Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

14 May, 2010

'JAIS janji siasat salah guna masjid oleh BN'

Jimadie Shah Othman



Seorang penulis blog hari ini tampil membuat laporan rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung dakwaan penyalahgunaan masjid untuk tujuan politik oleh BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.


Abdul Rahman Talib atau lebih dikenali sebagai 'Tulang Besi' tampil membuat laporan tersebut di pejabat JAIS di Shah Alam kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.

Dalam aduannya, penulis blog Malaysia Waves itu mendakwa semasa kempen pilihan raya kecil parlimen itu pada 25 April, BN menganjurkan majlis bacaan Yassin dan solat hajat di masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, untuk kemenangan calon mereka.

Sebagai menyokong laporannya, beliau menyerahkan sekeping gambar kain rentang program berkenaan dan laporan akhbarberkaitan bagi menyokong dakwaannya.

Beliau turut menyerahkan sekeping surat kepada pengarah JAIS Datuk Mohammed Khusrin Munawi supaya mengambil perhatian terhadap dakwaannya itu.

"Saya menyeru pihak tuan untuk menyiasat dan membuat pendakwaan sekiranya cukup bukti bagi memastikan penyalahgunaan masjid ini tidak berlaku lagi di masa hadapan," kandungan surat tersebut dipetik.

Salinan surat tersebut turut dimajukan kepada beberapa pihak, antaranya Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, exco agama Selangor Datuk Hasan Ali, pejabat speaker DUN Selangor dan pejabat Umno.

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas laporan tersebut dibuat, Abdul Rahman berkata beliau mengambil kira-kira 30 minit bagi membuat tujuan itu di bahagian penguatkuasaan JAIS.

"Mereka maklumkan pada saya laporan ini akan disiasat. Dan seorang pengawai penyiasat akan dilantik," katanya.

Semalam, Abdul Rahman memberitahu Malaysiakini, beliau yang bekerja di luar negeri kembali ke Malaysia untuk membuat laporan polis kerana kebetulan pulang untuk tujuan peribadi.

Beliau juga dilaporkan berkata, keputusan membuat laporan tersebut diambil ekoran tidak puas hati degan JAIS yang disifatkannya "melampau" dan "nampak sangat perangai Pro-Umno".

Pada 6 Mei lalu, seorang ahli parlimen PAS Khalid Samad tampil membuat pendedahan yang sama.

Abdul Rahman merupakan seorang penulis blog popular PAS ekoran tindakannya yang sering mendedahkan beberapa pergolakan dalam parti Islam itu, terutamanya berhubung isu 'kerajaan perpaduan' PAS dan Umno sebelum ini.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.