PASIR PUTEH, 21 Mac — Umno Bahagian Pasir Puteh menghantar surat bantahan kepada Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kerana kecewa dengan pendirian pemimpin veteran Umno itu berhubung isu royalti minyak.
Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman berkata pihaknya kecewa dengan tindakan Tengku Razaleigh yang menyatakan pendiriannya bertentangan dengan kerajaan pusat kerana hakikatnya Kelantan tidak layak menerima bayaran royalti minyak lima peratus itu.
“Satu surat bantahan berkaitan kehadiran Tengku Razaleigh pada majlis ceramah khas pada 28 Jan lepas telah dihantar semalam kepada Tengku Razaleigh,” katanya dipetik Bernama.
Zawawi berkata salinan surat itu juga dihantar kepada Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk tindakan lanjut.
Pada pertemuan itu Tengku Razaleigh menekankan bahawa Kelantan layak menerima wang royalti lima peratus atas hasil minyak yang dikeluarkan di kawasan luar pesisir pantai.
Pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bulan lalu pucuk kepimpinan menyerahkan kepada akar umbi untuk memberikan pandangan mengenai pendirian Tengku Razaleigh.
0 comments:
Post a Comment