KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Khamis mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Anggota Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua dengan menggantikannya kepada hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara kerana mencederakan seorang anggota polis pada 2007.
Bagimanapun, Hakim Datuk Ghazali Cha menolak rayuan Tian Chua terhadap sabitan atas tuduhan itu setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Ghazali berkata penghakiman Majistret pada 22 Okt tahun lepas yang berdasarkan penemuan fakta adalah betul dan pemakaian undang-undang juga adalah tepat dan tidak perlu lagi diganggu.
"Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa Majistret berkenaan juga telah terlebih membuat komen dalam andaian beliau tanpa membuat penilaian maksimum terhadap keterangan yang ada di hadapannya.
"Dengan berpandukan kepada kes-kes yang telah dirujuk, maka saya berpuas hati tidak akan mengganggu keputusan atas sabitan terhadap perayu memandangkan penemuan oleh Majistret tersebut adalah mengenai fakta," katanya.
Ghazali berkata soal hukuman merupakan budi bicara sepenuhnya hakim perbicaraan berkenaan kecuali yang melibatkan hukuman mati.
"Dalam kes ini perayu adalah pesalah pertama. Tidak dapat dinafikan juga bahawa tiada keistimewaan patut diberikan kepada beliau sebagai ahli parlimen," katanya.
Bagaimanapun, katanya jika hukuman yang dijatuhkan boleh menjadikan Tian Chua, 47, tidak layak menjadi seorang anggota Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.
"Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara berbagai-bagai bangsa.
"Di atas alasan ini, saya berpendapat suatu hukuman yang setimpal yang tidak melibatkan banyak pihak adalah merupakan suatu hukuman yang adil. Hukuman yang dijatuhkan oleh Majistret diketepi dan digantikan dengan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara," katanya.
Di akhir penghakimannya, Ghazali sempat menasihati Tian Chua supaya menunjukkan teladan baik kepada semua rakyat sebagai Anggota Parlimen yang dipilih dan menjauhi agenda yang tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat.
Pada 22 Okt tahun lepas, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah didapati bersalah mencederakan anggota polis pada 11 Dis 2007.
Tian Chua, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini pada 10.45 pagi.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment