Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

18 June, 2010

Selangor Sesuaikan RMK10 Dalam Pembangunannya - Bernama

SHAH ALAM, 17 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan menyesuaikan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) ke dalam strategi pembangunannya.

Beliau berkata RMK10 sangat penting untuk pembangunan negeri dan akan berusaha untuk menyesuaikan pembangunan negeri dengan rancangan pembangunan lima tahun itu.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan awam mengenai RMK10 di sini, katanya pembangunan ekonomi di negara ini juga adalah dimajukan sektor swasta dan kliennya tidak mengenal sempadan di mana barang dan perkhidmatan boleh bergerak keluar masuk dari Selangor ke negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, menurutnya Selangor tidak merasakan dipinggirkan walaupun negeri ini tidak banyak disebut berbanding dengan "Greater Kuala Lumpur" semasa RMK10 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 10 Jun lepas.

Ditanya sama ada RMK10 memenuhi sebenarnya, katanya:"Wawasan itu mungkin boleh dikongsi tetapi persoalannya ada ruang di mana pelaksanaan mestilah jangan dengan kaedah dan cara yang sama seperti Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)."

Abdul Khalid juga berkata kerajaan persekutuan hendaklah menggunakan tender terbuka untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk membina infrastruktur seperti jalan dan menswastakannya kepada mereka yang boleh menguruskannya dengan cekap dan menjana pendapatan daripada projek itu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata beliau akan menemui penduduk Kampung Baru di Kuala Lumpur dalam masa sebulan ini untuk menyediakan mereka dengan cadangan alternatif untuk pembangunan semula penempatan orang Melayu di tengah-tengah bandar raya itu.

Pertemuan itu akan menerangkan agar mereka memastikan tanah tersebut masih lagi miliknya dan memperoleh hasil daripada pembangunan tanah itu mengikut nilai pasaran, kata beliau.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.