oleh R. Ravichandran
KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa beliau diberitahu bahawa syarikat minyak nasional, Petronas, telah 'menemui satu lapangan minyak yang sangat besar, kemungkinan yang terbesar di dunia'.
Penemuan ini, tegasnya, bermakna Petronas akan mempunyai masa depan yang sangat baik.
Bagaimanapun, pengerusi pengasas Petronas itu enggan memberikan butiran lanjut.
"Saya diberitahu...tiada pengumuman dibuat mengenai penemuan lapangan minyak yang sangat besar. Saya diberitahu terdapat penemuan besar...yang boleh memberi tekanan kepada harga minyak.
"Saya juga diberitahu ia merupakan lapangan minyak atau telaga minyak terbesar (bukan hanya) di sini tetapi juga di tempat-tempat lain di dunia.
"Saya tidak boleh dedah (lokasi)...saya tidak boleh beri tahu anda," katanya semasa ditanya berulang kali mengenai penemuan itu, yang beliau sebutkan dalam ceramahnya yang bertajuk, "Conversations on the Constitution and Oil Royalty -- A Constitutional Right?" anjuran Majlis Peguam Malaysia, di sini.
Beliau juga tidak menamakan siapa yang memberitahunya mengenai perkembangan Petronas itu.
Sementara itu, Petronas dalam satu kenyataan ringkas, menafikan penemuan tersebut.
"Petronas ingin menjelaskan bahawa ia tidak membuat sebarang penemuan seumpama itu dan sebarang kenyataan yang menyebut mengenai penemuan sedemikian adalah tidak benar," kata perbadanan minyak nasional itu semasa dihubungi Bernama.
Tengku Razaleigh baru-baru ini tidak bersetuju dengan pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa kerajaan Kelantan tidak mempunyai hak untuk menuntut royalti bagi minyak yang dikeluarkan dari kawasan luar pantai negeri itu.
Tengku Razaleigh, yang juga bekas menteri kewangan berkata penemuan lapangan minyak yang besar bermakna Petronas mempunyai masa depan yang baik tetapi menambah, ia perlu diurus dengan sewajarnya.
"Saya berharap Petronas akan diurus dengan baik...tiada ketirisan, agar wang dapat kembali kepada rakyat," katanya.
Beliau juga berkata beliau gembira walaupun Petronas terpaksa membelanjakan wang bagi pembinaan Menara Berkembar Petronas di sini dan pembangunan Putrajaya, pusat pentadbiran persekutuan, syarikat minyak nasional itu "masih meraih untung, dengan wang dan masih mempunyai baki rizab".
Petronas menyumbang kira-kira RM75 bilion setahun kepada kerajaan persekutuan, di mana ia bersamaan dengan kira-kira 42 peratus daripada pendapatan negara.
Sejak ditubuhkan pada 17 Ogos, 1974, Petronas telah berkembang menjadi sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa bersepadu dengan kepentingan perniagaan di 31 negara. Petronas tersenarai di kalangan syarikat terbesar Fortune Global 500 di dunia. Fortune menyenaraikan Petronas sebagai syarikat ke-95 terbesar dunia pada 2008 dan ke-80 terbesar pada 2009.
Ia juga menyenaraikan Petronas di kedudukan kelapan bagi syarikat paling mendapat untung di dunia dan syarikat yang paling meraih untung di Asia.
Harga minyak jatuh sejak dua minggu lepas sebanyak 2.8 peratus kepada di bawah AS$80 setong pada Jumaat. London Brent Crude bagi Mei turun AS$1.60 setong kepada AS$79.88.
-- BERNAMA ��
0 comments:
Post a Comment