Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

23 April, 2010

Mahkamah bebas pelajar pondok pakai serban

Muhammad Yusri Amin  

TUMPAT, 22 April: Mahkamah Majistret di sini pagi ini membebaskan kelima-lima pelajar Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah Pondok Banggol Naim, Pasir Mas yang dituduh menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa ditahan polis pada 27 April 2008 lalu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat semasa membuat keputusan itu mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa wujudnya satu keraguan yang munsabah.
Peguambela Amir Syafiq Venkadesh Narayanan ketika bercakap kepada media di luar mahkamah berkata kelima-lima ‘orang kena saman’ (OKS) itu telah dilepaskan dan dibebaskan.
“Majistret memutuskan pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa wujudnya satu keraguan yang munasabah. So, saya fikir ini menjadi satu prosiding,” katanya.
Lima pelajar OKS dari ‘Pondok Gelang Mas’ yang dibebaskan itu ialah Adli Ab Halim, 23, Afizul Mohamed, 23, Ahmad Hafidz Saari, 24, Che Mohd Noor Che Soh, 28, dan Mohd Azam Mohd Arifin, 24.
Mereka ditahan kira-kira pukul 12.00 tengah malam semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri sembahyang jenazah di Masjid Jar Besar, Tumpat  pukul 10.00 malam sebelum menghadiri ceramah Israk dan Mikraj di Surau Geting, Tumpat.
Mereka dituduh di bawah Kaedah 4 (motorsikal topi keledar keselamatan) 1973 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 338/87) yang dibaca bersama Seksyen 128 (1) Akta yang sama.
Sepanjang tempoh perbicaraan kes itu sejak 2008, seramai 11 orang saksi telah memberikan keterangan bagi pihak pembelaan, manakala pihak pendakwaan mengemukakan empat saksi.
Kelima-lima OKS semasa ditahan polis, semuanya menunggang motosikal dengan masing-masing membawa pembonceng tanpa memakai topi keledar tetapi sebaliknya hanya memakai serban dan berjubah putih.
Menurut Amir Syafiq, di bawah undang-undang, ada pengecualian di mana seseorang itu tidak perlu memakai topi keledar semasa menunggang motorsikal iaitu golongan ‘Haji’, ‘Hajah’, ‘Lebai’ dan ‘Sikh’. “Namun dalam undang-undang itu tidak dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ‘lebai’, yang (undang-undang itu) terpakai sejak digubal oleh Parlimen,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.