Free Web Counter Hits semenjak 1 Dis 09

23 June, 2010

Kg Baru: Penduduk ‘berminat’ lihat pelan alternatif MB Selangor - The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Meskipun kerajaan pusat meminta Menteri Besar Selangor agar tidak ‘mengganggu’ pelan pembangunan semula Kampung Baru, penduduk kawsan berkenaan menyambut baik langkah Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu menawarkan syor alternatif.

Bagaimanapun tegas mereka, keputusan sama ada akan menerima ataupun tidak ia bergantung kepada pengisian cadangan tersebut.
Majoriti penduduk mahu mendengar dahulu cadangan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia penting kepada mereka dan juga demi masa depan Kampung Baru.
Hasil tinjauan The Malaysian Insider mendapati 90 peratus penduduk bersedia untuk mendengar terlebih dahulu cadangan itu berbanding 10 peratus penduduk tidak kisah, kerana yang penting cadangan itu dapat menyelesaikan masalah pembangunan Kampung Baru.
Mereka yang ditemui berkata mana-mana cadangan yang dianggap boleh menyelesaikan masalah pembangunan Kampung Baru akan diterima, tidak kisah sama ada ia datang daripada kerajaan pusat atau kerajaan negeri Selangor.
Kelmarin, Khalid berkata akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru bulan depan untuk menawarkan pelan alternatif kepada rancangan yang telah dikemukakan oleh kerajaan pusat.
Bagaimanapun Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin mengingatkan Khalid agar tidak mengganggu pelan pembangunan semula Kampung Baru diusahakan kerajaan pusat.
Raja Nong Chik mendakwa Khalid tidak pernah menunjukkan sebarang minat terhadap usaha pembangunan semula kawasan tersebut ketika menerajui syarikat pengurusan dana PNB.
“Saya terkejut apabila mendengar Menteri Selangor Khalid Ibrahim mahu menemui penduduk Kampung Baru,” kata Raja Nong Chik .
Oleh itu, Raja Nong Chik menasihatkan Khalid agar memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah-masalah di Selangor.
Melalui pertemuan itu, Khalid bercadang penduduk Kampung Baru agar menilai syor-syornya sebagai pilihan kepada pelan yang dikemukakan Putrajaya baru-baru ini.
Dalam hal ini, salah seorang penduduk yang ditemui Abdul Jalil Samad adalah lebih baik mendengar dahulu cadangan tersebut sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya mahu mendengar cadangan itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Ini penting kerana tanpa mengetahui cadangan tersebut bagaimana untuk penduduk membuat keputusan,” kata Jalil, 55.
Rohani Sideq, 48, berkata, selagi tidak tahu apa cadangan itu “saya tidak boleh cakap setuju dengan pelan pembangunan itu.”
“Apa-apa keputusan akan dibuat selepas mendengar cadangan itu,” katanya ketika ditemuiThe Malaysian Insider.
Azizan Ahmad, 49, berkata penduduk perlu tahu apa cadangan yang hendak dibawa Menteri Besar kerana ia melibatkan masa depan Kampung Baru.
“Sebagai penduduk kami mesti nak tahu apa cadangan pembangunan oleh Khalid kerana tanpa mengetahuinya sukar untuk kami bersetuju apatah lagi membuat keputusan.
“Ini bukan soal main-main, ia melibatkan masa depan penduduk dan juga Kampung Baru. Jadi segala keputusan hanya akan dibuat selepas mendengar cadangan itu,” katanya.
Sharuddin Abu Bakar, 42, berkata jika cadangan itu akan memberikan kebaikan kepadanya dan juga penduduk sudah pasti ia tidak akan ditolak.
“Kalau cadangan itu menepati apa yang penduduk mahu sudah pasti kami akan terima.
“Walau bagaimanapun, Khalid perlu membentangkan terlebih dahulu cadangan itu kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Rahimah Abu Bakar, 50, berkata tidak kisah sama ada kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri yang penting masalah pembangunan Kampung Baru dapat diselesaikan.
“Saya tidak kisah yang penting masalah pembangunan yang selama ini tidak dapat dijalankan dapat diselesaikan dengan baik.
“Mana-mana cadangan yang beri matfaat kepada penduduk saya akan terima,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
KOTA RAJA DAILY. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.