Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

22 June, 2010

Syarikat Yahudi dilayan, hak rakyat Kelantan dinafi - Harakahdaily

Wartawan Kita
KOTA BHARU, 22 Jun: Cuba anda bayangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sanggup membayar RM77 juta kepada warga Yahudi melalui syarikat APCO Worldwide, sedangkan hak rakyat Kelantan mendapat royalti RM2 bilion dinafikan.

Bayaran hampir RM80 juta itu hanya untuk tiga orang, sedangkan hak 1.4 juta rakyat Kelantan mendapat royalti petroleum diketepikan begitu sahaja.

Lebih dibimbangi lagi apabila banyak syarikat milik kerajaan mengalami kerugian besar seperti Sime Darby
berjumlah RM1.6 bilion dan aliran tunai Felda pula susut sebanyak RM2.7 bilion dalam tempoh lima tahun.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran diberi kepada APCO sebanyak RM77 juta merupakan deposit dan tidak termasuk bayaran lain, sedangkan hak yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan disisihkan.

Katanya, beliau juga bimbang wang ihsan yang diberi kerajaan pusat melalui jawtankuasa khas yang diwujudkan digunakan pula bagi mengurus Yayasan Darul Naim bagi mencapai matlamat politik Umno dan BN.

Menjawab soalan tambahan Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan) pada persidangan Dun hari ini
katanya, tidak dapat ditolak kemungkinan wang ihsan yang diberi sebelum ini digunakan yayasan tersebut.

"Buat apa tubuh Yayasan Darul Naim, kita bimbang pengurusan wang ihsan itu boleh berlaku penyelewengan seperti dialami banyak syarikat milik kerajaan sebelum ini," katanya.

Sebelum itu berlaku perang mulut di antara Husam dan Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) apabila beliau
mempertikai ungkapan Exco terbabit yang menyifatkan mahkamah di Malaysia seperti 'mahkamah kangaroo'.

Isu itu tumbul apabila Husam menjawab soalan Adun BN terbabit dengan mengatakan kerajaan negeri tidak tergesa-gesa membawa kes tuntutan royalti ke mahkamah kerana prosesnya seperti diketahui ramai seperti mahkamah kangaroo.

Ketika beliau memberi contoh seperti kes bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan kes pita video V.K Lingam biar pun ada suruhanjaya ditubuh kerajaan bagi menyiasat namun tiada tindakan lanjut diambil.

Adhan cuba mengemukakan peraturan deewan nombor 28 ketika Husam  terus menghujah mengenai perjalanan mahkamah di negara ini.

Ketika itu berlaku perang mulut sehingga Timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim campur tangan dan
mengarahkan berkali-kali Adhan supaya duduk namun tidak dihiraukan pada awalnya.

Kemudian bangkit Hassan Mahmood (PAS-Tawang) yang meminta Speaker membenarkan Adhan membaca peraturan nombor 28, namun Timbalan Speaker meminta Adun terbabit membacanya.

Ketika Hassan membacanya tidak pun didapati kaitan peraturan dewan dengan  apa yang dihujahkan Husam.

Ekoran itu Adun Tawang menyimpulkan Adhan sebagai pembohong kerana cuba menggelirukan dewan.
Husam juga meluahkan kebimbangan Petronas sebagai konglomerat besar milik kerajaan hilang wibawa apabila pecah kontrak dengan kerajaan Kelantan apabila menafikan hak ke atas royalti.

"Penjelasan Presiden Petronas kononnya Kelantan tidak berhak mendapat royalti 5 peratus kerana telaga carigali  terletak lebih 3 batu nautika tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan Akta Kemajuan Petronas 1974.

"Sedangkan Telaga Kikeh di Sarawak terletak 210 batu nautika, Tapis di Terengganu 230 batu nautika, dan Bumi Selatan di perairan Kelantan hanya  90 batu nautika. Mengapa Sarawak dan Terengganu dapat royalti, sedangkan Kelantan lebih dekat tidak.

"Kita bimbang tindakan kerajaan boleh merosakkan identiti Petronas ketika sedang berusaha keras melobi untuk meluaskan peluang perniagaan di luar negara," katanya.

Husam juga menjelaskan pasukan peguam yang dilantik sedang mengkaji kemungkinan untuk memfailkan kes yang sama di luar negara memandangkan operator carigali yang terlibat di perairan Kelantan milik syarikat asing. 

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.