Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

17 June, 2010

Bebas dari belenggu UG: Hadi puji PR, selar BN - MerdekaReview

Chen Shaua Fui, Lim Hong Siang

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang akhirnya berjaya terbebas dari belenggu Unity Government (UG), atau Kerajaan Perpaduan yang menghantuinya selepas PRU ke-12 pada tahun 2008.
Presiden yang dilabel sebagai puak "pro-UMNO" dalam PAS ini, menyasarkan serangan terhadap UMNO-Barisan Nasional, dan menekankan kebaikan bersama Pakatan Rakyat di sebaliknya.

Dalam ucapan dasarnya ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang bertemakan "Islam Adil Untuk Semua", Hadi Awang (gambar kanan) menuding jari kepada UMNO, bahawa ketidakadilan yang diamalkannya telah mencalar imej murni Islam, bukan sahaja mengundang padah malapetaka kepada orang Melayu yang telah beragama Islam, malah membawa wajah yang salah terhadap masyarakat majmuk yang menjadi realiti negara Malaysia.

Lebih-lebih lagi, Hadi Awang melihat PAS wajib berjuang untuk mengembalikan martabat umat Islam ke atas landasan yang sebenar, dan membebaskan Melayu-Islam daripada laungan perkauman sempit yang ditiub oleh UMNO. Dalam ucapan dasarnya, Presiden PAS ini mengulas bagaimana perjuangan partinya bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) berjaya menampilkan imej Islam yang positif, dan ia terbukti dengan kemenangan PR di PRK Sibu, Sarawak.

"Kerajaan perpaduan" hantui PAS

Konsep "Kerajaan Perpaduan" menghantui PAS sejak 8 Mac 2008. Setelah terdedahnya rundingan antara pimpinan PAS dengan UMNO sejurus selepas PRU ke-12, PAS terus dibelenggu dengan isu "muzakarah". Rundingan dengan UMNO ditentang hebat dalam PAS, sebelum konsep "kerajaan perpaduan" dilontarkan dari mulut Presiden sendiri.

Isu "Kerajaan Perpaduan" terus dimainkan dalam media, khususnya Utusan Malaysia, sehingga memperlihatkan retakan antara dua sekta dalam parti, iaitu Erdogan (label terhadap mereka yang bantah kerjasama PAS-UMNO) dengan golongan pro-UMNO (label terhadap mereka yang menyetujui kerjasama PAS-UMNO). Bahkan satu muktamar khas (ditukar nama kepada Seminar politik kemudiannya, gambar kiri) dipanggil untuk membincangkan isu ini pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, isu kerajaan perpaduan kelihatan reda selepas ini. Perkembangan seterusnya menyaksikan bagaimana PAS terus kekal bersama DAP dan PKR dalam beberapa pilihan raya kecil, dan turut serta dalam Kongres Pakatan Rakyat yang diadakan pada Disember 2009.

"Beberapa siri pilihanraya kecil yang dihadapi bersama oleh parti dalam Pakatan Rakyat, dengan Pilihanraya Kecil Sibu menjadi yang terkini, telah menjadi medan pengukuhan hubungan antara parti di mana PAS telah menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan gerakerja sehingga membuahkan hasil yang boleh mengubah lanskap politik negara," kata Hadi Awang.

Beliau menambah, "Kita merasa amat berbesar hati dengan perkembangan yang sangat positif apabila PAS bersama-sama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat menjayakan Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama (gambar kanan), dan telah menempa sejarah bermakna apabila telah mencapai kesepakatan dalam perkara asas iaitu:-

i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,

ii. Melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan Perkara 153,

iii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan,

iv. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum,

v. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan secara zalim,

vi. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi,

vii. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

Tanggungjawab dalam masyarakat majmuk

Dalam ucapannya, Hadi Awang mengakui realiti bahawa Malaysia sebagai masyarakat majmuk, "Sebenarnya kita adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara Malaysia yang mengandungi kepelbagaian etnik, yang berasal dari berbagai bangsa dan datang daripada berbagai negara yang telah menyumbang kepada Tamadun Islam, iaitu China dan India."

"Kepelbagaian ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar," tambahnya.

"Pandangan yang melihat bahawa kewujudan pelbagai bangsa, budaya dan agama akan hanya lebih cenderung untuk berkonflik adalah lahir daripada fikrah barat yang mencetuskan Model Konflik dalam disiplin ilmu mereka."

Beliau menyambung, "Sebaliknya, Islam memberitahu kita bahawa kecenderungan untuk membenci kaum lain mesti diatasi dengan cara kita berlaku adil kepada semua. Semua yang berhak mesti menerima haknya. Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam dan keadilan inilah merupakan ciri taqwa orang yang beriman. Adalah sesuatu yang songsang apabila seseorang itu mengaku bertaqwa kepada Allah tetapi gagal melaksanakan keadilan."

Hadi Awang menuding jari kepada kegagalan UMNO, sebagai tunjang kerajaan untuk meyakinkan rakyat, "Inilah malapetaka dahsyat yang diasaskan oleh kepimpinan negara kita selama lebih dari 50 tahun diberikan amanah menjaga pemerintahan oleh rakyat."

Kegagalan dalam pelbagai bidang

Beliau menjelaskan, "Hasilnya, kita melihat orang Melayu dan Islam semakin lemah pemahaman politik mereka setelah pemikiran mereka diasak dengan pemahaman perkauman yang sempit selama puluhan tahun. Dalam aspek ekonomi pula, pemilikan ekonomi yang sebenar dan seimbang tidak berlaku kerana harta negara menjadi modal pusingan di kalangan sesama pemimpin mereka sahaja. Rakyat terus menerus dihimpit oleh pelbagai skandal yang melangsaikan harta negara."

Hadi Awang terus memberi contoh,"Kawasan blok minyak negara yang bernilai ratusan bilion ringgit pula diserah milik kepada orang lain sebagai bahan pertukaran. Dalam aspek pendidikan pula, anak-anak yang menjadi penyambung zuriat dan bakal mewarisi negara pula dihadapkan dengan berbagai eksperimen pendidikan yang tidak membawa mereka ke mana-mana."

Beliau sempat mengulas senario parti komponen BN, dengan berkata, "Kenyataan dan pengakuan kepimpinan utama dan tokoh-tokoh besar mereka, sepatutnya cukup membuktikan hakikat sebenar yang telah berlaku. Kaum bukan Melayu pula semakin hari semakin hilang keyakinan kepada parti kaum masing-masing yang menjadi komponen BN, dan dalam masa yang sama orang-orang Melayu pula dibuai sehingga lalai bersama UMNO yang senantiasa meniupkan laungan perkauman sempit."

"Akhirnya umat Islam terus ketinggalan dan berlakunya hakisan kesedaran dan kuasa, adalah hasil dari kesilapan kepimpinan negara kita yang tidak memperkasakan kepimpinan umat Islam, dengan hanya melahirkan pemimpin yang tidak bermoral dengan politik wang tanpa kewibawaan. Sesuatu jawatan yang dipegang dalam politik, pentadbiran, institusi akademik, dan kemasyarakatan, perkaitannya dengan UMNO atau UMNO-putra, telah dijadikan pertaruhan dalam menentukan jawatan, dan bukan kerana kewibawaannya dalam ilmu dan akhlak yang berlandaskan kepada aqidah yang betul."

Slogan Najib sekadar retorik

Malah, Hadi sempat untuk menyindir slogan Perdana Menteri, Najib Razak apabila berkata, "Kewajipan kita ialah meletakkan perkara ini di atas landasan yang benar dan melaksanakannya dengan istiqamah, bukannya secara slogan tanpa pengisian yang tepat, kerana kita tidak boleh menipu rakyat dengan slogan yang manis tanpa amalan yang berasaskan kepada akhlak, adil dan amanah."

"Slogan yang saban ketika dijana secara kosmetik oleh Kerajaan Barisan Nasional di waktu ini seperti 'Juara Rakyat', 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' akan hanya menjadi satu lagi retorik penyedap telinga semata-mata dan tidak lahir dari satu tadjid dan islah menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara kita."

Ketika menyampaikan ucapan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa, bekas Menteri Besar Terengganu ini turut membangkitkan isu royalti minyak, satu isu yang dipertikaikan lantaran daripada pencabulan amalan federalisme.

"Tindak-tanduk yang dilakukan oleh mereka (kerajaan persekutuan BN) ternyata tidak menghormati semangat Federalime yang membahagikan kuasa kerajaan negeri dan persekutuan. Akibatnya, mereka bukan sahaja tidak menghormati perjanjian yang dimeterai tetapi bertindak melanggar perjanjian terutamanya dalam perampasan hasil bumi dalam bentuk royalti minyak di Kelantan dan Terengganu."

"Semuanya dilakukan dengan memutar belit Akta Petroleum dan perjanjian yang dimeteraikan di antara kerajaan negeri dan Petronas. Sejarah tidak dapat menafikan bahawa perampasan Royalti Minyak Terengganu adalah keputusan politik yang didesak dalam perhimpunan agung UMNO tahun 2000, dan mereka meneruskan tindakan zalim ini terhadap rakyat Kelantan."

Model ekonomi baru

Hadi Awang yang juga ahli parlimen Marang, mengulas Model Ekonomi Baru (MEB) dalam ucapannya, "Tindakan kerajaan memperkenalkan Model Ekonomi Baru yang masih bersifat orde lama, iaitu tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu teras terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi."

Beliau meneruskan, "Sesebuah negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit matlamatnya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar - maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis - akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh."

Beliau melanjutkan kritikannya, "Model Ekonomi Baru itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu, di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta. Walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat."

"Penglibatan kerajaan atau orang-orangnya yang bersaing dengan kegiatan ekonomi rakyat menimbulkan rasa tidak senang di antara satu sama lain. Semua perkara-perkara tersebut secara langsung atau tidak langsung boleh mencetuskan rasa benci membenci di antara kaum dan di kalangan sesama kaum. Benarlah tulisan Ibnu Khaldun di dalam bukunya "Al-Mukaddimah", membawa makna 'kegiatan kerajaan secara langsung dalam bidang perniagaan membawa keburukan'," katanya.

*Chen Shaua Fui ialah assistant editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina, Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.