Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

16 June, 2010

Kerajaan Kelantan Tingkatkan Ilmu Sains Di Kalangan Pelajar - Bernama

KOTA BAHARU, 14 Jun (Bernama) -- Kerajaan Kelantan sedang meningkatkan penguasaan ilmu sains dan teknologi berpandukan wahyu menerusi penubuhan Maahad Tahfiz Sains di seluruh negeri.


Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata setakat ini beberapa jajahan di negeri ini sudah pun mewujudkan Maahad Tahfiz Sains sejak tiga tahun lalu bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai ilmu sains dan teknologi.

"Ia tercetus hasil kesedaran untuk membentuk kelompok profesional yang berpengetahuan di dalam bidang sains dan terdidik dengan acuan al-Quran.

"Kerajaan juga setiap tahun turut mengadakan minggu penggalakan sains dan teknologi di peringkat negeri bagi mencungkil bakat-bakat baru yang mampu menghasilkan pelbagai peralatan yang canggih berdasarkan ilmu yang dipelajari," katanya ketika berucap merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-II, di sini hari ini.

Simposium selama dua hari itu anjuran Persatuan berkenaan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disertai 200 peserta terdiri daripada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Simposium itu bertemakan "Keseimbangan Biologi Ke Arah Kelestarian Hayat".

Nik Aziz berkata, simposium yang diadakan itu adalah selari dengan langkah kerajaan Kelantan dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan sains dan teknologi berpandukan kepada wahyu.

"Ia tercetus hasil daripada kesedaran untuk membentuk kelompok profesional yang berpengetahuan dalam bidang sains dan terdidik dengan acuan al-Quran, selain mengadakan minggu penggalakan sains dan teknologi di peringkat negeri setiap tahun bagi mencungkil bakat-bakat baru yang mampu menghasilkan pelbagai peralatan yang canggih berdasarkan ilmu yang dipelajari.

Selain itu, kata beliau kerajaan juga menubuhkan kolej Darul Digital yang mempunyai kebolehan dan bakat dalam bidang teknologi penkomputeran dan multimedia untuk mendalami bidang teknologi maklumat ini.

"Ini sekali gus masing-masing mempergunakan bakat dan idea maklumat itu untuk menghasilkan produk yang bermutu," katanya.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.