Lim Hong Siang
MCA dan Gerakan menyelar program "Melayu Bangkit" yang bakal diadakan pada 13 Mei di Terengganu, malah MCA menggesa agar pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang lain tidak menghadiri perhimpunan tersebut. Namun, ketika ditanya semalam dalam sidang media, seandainya terdapat pemimpin yang tetap mahu hadir, Chua Soi Lek menjawab, biarpun kehadiran seseorang mungkin tidak membawa kesan negatif yang besar, tetapi cukup untuk rakyat menilai kelakuan pemimpin tersebut. Timbalan Presiden Gerakan, Chang Ko Youn pula menggesa agar kerajaan campur tangan untuk menghalang perhimpunan 13 Mei yang berunsur perkauman oleh mana-mana pertubuhan, agar keharmonian antara kaum tidak dijejaskan. ![]() Malah, Chang Ko Youn mempertikaikan, "Kita sering berkata bahawa jangan mengulangi sejarah, namun kita tidak pernah menghormati sejarah, sebaliknya menggunakan sejarah untuk mengancam dan menakut-nakutkan rakyat. Jadi, bagaimana kita mengambil iktibar dari sejarah?" Pemuda KLSCAH desak PM nyatakan pendirian Selain itu, pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor yang juga kecewa dengan perhimpunan ini mendesak agar Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said untuk menyatakan pendirian mereka, sama ada mereka menyokong atau tidak perhimpunan tersebut. ![]() Malah, Ng Chong Soon juga memuji keputusan pemimpin PAS untuk tidak menyokong perhimpunan perkauman tersebut, sebagai kelakuan yang harus diteladani oleh pemimpin politik yang lain. ![]() Akhirnya, Pemuda KLSCAH menyeru agar semua rakyat bangkit dan menyokong nilai-nilai pluralisme serta hak asasi manusia dan menolak sebarang slogan dan perhimpunan yang berunsur berperkauman. *Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Tulisan ini dihasilkan dengan mengemaskini beberapa laporan dan kenyataan MCA, Gerakan dan Pemuda SCAH terhadap perhimpunan "Melayu Bangkit". |
0 comments:
Post a Comment