Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

06 June, 2010

12 Sukarelawan Malaysia Selamat Tiba Di Tanah Air - Bernama


SEPANG, 6 Jun (Bernama) -- Dua belas sukarelawan Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusian ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, tiba di tanah air pukul kira-kira 5.40 pagi ini.



Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pegawai dari Wisma Putra dan anggota keluarga masing-masing.

Kumpulan sukarelawan itu yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai kementerian yang lain, tiba dari Istanbul, Turki dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Jordan pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia) pada Jumaat dan melakukan pertukaran penerbangan di Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air Sabtu petang.

Dalam insiden Isnin lepas, kapal milik Turki "Mavi Marmara", yang membawa sukarelawan serta bantuan seperti perubatan, diserang tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan terbunuh.

Bagaimanapun, kesemua sukarelawan negara di atas kapal tersebut selamat tetapi ditahan tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.

Sehubungan itu, Anifah dan beberapa pegawainya berlepas ke Amman Rabu lepas bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia tersebut.

Kumpulan sukarelawan itu dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya kira-kira 9 pagi ini.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.