Pilihan raya bersejarah pada 10 Mei lalu di Filipina menyaksikan Senator Benigno "Noynoy" Aquino III dipilih menjadi presiden baru negara tersebut menewaskan pencabar terdekatnya seperti bekas presiden Joseph Estrada, ahli perniagaan bergelar jutawan Senator Manny Villar dan bekas menteri pertahanan di kabinet Arroyo, Gilbert Teodoro.
Kemenangan anak lelaki tunggal kepada Benigno "Ninoy" Aquino dan bekas presiden Corazon "Cory" Aquino sememangnya telah dijangkakan berdasarkan kepada undian dan tinjauan yang dijalankan oleh beberapa badan. Kesemua dapatannya menyaksikan Noynoy mengungguli carta teratas.
Contohnya tinjauan terakhir yang oleh Pulse Asia menunjukkan Noynoy Aquino memenangi 39 peratus undi popular berbanding 20 peratus yang diperolehi oleh Manny Villar dan Joseph Estrada.
Selain daripada Noynoy Aquino diangkat menjadi presiden baru, Filipina boleh berbangga dengan kejayaan sistem pengundian dan pengiraan yang baru diperkenalkan dalam pilihan raya tersebut.
Buat pertama kalinya pilihan raya di Filipina menggunakan 'automated election system' (AES) ataupun sistem pilihan raya automatik. Sistem baru ini mempermudahkan proses pengundian dan pengiraan.
Jika dahulu pengundi perlu menuliskan nama calon-calon pilihan mereka di atas kertas undi, tetapi dengan sistem AES, pengundi hanya perlu menghitamkan ruangan yang disediakan di sebelah nama calon pilihan mereka (seperti perperiksaan objektif di sekolah) di atas kertas undi sebelum dimasukkan ke dalam mesin undi.
Sistem AES juga mempermudahkan proses pengiraan undi. Proses tersebut dilakukan oleh mesin pengiraan undi berbanding pengiraan secara manual yang memakan masa yang sangat panjang dalam sistem lama.
Walaupun terdapat sedikit cacat cela dalam proses pengundian semasa pilihan raya berlangsung seperti kelambatan mesin undi berfungsi sehingga menyebabkan pengundi menunggu lama, secara keseluruhannya sistem AES boleh dikatakan berjaya.
Latar belakang Noynoy Aquino
Benigno "Noynoy" Aquino dilahirkan pada 8 Febuari 1960. Beliau merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik. Beliaau anak kepada Ninoy Aquino dan Cory Aquino. Saudara beliau yang lain termasuklah Maria Elena ("Ballsy"), Aurora Corazon ("Pinky"), Victoria Eliza ("Viel") dan Kristina Bernadette ("Kris").
Kris Aquino adik bongsu beliau merupakan seorang pengacara TV yang terkenal dan mempunyai majalah bertajuk "Kris Aquino Magazine".
Noynoy mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang ekonomi. Beliau memperolehi ijazah daripada Ateneo De Manila University. Noynoy membesar dalam keadaan yang cukup dramatik.
Beliau pernah merasa hidup sebagai keluarga kepada tahanan politik apabila ayahnya, Ninoy Aquino menjadi mangsa regim Marcos. Ninoy Aquino antara yang terawal ditahan oleh Marcos apabila Undang-undang Darurat diisytiharkan pada tahun 1972. Pada ketika itu Noynoy baru berusia 12 tahun.
Noynoy membantu ibunya untuk menguruskan keluarga mereka dalam tempoh penahanan yang panjang dari 1972-1980. Ayahnya terpaksa dibebaskan oleh regim Marcos pada tahun 1980 disebabkan perlu menjalani rawatan jantung di Boston, Amerika Syarikat.
Selepas menamatkan pengajiannya di Ateneo De Manila University pada tahun 1981, Noynoy menyertai keluarganya di Boston. Keluarga Aquino dapat bersatu kembali dan hidup dengan bahagianya di Boston. Cory Aquino pernah mengatakan bahawa waktu tersebut merupakan saat yang paling bahagia dalam hidupnya.
Akan tetapi kebahagiaan yang mereka kecapi tidak kekal lama. Pada tahun 1983, penyokong-penyokong gerakan anti-Marcos meminta ayah Noynoy pulang ke Filipina bagi mengetuai gerakan mereka. Ribuan surat dihantar kepada beliau bagi mendesaknya pulang ke Filipina.
Oleh kerana cintakan pada negara melebihi kepentingan peribadinya, Ninoy Aquino mengambil keputusan pulang ke Filipina walaupun tahu akan ancaman yang bakal dihadapinya. Sebaik sahaja beliau turun dari pesawatnya di lapangan terbang antarabangsa Manila (kini dikenali sebagai lapangan terbang antarabangsa Ninoy Aquino), beliau ditembak mati.
Kematian Ninoy Aquino telah menyemarakkan lagi gerakan anti-Marcos. Jutaan rakyat hadir ke permakamannya. Ibu Noynoy, Cory Aquino yang sebelum itu hanyalah suri rumah telah diangkat menjadi ikon bagi melawan regim Marcos.
Dalam pilihan raya presiden pada tahun 1986, gerakan anti-Marcos sepakat untuk mencalonkan Cory sebagai wakil mereka untuk melawan Marcos. Cory mencipta sejarah apabila menjadi perempuan pertama yang bertanding untuk jawatan presiden di Filipina.
Pilihan raya 1986 menjadi kontreversi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec) mengisytiharkan Marcos sebagai pemenang manakala sebuah NGO yang membuat kiraan pantas dan memantau perjalanan pilihan raya tersebut, National Citizen's Movement for Free Election (Namfrel) mengumumkan Cory Aquino sebagai pemenang.
Oleh kerana rakyat Filipina lebih percaya kepada kiraan pantas yang dilakukan oleh Namfrel, maka berlakulah kebangkitan rakyat. 'People Power Revolution' atau revolusi kebangkitan rakyat akhirnya menjatuhkan Ferdinand Marcos yang telah lama berkuasa. Cory Aquino diisytiharkan sebagai presiden.
Begitulah dramatiknya kehidupan Noynoy, beliau pernah merasa menjadi anak kepada tahanan politik, kehilangan ayahnya diatas kezaliman regim Marcos dan akhirnya menjadi anak kepada presiden Cory.
Faktor kemenangan Noynoy
Sebelum Cory Aquino menghembuskan nafas yang terakhir pada 1 Ogos 2009, Noynoy Aquino tidak pernah bercadang untuk bertanding sebagai presiden dalam pilihan raya 10 Mei. Beliau juga bukanlah seorang ahli politik yang terkenal di Filipina.
Pada ketika itu, calon yang paling popular untuk menjadi presiden bagi menggantikan Gloria Macapagal Arroyo adalah Senator Manny Villar, seorang ahli perniagaan yang bergelar jutawan. Beliau mengungguli kesemua undian dan tinjauan sebagai seorang calon yang popular untuk menjadi presiden Filipina.
Kematian Cory mengubah senario politik. Jutaan rakyat membanjiri permakaman Cory Aquino di Manila pada 5 Ogos 2009. Dengan sabar rakyat menunggu giliran untuk memberikan penghormatan yang terakhir kepada Cory yang dilihat sebagai ikon demokrasi di Filipina.
Menurut Ramon Casiple, seorang penganalisis politik yang juga pengarah eksekutif kepada Institute for Political and Electoral Reform (IPER), tanggal 5 Ogos 2009 telah merubah masa depan politik Filipina.
Jutaan rakyat yang menghadiri permakaman tersebut teringat kembali nostalgia perlawanan terhadap regim Marcos dan Cory Aquino sebagai ikon demokrasi di negara tersebut. Pemerintahan Gloria Macapagal Arroyo yang dikatakan mirip kepada pemerintahan Marcos telah menyebabkan nostalgia kebangkitan rakyat pada tahun 1986 kembali menjelma.
Ini mendorong lahirnya Gerakan Noynoy Aquino sebagai Presiden (Noynoy Aquino for President Movement) yang dianggotai oleh peguam dan aktivis masyarakat. Mereka mengumpulkan sejuta tandatangan daripada masyarakat untuk mendesak Noynoy bertanding sebagai calon presiden Filipina.
Noynoy akhirnya bersetuju untuk menjadi calon presiden dan mengumumkan secara rasmi keptusannya tersebut pada 9 September 2009, 40 hari selepas kematian ibunya.
Berbanding dengan calon-calon presiden yang lain, Noynoy tidak mempunyai banyak wang untuk berkempen selain daripada diantara yang terlambat untuk mengumumkan hasratnya untuk bertanding.
Menurut Ramon Casiple, Noynoy telah diselamatkan oleh 'people power campaign' atau kempen kebangkitan rakyat. Sebaik sahaja mengumumkan untuk bertanding sebagai presiden, ribuan rakyat menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan bagi membantu kempen Noynoy.
Pasukan sukarelawan untuk membantu Noynoy ini telah berjaya merebak sehingga akar umbi. Mereka mencari dana dengan memungut sumbangan daripada orang awam yang menyokong pejuangan Noynoy untuk membuat reformasi dan perubahan kepada pentadbiran negara.
Sukarelawan muda membantu untuk memanfaatkan media baru seperti Facebook, Twitter, Youtube, blog dan laman sesawang untuk menyebarkan kempen mereka kepada golongan muda yang tidak mempunyai ikatan sejarah dengan kezaliman pemerintahan Marcos dan kebangkitan rakyat pada tahun 1986.
Kemenangan Noynoy membuktikan bahawa legasi keluarga Aquino masih lagi kuat dan terus berada dalam ingatan rakyat Filipina. Harapan rakyat untuk melihat perubahan dan perbaikan dalam pentadbiran negara kini berada dibahunya.
Cabaran Noynoy sebagai presiden baru Filipina adalah untuk melaksanakan janjinya untuk memerangi rasuah dan menjaga nama baik ayah dan ibunya agar terus harum di mata rakyat Filipina yang dahagakan perubahan dan pembaharuan.
Amin Iskandar, penulis blog dan penggiat budaya, kini memimpin NGO pemantau pilihan raya NIEI. Beliau menerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) sesi 2009-10 untuk menjalankan kajian sistem pilihan raya di Filipina dan Indonesia. |
0 comments:
Post a Comment