempoh kempen yang singkat ini kelak akan menjurus kepada keadaan huru-hara.  Masa yang tidak mencukupi untuk memaklumkan 14,000 pengundi berdaftar pada Ahad 25 April 2010.  Para pengundi akan keluar membuang undi di pusat-pusat pengundian yang biasa dan kemudiannya mendapati nama mereka berada di pusat pengundian yang lain.  Ini juga membawa kesusahan kepada para pengundi yang kemudiannya terpaksa mencari-cari pusat pengundian mereka yang baru.  Kekeliruan ini juga akan menjadi masalah yang besar terutamanya kepada mereka yang bergantung kepada pengangkutan awam, warga tua yang akhirnya pulang ke rumah - tidak mengundi.
Keadaan akan menjadi lebih kritikal bilamana BERSIH dikejutkan dengan nasib 233 pengundi bilamana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memindahkan mereka ke luar kawasan Hulu Selangor ke Selayang.  Sebarang persempadanan baru hanya boleh dibuat setiap 10 tahun berdasarkan kepada Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.  Selain hak SPR untuk membuat sempadan semula, pengundi pula berhak untuk memohon untuk mengubah kawasan undian apabila berpindah.  Suruhanjaya Pilihan Raya tidak ada kuasa untuk memindah pengundi-pengundi dari satu kawasan ke kawasan yang lain sesuka hati.  Ia bukanlah satu kesilapan yang boleh diambil ringan dan dimaafkan.  Tindakan SPR merupakan pelanggaran kepada Perlembagaan Persekutuan.  SPR telah melangkaui fungsi Parlimen.
BERSIH mengutuk tindakan yang dilakukan oleh SPR di mana pengundi-pengundi diasingkan dan diabaikan hak mereka untuk memilih wakil mereka di parlimen.  Perkara sebegini juga memincangkan amalan demokrasi di Negara ini.  Mereka sepatutnya mengutamakan rakyat.  Tetapi, tindakan-tindakan mereka ini telah menimbulkan banyak kerumitan.  Mereka sepatutnya menyerlahkan pencapaian mereka.  Tetapi, mereka ternyata gagal dan amat mengecewakan.
*Kenyataan media oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.